Seni & Sukan 25 Sep, 2025

Nak maju dalam sukan? Elak politik dalaman! Banyakkan pendedahan antarabangsa! - Legenda karate

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Legenda karate dunia, Rafael Aghayev optimis atlet Malaysia mempunyai potensi besar untuk melangkah lebih jauh di pentas antarabangsa, namun usaha itu perlu disulami dengan semangat kesatuan dalam pasukan kebangsaan.

Rafael Aghayev merupakan juara dunia sebanyak lima kali.


Beliau berkata, atlet, jurulatih, pegawai dan persekutuan perlu bersatu dan melihat ke arah yang sama tanpa terjebak dalam politik dalaman. 

“Bukan hanya di Malaysia, tetapi di mana-mana pasukan yang mahukan atlet yang bagus. Perkara paling penting adalah semua orang perlu bersatu. Pasukan kebangsaan harus berfungsi seperti satu keluarga. 

“Jika semua bersatu, kurang politik dan lebih fokus pada matlamat bersama, barulah keputusan cemerlang dapat dicapai,” katanya ketika ditemui media pada majlis perasmian KLAS Seminar Karate di Seri Kembangan pada Ahad, 21 September 2025. 

Program tersebut dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan turut dihadiri Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad.  


Hannah Yeoh (depan, tengah) menyampaikan cenderamata kepada Aghayev. - Kredit foto: KBS.


Sepanjang dua hari berada di Kuala Lumpur, figura dari Azerbaijan itu sempat mengendalikan dua sesi latihan bersama skuad kebangsaan dan barisan pelapis negara. 

“Pada mulanya, ia agak sukar kerana saya tidak mengenali atlet-atlet ini. Namun, pada hari kedua, kami telah membentuk rentak yang baik. 

“Secara keseluruhannya, tahap atlet adalah normal dan ada banyak kerja yang perlu dilakukan. Dengan usaha keras, hasilnya pasti akan menyusul,” ujar Rafael. 

Justeru figura berusia 40 tahun itu menegaskan pendedahan antarabangsa merupakan faktor penting untuk mempercepat kematangan atlet. 

“Sekurang-kurangnya setiap tiga bulan, atlet Malaysia perlu diberi peluang beraksi pada peringkat antarabangsa. Latihan adalah penting, tetapi pertandingan membawa pengalaman sebenar. Lebih banyak kejohanan, lebih cepat mereka berkembang,” katanya. 


Kemuncak pencapaian Aghayev ialah pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, apabila berjaya membawa pulang pingat perak untuk Azerbaijan.


Aghayev bukan nama asing di pentas karate dunia apabila dikenali dengan gelaran The GOAT of Karate atau 'Atlet Karate Terhebat Sepanjang Zaman'. (GOAT merujuk kepada Greatest of All Time atau Terhebat Sepanjang Zaman)

Kariernya cukup luar biasa lebih dua dekad mendominasi gelanggang dengan gaya yang lincah, pantas dan penuh kreativiti. 

Beliau pernah meraih lima kejuaraan dunia dan 11 gelaran Eropah, selain menambah koleksi pingat melalui siri kejohanan Premier League. 

Puncak pencapaiannya adalah pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, apabila berjaya membawa pulang pingat perak untuk Azerbaijan.

Kemenangan demi kemenangan ini menjadikan Aghayev antara nama paling disegani dalam sejarah karate moden. - KitaReporters

Peserta KLAS Seminar Karate di Seri Kembangan merakamkan foto bersama Hannah. - Kredit foto: KBS.

8
20
0
8
0
You will be interested