Seni & Sukan 07 Jul, 2025

Bye-bye Piala Asia 2026! Harimauwati Malaya dibelasah Korea Utara! Syukur tak kalah sampai 10-0!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

PENYERANG Harimauwati Malaya, Intan Sarah Anisah Zulgafli (15) disaingi Ri Myong Gum ketika cuba mara ke kubu Korea Utara. - Kredit foto: FAM


MAJORITI gol Korea Utara di Stadium Pusat Republik, Dushanbe, Tajikistan dicipta hanya menerusi tandukan dan umpanan lambung. 

Tiga daripadanya juga hasil hatrik ampuh Kim Kyong Yong yang membuktikan betapa berjurangnya darjat bola sepak mereka dengan Harimauwati Malaya pada 5 Julai 2025.

Tiga lagi gol oleh Kim Hye Yong, Myong Ju Yong dan Ri Hye Gyong juga mengesahkan tiket Korea Utara ke pusingan akhir Piala Asia Wanita AFC 2026 di Australia sebagai juara Kumpulan H kelayakannya.

Syukurlah hanya enam yang membolosi gawang Malaysia dan tidaklah sampai 10-0 seperti yang menimpa tuan rumah dan Palestin malah tim pimpinan Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh masih dapat bertahan 45 minit pertama dengan cuma ketinggalan 2-0. 


JOEL Cornelli (kanan) dan penolong jurulatih Harimauwati Malaya, Cameron Ng (kiri) dan Leila Chua. - Kredit foto: FAM  


Korea Utara hadir dengan reputasi juara tiga kali (2001, 2003 dan 2008) malah menduduki ranking kesembilan dunia yang jauh lebih baik berbanding Malaysia, ke-102 atau ibarat langit dan bumi.

Kemenangan besar 6-0 itu lantas melenyapkan hajat tipis perebutan tiket Piala Asia Wanita 2026 di Australia oleh tim wanita negara setelah kedua-dua pasukan terikat enam mata daripada dua perlawanan terdahulu tetapi dibezakan dengan koleksi 20 gol berbanding dua.

Ketua jurulatih Malaysia, Joel Cornelli walau bagaimanapun tetap berbangga dengan pencapaian anak-anak buahnya sambil menyifatkan pesta gol milik lawan berpunca daripada mereka yang lebih ‘hidup’ dengan sukan bola sepak.

“Saya amat bangga dengan pasukan saya. Dua perlawanan pertama kami main dengan lawan yang setara dan menang (1-0 dengan Palestin (ke-134 dunia) dan Tajikistan (ke-155) pada 29 Jun dan 2 Julai 2025 lalu).

“Pemain-pemain Korea Utara juga lebih berpengalaman dan lebih bersedia,” kata warga Brazil ini dalam kiriman audio kepada media oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas perlawanan.


PERANTARA Malaysia, Nur Lyana Soberi (9) dan Kim Hye Yong saling memburu bola dalam perlawanan Kumpulan H Kelayakan Piala Asia Wanita 2025 di Dushanbe. - Kredit foto: FAM


Ujar Joel, 58, yang hanya mengambil alih Harimauwati Malaya daripada wanita Jordan, Soleen Al-Zoubi sejak 14 Mei 2025 lalu: “Kami hanya berlatih dua minggu sebelum datang sini (Dushanbe).

“Ini (kejohanan) kali pertama saya bersama pasukan Malaysia. Pasukan ini perlu lebih banyak masa untuk meningkat lagi dan mencapai posisi yang lebih baik dalam pertandingan berikutnya,” katanya.  

Sekalung pujian juga berhak ditujukan kepada Nurul Azurin Mazlan yang menangkis beberapa percubaan gol Korea Utara sebelum lawan menyedari kekurangan fizikal penjaga gawang Malaysia ini yang hanya setinggi 1.57 meter untuk mereka manfaatkan dengan serangan udara dan jauh jangkauannya.

Anak jati Shah Alam, Selangor berusia 25 tahun ini yang turut cemerlang ketika berdepan Palestin dan Tajikistan, memiliki pengalaman liga India dan Albania pada 2023 dan 2025.  


NUR Amirah Rahman (18) dan Siti Nurfaizah Saidin (terlindung) gigih mengekang asakan bertali arus Korea Utara menerusi Han Jin Hong (11) dan Kim Kyong Yong (17) ke kubu Malaysia. - Kredit foto: FAM 


Misi skuad negara berikutnya ialah Sukan SEA Ke-33 di Chonburi, Thailand pada 4 hingga 17 Disember 2025 ini yang membabitkan sembilan negara selain tuan rumah iaitu Myanmar, Vietnam, Kemboja, Filipina, Singapura, Laos dan Indonesia yang bakal dibahagikan kepada dua kumpulan. 

Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM telah pun meletakkan sasaran podium buat mereka, sekalipun ranking dunia lima daripada lapan jiran serantau Asia Tenggara ini juga jauh lebih tinggi.

Bayangkan taraf permainan Vietnam sahaja di ranking ke-37 dunia, Filipina (ke-41), Thailand (ke-46), Myanmar (ke-55) dan Indonesia (ke-95), manakala yang lebih rendah daripada kita pun hanya Laos (ke-107), Kemboja (ke-118) dan Singapura (ke-139). - KitaReporters


HARIMAUWATI Malaya pimpinan Steffi Sarge Kaur Sergeant Singh (10) turut berterima kasih kepada Nurul Azurin Mazlan (23) yang beberapa kali menyekat percubaan Korea Utara sekali gus mengelak dibolosi lebih besar seperti Palestin dan Tajikistan 10-0. - Kredit foto: FAM

15
12
0
12
0
You will be interested