Seni & Sukan 22 Jul, 2025

Video| Terbaiklah Nabil! Kejar saham akhirat! Bina madrasah, tahfiz di tanah keluarga! Impian ibu!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

.


Ramai umat Islam yang mengejar saham akhirat dengan menyalurkan sumbangan kewangan  kepada masjid tertentu berdasar kemampuan. Malah ada golongan kaya yang membina masjid dengan wang peribadi.

Namun bagi selebriti Nabil Ahmad, 41, yang merupakan salah seorang penyiar (DJ) Radio ERA, pengacara majlis dan pelawak terkenal, dia mempunyai cara sendiri untuk mengejar saham akhirat itu.

Nabil  yang bakal berusia 42 tahun pada 26 September 2025, bercadang mengubah suai rumah dan tanah pusaka keluarga seluas kira-kira  satu setengah ekar di Mambau, Negeri Sembilan untuk dijadikan madrasah kegunaan umum dan menempatkan pelajar tahfiz dan ustaz yang mengajar.


Nabil Ahmad menziarah rumah keluarganya yang bakal dijadikan madrasah.

Nabil baru-baru ini membuat perkongsian dalam akaun media sosialnya dan meluahkan hasrat mahu menjadikan rumah milik keluarganya sebagai madrasah. 

Perkongsian Nabil itu mendapat reaksi positif daripada pengikutnya dan netizen yang mendoakan agar perancangan itu akan menjadi kenyataan.  

Beliau berkata, dia akan memperuntuk kira-kira RM500 ribu untuk tujuan itu dan proses pembinaan akan bermula tidak lama lagi dan berharap dapat digunakan pada 2026. 

Selain untuk saham akhirat, ia juga untuk menunaikan impian ibu tercinta, Rohaizah Abdul Latiff, 77, bekas guru, untuk berbual amal jariah serta bekalan di akhirat nanti. 

Si ibu kini kurang sihat dan sudah lapan tahun menjalani rawatan dialisis buah pinggang. Dan Nabil berharap ibunya dapat melihat pembinaan surau dan pusat tahfiz itu siap sepenuhnya.


Nabil bersama ibunya RohaizahAbdul Latiff (duduk,depan)



Nabil dianggap insan seni pelbagai bakat. Selain berjaya sebagai penyiar radio, pengacara TV dan berlawak, Nabil juga bergiat dalam beberapa cabang seni lain sebagai pelakon, penyanyi, pengarah, penulis skrip dan penerbit. 

Sebagai anak kampung yang cuma memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nabil pernah membuat pelbagai pekerjaan demi kelangsungan hidup dan membantu ibu bapa dan anggota keluarganya.

Kehidupannya mula bersinar apabila berhijrah ke Kuala Lumpur pada 2008 untuk memulakan kerjaya hiburan. Tuahnya mula menyinar apabila dinobat sebagai juara Raja Lawak musim kedua pada 2008.


Nabil ketika menjuarai Raja Lawak musim 2 pada 2008

Dan populariti Nabil semakin melonjak apabila dia diberi peluang menjadi penyiar (DJ) Radio Era pada Februari 2013.

Sebelumnya Nabil menjadi hos bersama program popular terbitan Astro iaitu  ‘MeleTOP’ bermula 2012 dan ‘Gegar Vaganza’ sejak 2014.

Nabil adalah antara selebriti tanah  air yang dapat menunai haji ketika usia masih muda iaitu 31 tahun pada September 2015. Dia mengambil cuti 12 hari dari kerja-kerja hiburan untuk menunai haji.


Nabil ketika menunai haji pada September 2011


Kembali dengan membawa gelaran haji, Nabil mula membatasi gaya penampilan dan pertuturannya. Namun ia tidak menjejaskan popularitinya, sebaliknya meningkat.

Ketika timbul dakwaan ada penyiar radio (DJ) swasta yang mendapat bayaran lebih RM100 ribu sebulan, Nabil adalah antara  DJ yang dalam senarai. Namun bayaran itu dikatakan meliputi kemunculan dalam program TV terbitan syarikat induk.

Nabil yang merupakan pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, tidak pernah mengiyakan  menerima bayaran setinggi itu. 
Di sebalik kejayaan dalam bidang seni, Nabil tidak lepas daripada diuji. Nabil bersama dua lagi DJ Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy pernah digantung tugas selama sebulan kerana didakwa ‘tidak sensitif’ mengenai isu perkauman ketika mengendalikan program ‘3 Pagi Era’.

Namun tragedi itu semakin dilupa dan program ‘3 Pagi Era’ masih terus bersaing hebat dengan program ‘Bekpes Hot’ kendalian KJ, Johan, Fara Fauzana dan AG di stesen radio saingan Hot FM. 


Nabil sebagai pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008


Namun begitu, kehidupan beliau sebagai insan seni kini sudah cukup selesa sehingga dia mampu mengeluarkan RM500 ribu untuk membina madrasah atas tanah milik keluarga di Mambau, Negeri Sembilan.

Semoga Nabil akan terus diberi keberkatan hidup atas sumbangan itu. - KitaReporters


6
9
0
11
0
You will be interested