Seni & Sukan 21 Oct, 2022

Video| Tak Terganti Farahdhiya! Kali pertama cipta lagu sendiri! Kenangkan kehilangan arwah ayah!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


KEHILANGAN orang yang disayangi tentu sekali mendukacitakan terutama jika ayah atau ibu yang menyahut panggilan Illahi terlebih dahulu.

Perasaan begitulah yang digambarkan oleh penyanyi Farahdhiya atau nama sebenarnya Farah Dhiya Mohamed Amin, 38,  yang sehingga kini ‘meratapi’ kepergian ayah tersayang yang meninggal dunia pada 2020.

Sehubungan itu, buat pertama kali sepanjang 18 tahun pembabitannya sebagai penyanyi dan anak seni terdetik dijiwanya untuk menghasilkan lagu ciptaan sendiri yang diberi judul ‘Tak Terganti’.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi, pelakon Farahdhiya


Sudah tentu judul lagu itu membayangkan kehilangan ayah tercinta tiada gantinya. 

Tak begitu Farahdhiya yang lebih mesra disapa Farah?

“Sebelum ini memang tak pernah terfikir untuk cipta lagu sendiri walaupun selalu ada yang bertanya. Saya tak nak buat sebab lebih baik beri kepada mereka yang dah pakar. 

"Tapi yang ini pun saya tak rancang kerana melodi itu datang dengan sendirinya. Bila dah ada melodi saya rasa macam sedap pula dan saya rasa kenapa tidak untuk buat lirik pula. Jadi terhasillah lagu 'Tak Terganti' ini,” cerita Farah.

Keistimewaannya lagu berkenaan jelas Farah sangat istimewa memandangkan ia adalah karya pertama kalinya apatah lagi dalam genre balada seperti mana lagu popularnya ‘Bertakhta Di Hati’ yang menaikkan namanya dan menjadi siulan anak-anak muda hingga kini.



“Saya harap lagu ini dapat mengubat rindu peminat yang menunggu lagu balada daripada saya,” katanya sambil memberitahu lagu ‘Tak Terganti’ adalah nukilan khas yang ditujukan buat arwah bapanya, Allahyarham Mohd Amin Zubir.

Berkongsi lanjut mengenai terhasilnya lagu ‘Tak Terganti’ yang turut menghiasi lagu tema drama ‘Roti Cicah Susu’ di mana Farah turut berlakon dan ditayangkan di Slot Mega Drama Astro, Farah berkata, ia dihasilkan awal tahun lalu dan siap dirakam hujung tahun lalu.



“Pernah juga orang tanya untuk buat lagu sendiri, tapi sepanjang 18 tahun itu tak pernah ada keinginan. Pada saya tak apalah biar saya ambil kerja menyanyi saja. Tapi ini pun tak ada dalam perancangan pun. 

"Satu hari semasa menjalani penggambaran dalam fasa Covid-19, saya duduk dalam sebuah hotel di Kuala Lumpur. Jadi, ada satu hari waktu sedang mandi melodi itu tiba-tiba datang. Sebab itu melodi asal lagu ini ada bunyi air sekali sebab masa itu sedang mandi. Bila keluar saya rasa sedih dan macam sedap. 

“Kemudian, saya keluar untuk ambil telefon. Saya menangis semasa mendendangkan melodi itu walaupun tak ada lirik sebab rasa sayu teringat arwah ayah. Jadi disebabkan itu kenapa tidak saya sambung saja lagu ini. Macam itulah terciptanya lagu ini,” kenang Farah sebak.

Ekoran itu, tambahnya, setiap hari beliau cuba mencari perkataan yang betul untuk liriknya berdasarkan perasaannya terhadap ayah. 

“Memang mustahil untuk saya rangkumkan semua perasaan dalam satu lagu. Tapi ia sedikit sebanyak apa yang dapat saya kongsikan. Sekurang-kurangnya ada juga memori sebuah lagu yang saya pernah cipta. Ia memori yang sangat baik untuk disimpan selamanya,” jelas Farah.



Dalam pada itu, Farah mendedahkan lagu ‘Tak Terganti’ menjadi lagu yang paling lama dirakamkan sepanjang pembabitannya sebagai penyanyi.

Kenapa begitu Farah?

“Dalam 18 tahun merakam lagu, selalunya saya ambil masa sekejap saja dalam dua jam dah selesai sebab saya seorang yang cepat dalam studio. Tapi lagu ini makan masa paling lama dan susah untuk disampaikan. Saya rasa dalam lima hingga enam jam juga tempoh rakaman.

“Sudah tentu bila menyanyikan lagu ini sentiasa terbayangkan arwah ayah sebab setiap patah perkataan dalam lagu ini ada kena mengena dengan dia. Jadi, apa yang dinyanyikan memang sentiasa terbayangkan dia. 

“Kepuasannya memang lain macam bila kita rakam lagu yang segala-galanya dibuat sendiri. Memang lain rasanya daripada menyanyikan lagu orang, itu tidak dinafikan,” jawab Farah jujur.


Pelakon Kemaru Ibrahim melakonkan watak ayah kepada Farah dalam video muzik 'Tak Terganti' idea daripada Farah sendiri.


Pun begitu, Farah akui rasa sangat bangga dengan diri sendiri sebab selama ini “rasa macam tak boleh dan tak reti nak buat. Jadi bila dah buat sendiri, sebenarnya boleh saja. Mungkin selepas ini akan ada lagi, siapa tahu kan?”

Selain lagu yang dihasilkan sepenuhnya, jalan cerita video muzik (MV) 'Tak Terganti' juga adalah idea daripada Farah sendiri.

“Muzik video ini pun jalan ceritanya daripada saya. Sebab pasukan saya mencadangkan supaya teruskan untuk muzik video pula alang-alang lagu adalah sepenuhnya hasil ciptaan saya. Jadi, memang saya keluarkan semua jalan cerita untuk muzik video ini. 

“Saya sangat teruja dan mengharapkan peminat akan suka lagu ini. Saya mengharapkan juga sokongan daripada semua orang. Orang yang pernah kehilangan bila dengar lagu ini dia akan dapat rasa apa yang saya rasa. 

"Tak kisah hilang mak ayah, suami atau isteri, adik-beradik atau kawan itu semua adalah kehilangan. Jadi, harapan saya besar untuk lagu ini,” akhirinya. - KitaReporters


15
8
0
8
0
You will be interested