Seni & Sukan 07 May, 2025

Takhta CSR milik MBDK Warriors! Hadiah buat Klang! Bullets kempunan hatrik! Ref nafikan penalti akhir!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

MBDK Royal Town Warriors berpesta bagi meraikan kejayaan menjuarai CSR 2025 di Klang. - Kredit foto: CSR


BERAKHIR sudah dominasi Muamalat Bullets pada edisi ketiga Ragbi Super Korporat (CSR) 2025 di Padang Sultan Suleiman, Klang, Selangor.

Hajat si juara bertahan untuk merakamkan hatrik sejak 2022, diranapkan dengan jurang tipis kekalahannya 16-15 kepada MBDK Royal Town Warriors tanggal 4 Mei 2025.

Skrip dan penyudahnya seolah-olah mampu bertukar sebaliknya kalaulah pengadil Zu Farhan Elyas dan pembantunya, tidak menafikan sepakan penalti Amirul Aqil Kamsol pada minit ke-79.

Sepakan flyhalf pemain pasukan kebangsaan atau Bunga Raya itu mulanya tampak sudah mencelah antara tiang gol dalam perlawanan akhir yang penuh dramatik dan dalam keadaan cuaca hujan lebat itu.

Permainan terpaksa dihentikan seketika pada hampir penghujungnya akibat cuaca itu dengan satu sentuhan masih berbaki dan berdasarkan peraturan kejohanan serta faktor keselamatan mahupun persetujuan semua pihak termasuk penganjur, kedudukan mata itu dianggap muktamad.

MBDK Royal Town Warriors pula meraikan kejuaraan sulung CSR itu sebagai hadiah terbaik sambutan ulang tahun pertama Klang diisytiharkan sebagai Bandar Raya Diraja pada 5 Februari 2024.

Malah apa lagi momen terindah buat MBDK atau Majlis Bandar Raya Diraja Klang bersama para penyokongnya di halaman mereka ini jika bukan pembalasan dendam kekalahan 18-13 dalam final 2022 kepada Bullets.


MUAMALAT Bullets tetap bergembira sebagai naib juara dengan wang sagu hati RM7,000. - Kredit foto: CSR 


Sebagai juara dan pemilik baharu trofi CSR, Warriors turut mengaut hadiah wang tunai RM15,000 manakala Bullets pula terpaksa berpuas hati dengan RM7,000 sebagai naib juara.

Muamalat Bullets walau bagaimanapun membuka permainan dengan cemerlang melalui bekas flyhalf negara, Mohamad Faris Pead yang mengekalkan ketajamannya menerusi empat sepakan penalti sempurna, menyumbangkan 12 mata.

Umar Irsyad Afrizal pula menyalakan semangat kebangkitan MBDK Royal Town Warriors dengan satu-satunya try perlawanan, manakala Mohamad Fairuz Rahman juga bekas flyhalf Bunga Raya, mengukuhkan kelebihan tuan rumah dengan tiga skor sepakan penalti.

Pengurus pasukan MBDK, Shahizam Tukiran bangga dan bersyukur atas kemenangan penuh bersejarah ini, katanya, “ini bukan sekadar milik pasukan tetapi juga Klang. Kami bina pasukan ini dengan semangat komuniti dan dibalas dengan detik yang tidak akan kami lupakan.” - KitaReporters


AKSI-AKSI hebat final CSR Ketiga, 2025 (atas dan bawah) yang dimenangi MBDK Royal Town Warriors (jersi gelap) menewaskan juara bertahan, Muamalat Bullets 16-15. - Kredit foto: KM



SENARAI PEMENANG CSR 2025:

Juara: MBDK Royal Town Warriors

Naib Juara: Muamalat Bullets

Pencatat Try Terbanyak: Luqman Nur Hakim Ahmad Termizi (MBDK Royal Town Warriors)

Pencatat Mata Terbanyak: Amirul Aqil Kamsol (Muamalat Bullets)

Pemain Depan Terbaik: Azri Kamal Rosnan (Muamalat Bullets)

Pemain Benteng Terbaik: Hafiezie Sudin (MBDK Royal Town Warriors)

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Umar Irsyad Afrizal (MBDK Royal Town Warriors)


PEMAIN MBDK Royal Town Warriors, Umar Irsyad Afrizal dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir CSR 2025. - Kredit foto: CSR


PENGUMPUL Skor Terbanyak CSR 2025, Muhammad Amirul Aqil (Muamalat Bullets). - Kredit foto: CSR

9
12
0
12
0
You will be interested