
DOMINASI JDT FC sejak satu dekad lalu sukar digugat. - Kredit foto: Johor Southern Tigers.
SEPAK mula Liga Malaysia
(Liga M) musim 2025-2026 hanya akan bermula pada 8 Ogos 2025 tapi juaranya
sudah dapat diagak oleh peminat bola sepak.
Kecuali suatu keajaiban berlaku (atau dengan kuasa Allah), sukar untuk kita menidakkan ramalan bahawa kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) FC akan muncul sebagai juara Liga Super buat musim ke-12 berturut-turut.
Kita tidak memerlukan kepakaran Nujum Pak Belalang untuk meramalkan hal ini kerana hakikatnya sejak sedekad lalu tidak ada mana-mana pasukan dalam Liga M yang mampu menandingi keampuhan JDT.
Jurang mata antara JDT dengan pasukan naib juara, Selangor FC ketika menjuarai Liga Super buat kali ke-11 pada musim 2024-2025 membuktikan terlalu sukar untuk pasukan lain memecah dominasi pasukan Harimau Selatan itu.
Sejumlah 24 perlawanan pada musim 2024-2025 menyaksikan JDT menang 23 dan seri sekali dengan kutipan 70 mata sementara Selangor mengumpul 52 mata hasil 16 kemenangan, empat kali seri dan empat kali kalah, membezakan kedua-dua pasukan dengan 22 mata.

XISCO Munoz jurulatih baharu JDT FC. - Kredit foto: Johor Southern Tigers.
Meninjau persiapan JDT bagi menghadapi musim 2025-2026, kelab itu tidak menunjukkan tanda-tanda mengendurkan cabaran atau berleka dengan kejayaan yang sudah dicapai apabila pantas mengukuhkan pasukan.
Keseriusan mereka terserlah apabila mengumumkan pelantikan Xisco Munoz dari Sepanyol sebagai jurulatih baharu, menggantikan Hector Bidoglio.
Munoz bukan calang-calang jurulatih. Beliau berpengalaman mengendalikan dua kelab England, Watford FC dan Sheffield Wednesday selain kelab Sepanyol, SD Huesca dan yang terakhir kelab yang bersaing dalam liga Slovakia, Dac Dunajska Streda.


KEHADIRAN Jon Irazabal (atas) dan Hector Hevel bakal memperkukuh lagi JDT FC. - Kredit foto: Johor Southern Tigers.
Selain kehadiran Munoz, kelab milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu juga memperkuat pasukan dengan mengrekrut dua pemain warisan skuad kebangsaan, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Sebelum itu, JDT mengumumkan kehadiran dua pemain import, Jairo Da Silva yang akan beraksi di posisi serangan dan memperkukuh benteng pertahanan dengan pembelian Antonio Glauder.
Harimau Selatan juga tidak melepaskan peluang menyambar pemain tempatan berbakat, Ibrahim Manusi, 23, yang menunjukkan prestasi cemerlang bersama Sri Pahang FC sepanjang musim 2024-2025.
Memandangkan jendela perpindahan pemain pertama akan berakhir pada 31 Ogos, 2025, JDT dijangka akan terus membawa masuk pemain terutama dalam mengisi slot 15 pemain import yang dibenarkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

PICHA Autra isi slot import Selangor FC. - Kredit foto: Selangor FC
Menjengah pula ke kem Selangor FC, pasukan bergelar Gergasi Merah itu tidak seghairah JDT dalam memperkenal import baharu. Setakat ini, hanya satu pembelian sahaja dilakukan apabila secara rasmi mengumumkan kedatangan pemain tengah dari Thailand, Picha Autra.
Bekas ketua pasukan Muangthong United itu bukan asing dengan Selangor kerana pernah berdepan pasukan itu pada saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) pada musim 2024-2025.
Namun, kehadiran Picha dilihat belum mampu menjadikan Selangor pencabar utama walaupun menduduki tempat kedua pada musim 2024-2025. Masalah utama mereka adalah ketumpulan bahagian serangan.
Berbanding JDT yang meledak 90 gol, Selangor hanya mampu membolosi gawang lawan sebanyak 44 kali pada musim 2024-2025, satu jurang yang jelas menunjukkan perbezaan antara kedua-dua pasukan dari segi ketajaman penyerang masing-masing.

ALVIN FORTES - Kredit foto: Selangor FC
Dua penyerang import musim lalu, Ronnie Fernandez dan Richmond Boakye gagal memainkan peranan mereka pada posisi itu sebaliknya Selangor banyak bergantung kepada Alvin Fortes. Keputusan mengekalkan pemain asal Cape Verde itu memang tepat.
Selangor mugkin mengambil sikap berhati-hati dalam soal pembelian pemain import namun ia mungkin membawa padah jika mereka menunggu hingga saat akhir jendela perpindahan yang akan tamat pada 31 Ogos, 2025.
Pembelian saat akhir mungkin membawa risiko terbeli pemain yang tidak berkualiti atau dilakukan secara tangkap muat kerana sudah terdesak.
Pasukan bimbingan Katsuhito Kinoshi itu berdepan cabaran lebih getir pada musim 2025-2026 kerana pasukan seperti Sabah FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC dan Kuching City FC sentiasa bersedia melakukan pintasan untuk mengisi slot nombor dua.

GABRIEL NISTELROOY - Kredit foto: Kuching City FC
Pasukan Kuching City FC terutamanya perlu diberi perhatian kerana pasukan dari Sarawak jelas menunjukkan peningkatan ketara apabila melonjak ke tangga ke-4 pada musim 2024-2025 berbanding musim sebelumnya di tangga ke-13.
Jurulatih, Aidil Sharin Sahak juga tampak tidak banyak membuat rombakan dengan mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu termasuk tiga tenaga import, Moses Atede, Yuki Tanigawa dan James Okwuosa.
Skuad bergelar The Cats itu perlu mencari seorang penyerang baharu selepas Tchetche Kipre meninggalkan pasukan itu untuk ke Penang FC. Mereka juga dijangka memperkemas bahagian tengah dan pertahanan dengan tenaga import.
Setakat ini, Kuching City mengumumkan kehadiran dua pemain baharu iaitu bekas penjaga gol Perak, Haziq Nadzli dan penyerang, Gabriel Nistelrooy yang dipinjam daripada JDT FC.

Sebuah lagi pasukan Malaysia Timur, Sabah FC yang menduduki tangga ketiga pada musim 2024-2025 turut akan memberi cabaran kepada Selangor bagi memburu tempat kedua.
Kehadiran pemain kebangsaan, Fergus Tierney dan pemain Bosnia, Adjin Mujagic menampakkan keseriusan skuad Sang Badak itu. Pada masa sama pemain tulang belakang seperti penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, pertahanan Dominic Tan, pemain tengah, Stuart Wilkins dan penyerang, Darren Lok kekal mengemudi Sang Badak.
Sabah FC seolah-olah sudah berpuas hati dengan barisan pemain yang mereka miliki apabila pada Selasa, 24 Jun, 2025, mengumumkan senarai penuh skuad 2025-2025 menerusi laman Facebook kelab tersebut.

TERENGGANU menduduki tangga kelima Liga Super 2024-2025. - Kredit foto: Terengganu FC
Sementara itu, Terengganu FC masih belum menamakan skuadnya terutama dalam mengisi kekosongan ditinggalkan pemain import, Ismaheel Akinade, Manuel Ott, Ivan Mamut, Nelson Bonilla dan Argzim Redzovic.
Beberapa pemain tempatan seperti Safawi Rasid, Nor Hakim Hassan dan Muhamamd Syafik Ismail juga tidak lagi bersama skuad Penyu, manakala kedudukan Akhyar Rashid yang dikaitkan dengan kelab dari Brunei, DPMM FC juga masih samar.
Walau bagaimanapun seorang lagi tonggak tempatan, Azam Azmi Murad yang kini menjadi milik JDT, akan tetap menyarung jersi Terengganu sebagai pemain pinjaman. Begitu juga dengan pemain import Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov yang disambung kontrak.
Menurut pengurusan Terengganu, mereka sudah mengenal pasti tenaga import yang akan dibawa masuk, cuma perlu melengkapkan proses dokumen serta logistik ke Malaysia, melakukan ujian kecergasan dan perubatan sebelum memeterai perjanjian.

TIGA belas yang akan bersaing pada Liga Super 2025-2026.
Pasukan seperti Negeri Sembilan FC, Kuala Lumpur City FC dan Penang FC juga tidak boleh diambil mudah kerana berdasarkan persiapan masing-masing, mereka juga mempunyai cita-cita untuk muncul naib juara Liga Super 2025-2026.
Ketika kita meramalkan JDT FC akan terus bertakhta di puncak liga, perebutan gelaran naib johan Liga Super 2025-2026 dan slot ke saingan peringkat Asia akan menyaksikan pertarungan sengit baki 12 pasukan. Selangor selayaknya berwaspada! - KItaReporters