Man Kidal adalah antara gitaris terbaik negara dan menjadi antara gitaris legenda.

Mula bermain gitar dengan tangan kidal ketika berusia 10 tahun dan menubuhkan kumpulan Lefthended ketika baru berusia 16 tahun iaitu pada 1979 dan berjaya membawa Lefthanded sebagai antara kumpulan rock tanah air yang paling berjaya.
Selama ini Man Kidal menghidupkan diri dan keluarga melalui muzik baik sebagai pencipta lagu, pengubah lagu, penerbit album dan pemain gitar baik dalam studio, konsert dan persembahan hiburan.
Namun apabila Covid-19 melanda beberapa tahun mulai 2019, kegiatan seni terbantut dan ia menjejas kehidupan Man Kidal sekeluarga. Malah Man Kidal sendiri terkena jangkitan Covid-19.

Tanpa disangka luahannya menerusi media mendapat respons yang baik termasuklah dari Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Dan beberapa pegawai LZS datang ke rumah Man Kidal di Damansara, Petaling Jaya, pada hujung 2021 dan meminta dia mengisi borang dan Man Kidal diletakkan dalam kategori asnaf sementara sehingga dapat bangkit semula.
Pihak LZS menghulurkan bantuan barangan keperluan asas, wang bulanan, tunggakan bil utiliti dan sewa rumah. Man Kidal menerima bantuan zakat itu selama kira-kira empat bulan.
Selepas itu apabila Covid-19 mula mereda, tawaran kerja dalam industri muzik kembali bersinar.
Ia membuat Man Kidal berasa bersalah terus menerima bantuan zakat dan minta dihentikan dan meminta LZS memberi kepada pihak lain yang amat memerlukan bantuan.

Man Kidal berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert Makan Malam Amal Legends: Sweet Charity yang diadakan di Frasers Tower, Petaling Jaya pada petang Rabu, 3 Disember 2025.
Man Kidal turut menzahirkan penghargaan kepada zakat Selangor atas bantuan yang diberikan bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga rakan-rakan pemuzik yang lain.

Man Kidal percaya ramai insan seni yang menghadapi kesempitan hidup dan dia menasihatkan mereka agar tidak malu meminta bantuan daripada pihak tertentu seperti Lembaga Zakat setiap negeri.
Tambahnya, tiada sebab untuk berasa malu ketika memohon bantuan selagi seseorang itu benar-benar berada dalam kesusahan.
"Dalam agama pun ada mengajar kalau perlu kita harus minta bantuan. Bagi saya buat apa nak malu kalau kita sedang susah.
"Tapi nak minta bantuan itu biarlah hanya bila kita betul-betul memerlukan sahaja. Saluran (zakat) itu dah ada, memang diwajibkan untuk kita minta bantuan.
"Lebih malu bila kita tak perlukan bantuan tetapi kita ambil (zakat)," katanya dalam pertemuan itu.

Sikap Man Kidal enggan terus menerima bantuan zakat ketika ekonominya kembali stabil adalah langkah terpuji.