Memasuki tahun 2026, menyaksikan kejayaan besar filem blockbuster ‘Dhurandhar’,
jauh mengatasi filem box office sebelum ini seperti ‘Sangam’ (1964),
‘Haathi Mere Shaati’ (1971), ‘Bobby’ (1973), ‘Sholay’
(1975) dan ‘Hum Aapke Hain Koun..! (1994).
Sehingga 12 Januari 2026, ‘Dhurandhar’ mengutip 1,284.53 crore Rupees (RM578.66 juta) hasil kutipan di India dan seluruh dunia sejak ditayangkan mulai 5 Disember 2025. Ia mencatat sejarah memperoleh kutipan tertinggi filem Hindustan sepanjang masa.

'Dhurandhar' yang antaranya membariskan Ranveer Singh, Akshaye Khanna, Arjun Rampal dan Sara Arjun mencatat kejayaan besar dan sehingga ini merupakan filem memperoleh kutipan tertinggi sepanjang masa di India.
Untuk rekod, kutipan ‘Sangam’ arahan dan lakonan Raj Kapoor, Ranjendra Kumar serta Vyjayanthimala ialah 8.80 crore Rupees (RM3.96 juta). Filem ‘Haathi Mere Shaati’ (Rajesh Khanna—Tanuja memperoleh 16.35 crore Rupees (RM7.36 juta).
Kutipan
untuk ‘Bobby’ (Rishi Kapoor-Dimple Kapadia) arahan Raj Kapoor memperoleh 29 crore Rupees (RM13.06 juta).
Sementera
filem ‘Sholay’ arahan Ramesh Sippy yang membariskan bintang handalan
Bollywood, Dharmendra, Amitab Bachchan, Sanjeev Kumar, Amjad Khan, Hema Malini
dan Jaya Bhaduri memperoleh kutipan 35 crore Rupees (RM15.77 juta).
Rekod ‘Sholay’
memperoleh kutipan tertinggi bertahan 19 tahun sebelum dileburkan oleh ‘Hum
Aapke Hain Koun..! (1994) dengan kutipan 128 crore Rupees (RM57.66
juta). Ini kejayaan besar dan filem tersebut ditayangkan sehingga lima tahun di
pawagam Minerva, Mumbai.
Dilaporkan bintang
utama, Madhuri Dixit dibayar 2.7 crore Rupees (RM1.21 juta), satu jumlah yang
tinggi sedangkan hero filem, Salman Khan menerima bayaran lebih rendah.
Namun jika diambil kira nilai mata wang dahulu berbanding kini, perolehan 'Sangam', 'Haathi Mere Saathi', ‘Bobby’, ‘Sholay’ dan ‘Hum Aapke Hain Koun..!’ diyakini lebih tinggi. Seperti juga dahulu kita boleh beli kuih dengan harga 10 sen satu, sekarang era itu sudah berlalu!

Bintang utama 'Dhurandhar'. Dari kiri Sunjay Dutt, R. Madhavan, Ranveer Singh dan Arjun Rampal.
Kemunculan ‘Dhurandhar’ arahan Aditya Dhar meleburkan semua rekod filem box office Hindustan sebelumnya. Kedudukannya tidak tergugat walau bersaing dengan filem lain seperti ‘Avatar 3’.
‘Dhurandhar’ berdurasi 3 jam 34 minit. Ia merupakan filem ‘spy thriller’ membariskan bintang hebat iaitu Ranveer Singh (suami aktres Deepika Padukone), Akshaye Khanna, Sanjay Dutt, R. Madhavan, Arjun Rampal dan Sara Arjun.
Walaupun Renveer Singh memegang peranan utama, watak Rehman Dakait yang dibawa oleh Akshaye Khanna lebih menyerlah.
Kerana kejayaan hebat filem ini, filem sekuel ‘Dhurandhar 2’ bakal menyusul, dijangka ditayangkan pada Mac 2026.

Ranveer Singh, watak utama yang memegang peranan sebagai perisik India dalam filem blockbuster 'Dhurandhar'.
‘Dharudhar’ mengisahkan mengenai perisik berasal dari India, Jaskirat Singh Rangi lakonan Ranveer Singh. Dia pergi ke Pakistan untuk menyusup masuk ke dalam gerakan pengganas di sana yang dikatakan menyerang sasaran tertentu di India.
Untuk memudahkan tugas serta mengabui musuh, dia menyamar sebagai seorang pemuda Pakistan menggunakan nama Hamza Ali Mazari.
Filem ini melonjakkan kembali nama Akshaye Khanna, anak mendiang aktor Vinod Khanna, yang sudah lama tidak muncul di layar perak.
Lakonan watak jahatnya sebagai Rehman Dakait, ketua mafia dari Pakistan, dipuji ramai. Penampilannya dikatakan lebih menyerlah berbanding Ranveer Singh.

Akshaye Khanna membawa watak penjahat Rehman Dakait dalam 'Dharundhar. Filem ini menjulang kembali namanya yang sudah agak pudar.
Heroin ‘Dharundhar’ ialah jelitawan berusia 20 tahun, Sara Arjun.
Penampilannya dalam filem tersebut sebagai Yalina Jamali, dan kejayaan luar biasa filem tersebut menjadikan Sara pujaan ramai. Dia sangat dikagumi kerana lakonan serta wajahnya yang jelita.

Sara Arjun, jelitawan berusia 20 tahun yang memegang watak heroin Yalina Jamali dalam 'Dhurandhar'.

Ranveer Singh dan Sara Arjun dalam satu adegan filem 'Dharundhar'.
Ketika ‘Dharundhar’ mencapai kejayaan luar biasa, timbul cerita para pelakonnya juga ‘besar kepala’.
Ranveer Singh dilaporkan menarik diri daripada membintangi filem ‘Don 3’ arahan Farhan Akhtar. Filem in pernah dilakonkan oleh Amitab Bachchan dan kemudian Shah Rukh Khan.
Ranveer dikatakan tidak berminat membawa watak penjahat dalam filem tersebut kerana watak itu mirip yang dilakonkan dalam ‘Dhurandhar’.
Selain itu dia dilapor meminta bayaran ‘tidak masuk akal’ kerana merasa diri hebat selepas kejayaan ‘Dhurandhar’.
Akshaye Khanna juga sama. Dia menarik diri daripada membintangi ‘Drishyam 3’ walau pun pernah membintangi ‘Drisyam 2’. Dia dikatakan meminta bayaran 21 crore rupees (RM9.46 juta).
Lebih tidak wajar dia menarik diri 10 hari sebelum penggambaran bermula. Penerbit kemudian memilih Jaideep Ahlawat sebagai pengganti.
‘Dhurandhar 2’ dijangka muncul di pawagam Mac 2026. Mampukah ia mengulangi kejayaan ‘Dhurandhar’?
Adakah para pelakonnya akan terus naik toncang dan berlagak jika filem sekual ini juga berjaya? Atau adakah akan merendah diri jika kurang berjaya? - KitaReporters

Ranveer Singh membawa watak perisik India yang menyusup masuk ke dalam organisasi penjahat Pakistan untuk memusnahkan gerakan mereka dalam 'Dhurandhar'.