Seni & Sukan 09 Dec, 2020

Video| Anugerah ANAM 2020! Khas buat artis-artis nasyid pula

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

SEKIRANYA penyanyi lagu-lagu bernilai komersial mempunyai pentas untuk menghargai karya mereka, kini artis-artis nasyid boleh tersenyum lebar apabila Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID), buat julung kalinya bakal menganjurkan Anugerah Nasyid Malaysia yang dijangka berlangsung pada 27 Disember 2020. : KitaReporters



Lagi cerita-cerita berkaitan nasyid:

https://kitareporters.com/search?search=nasyid


Anugerah Nasyid Malaysia atau ringkasnya ANAM 2020 yang mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serta Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi akan mempertandingkan 11 kategori. 




Enam kategori utama yang akan dinilai oleh juri profesional meliputi Lagu Nasyid Terbaik, Lirik Nasyid Terbaik, Vokal Terbaik Dalam Lagu, Susunan Muzik Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik dan Video Muzik Terbaik

Tiga kategori melalui undian peminat pula adalah Artis Nasyid Pilihan, Artis Baru Pilihan serta Artis Nasyid Nusantara, manakala dua kategori melibatkan anugerah khas juri turut berikan iaitu Anuerah Kembara dan Anugerah Khalifah.

Malah lebih menarik lagi, khabarnya terdapat satu kategori yang melibatkan anugerah bagi artis nasyid dari Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura.


RAIHAN antara kumpulan nasyid yang terkenal di serata pelusok dunia. - Kredit foto: Instagram @raihaninternational.


“Industri Nasyid Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan di pentas dunia sejak awal kemunculannya walaupun kurang diberi perhatian sebelum ini. 

“Artis-artis nasyid kita telah diundang membuat persembahan merentasi pelbagai benua malah ada yang tersenarai dalam 500 Muslim berpengaruh di dunia. Jadi sudah tiba masanya untuk kita membangunkan potensi yang ada pada industri nasyid Malaysia,” ujar Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah

Menurut beliau, penganjuran Anugerah Nasyid Malaysia 2020 merupakan satu langkah penting dalam merealisasikannya pada masa hadapan supaya ia bukan sahaja mampu mengharumkan nama negara malah mampu membawa impak ekonomi dalam jangka panjang melalui pelbagai sektor hiliran melibatkan industri pelancongan, industri halal dan industri muzik itu sendiri. 

ANAM 2020 dilihat sebagai satu langkah awal ke arah penganjuran Festival Nasyid Antarabangsa Malaysia pada tahun 2021, sejajar dengan status Malaysia sebagai “The Home of Contemporary Nasyeed” di persada dunia.


Kredit foto: FB Nasyid Malaysia Fans


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri pula berkata: “Saya melihat nasyid sebagai satu cabang kesenian Islam yang bukan sahaja menawarkan hiburan yang sihat dan mendidik kepada masyarakat tetapi juga berperanan sebagai salah satu instrumen dakwah yang berkesan khususnya bagi generasi muda hari ini.”

Sambil menjelaskan impiannya untuk melihat industri nasyid kembali bangkit seperti pada awal kemunculannya, Dr. Zulkifli berpendapat  melalui penganjuran ANAM 2020, ia akan menggalakkan penghasilan karya-karya nasyid berkualiti secara berterusan sekaligus menghidangkan masyarakat dengan hiburan yang mendidik jiwa. 

Mesej-mesej positif dan nilai-nilai murni yang dibawa melalui lagu-lagu nasyid juga diharap dapat membentuk masyarakat Malaysia dan dunia yang bersatu padu dan sayang-menyayangi antara satu sama lain, tambahnya.



Sementara itu, Muhammad Razin Che Mad  (gambar atas) selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ANAM 2020 yang juga Presiden MUNSYID Malaysia melahirkan rasa syukurnya bagi pihak rakan-rakan aktivis nasyid tanah air serta ucapan terima kasih kepada Menteri Kommunikasi dan Multimedia serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) atas keprihatinan dan perhatian yang diberikan kepada pembangunan dan perkembangan industri nasyid Malaysia.

“Inilah kali pertama, industri nasyid Malaysia mendapat sokongan yang sebegitu besar oleh pihak kerajaan sehingga ke tahap ini. Apatah lagi dalam keadaan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan besar kepada penggiat industri nasyid dan muzik secara keseluruhannya, “ tambah beliau.

Penganjuran ANAM 2020 dijangka memberi manfaat kepada lebih 300 penggiat industri secara langsung dan tidak langsung sama ada penyanyi, pemuzik mahupun pekerja di belakang tabir.

“Adalah diharapkan penganjuran ANAM 2020 akan mendapat sambutan dan sokongan padu daripada semua pihak sama ada di sektor kerajaan, korporat, badan bukan kerajaan mahupun orang perseorangan agar ia mencapai objektif yang diharapkan,” akhiri Muhammad Razin penuh harapan. 



ANAM 2020 akan disiarkan secara langsung di TV1 RTM pada 27 Disember 2020 pukul 9.00 malam.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.anam.my atau instagram anam.my dan di laman  facebook  ‘Anugerah Nasyid Malaysia’. - KitaReporters

3
1
0
0
1
You will be interested