Seni & Sukan 18 Apr, 2025

Video| Perginya penulis lirik prolifik! Lebih 350 lirik sejak 1959! Kini Yusnor Ef kurang dikenali!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

.

Lagu Gelisah nyanyian Allahyarham Ahmad Jais ditulis oleh Yusnor Ef.


Kepergian Yusnor Ef ke alam abadi pada usia 87 tahun pada pagi Selasa, 16 April 2025 bererti berakhirnya generasi penulis lirik prolifik tahun 1960-an hingga pertengahan 1970-an yang memberi sumbangan besar dalam industri muzik Melayu.

Yusnor Ef merupakan antara barisan penulis lirik disegani pada zaman itu sebaris dengan S Sudarmaji, Jamil Sulong dan HM Rohaizad. 

Lagu tidak bermakna jika tidak diberi seni kata (lirik) yang sesuai dan menarik. Namun sudah menjadi kebiasaan apabila sesebuah lagu itu popular, yang disanjung ialah penyanyi, baru pencipta melodinya.

Penulis senikata atau lirik biasanya kurang dipandang atau diingati.

Kerana itulah peminat muzik Melayu generasi baru kurang mengenai sosok Yusnor Ef atau nama sebenarnya Mohamed Noor Mohamed Yusofe.

Yusnor Ef penulis lirik legenda yang dilupakan oleh generasi kini

Sebenarnya Yusnor Ef adalah antara penulis lirik bertaraf legenda sebelum Datuk Habsah Hassan dan Datuk Chuari Selamat dan S Amin Shahab muncul sebagai penulis lirik legenda mulai pertengahan 1970-an.

Lahir pada 12 September 1937 di Singapura, Yusnor telah melahirkan kira-kira 350 lirik sejak 1959 hingga pertengahan 1970-an. Pengolahannya mempunyai cara tersendiri bagi menjadi menarik didengar. 

Memulakan kerjaya sebagai guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah Melayu, Yusnor beralih tugas sebagai penulis buku teks di Kementerian Pendidikan Singapura.   

Sebelum bersara, Yusnor Ef menjawat jawatan sebagai Penerbit TV Pendidikan (Educational Television Programme) Kementerian Pendidikan Singapura.

Mempunyai kebolehan menghasilkan puisi membuat dia cuba mendekati beberapa komposer terkenal pada akhir 1950-an ketika itu seperti Zubir Said, Ahmad Jaafar dan Yusoff B untuk menjadi penulis lirik. Lirik pertamanya dihasilkan pada tahun 1959. 

Ketika sering ke studio MFP Yusnof menjadi salah seorang kawan baik P Ramlee yang sudah menjadi artis top studio baik sebagai pelakon, pengarah dan pencipta lagu.

Yusnor sering bersembang dengan P Ramlee yang diangap abangnya kerana beza usia 8 tahun untuk mendalami pembikinan filem terutama dalam menulis skrip dan lakon layar (screen play).

Yusnor anggap P Ramlee sebagai abangnya

Selepas mengarahkan 17 filem Studio Jalan Ampas, Singapura, P Ramlee berpindah ke Studio Merdeka, Hulu Klang, Selangor pada 1964. Kerana hendak belajar lebih lanjut dengan P Ramlee, Yusnor sanggup berulang alik dari Singapura.

Ketika berkunjung beberapa kali ke Studio Merdeka, Yusnor diberi peluang oleh P Ramlee menulis lirik beberapa lagu untuk filem ‘Tunggal’ arahan S Kadrisman. Antaranya ‘Joget Istana’, ‘Tari Panglima’ dan ‘Bermandi Manda’ kesemuanya nyanyian Norli Ismail. 

Sementara untuk  nyanyian P. Ramlee lirik yang ditulis Yusnor ialah ‘Senjakala’ dan ‘Ting Tara Tilala’.

Sementara itu, di Singapura ketika era pop yeh yeh sedang membara, Yusnor berpeluang mencipta lirik sejumlah lagu malar segar kebanyakan melodinya dihasil oleh Kassim Masdor iaitu anak murid P Ramlee.

Antaranya lagu ‘Gelisah’ nyanyian Datuk Ahmad Jais. Lagu ini mengisahkan percintaan Yusnor dengan isterinya, Jamila Jan. Mereka menyambut ulang tahun perkahwinan ke-50 pada 8 Mei 2016. 

Yusnor dan isteri ketika menyambut ulangtahun perkahwinan ke-50 pada 2016


Pada awal tahun 1970, Yusnor Ef dan Kassim Masdor menubuhkan Senada Records. Kassim dan Yusnor menjadi gandingan mantap  bagi penyanyi di bawah syarikat rakaman itu.
Senada Records (Seni dan Nada Records) memberi saingan kepada syarikat rakaman gergasi seperti EMI.

Yusnor dan Kassim Masdor

Beberapa penyanyi rakam popular berjaya dipancing untuk bernaung di bawah Senada Records. 

Antaranya Sanisah Huri, Rafeah Buang dan pasangan suami isteri A Ramlie dan Maria Bachok. Di samping itu berjaya menarik beberapa penyanyi baharu antaranya Effa Rizan dan A Razak.


Yusnor dan Sanisah Huri


Di bawah Senada Records, Kassim Masdor menjadi pencipta melodi kebanyakan lagu, sementara Yusnor menjadi penulis liriknya.

Lirik lagu ‘Aku, Dia dan Lagu’ nyanyian Saloma dengan melodi ciptaan Kasim Masdor adalah antara lirik ikonik Yusnor Ef. 

Tajuk lagu itu kini menjadi jodol program kisah berlagu ‘Adila’ di Radio Klasik selama 20-30 minit setiap Isnin hingga Jumaat. Sejumlah lagu saduran turut diberi liriknya oleh Yusnor.

Walaupun sudah berada di Senada Records, namun khidmat Yusnor sebagai penulis lirik masih menghiasi sejumlah lagi penyanyi di bawah EMI seperti Sharifah Aini, Anita Sarawak dan Halil Chik.

Yusnor turut membukukan sejumlah bahan seni industri muzik dan filem Melayu. Antaranya ‘P. Ramlee Yang Saya Kenal’, ‘7 Tokoh Muzik dan Perkembangan Muzik Melayu sejak 40-an’. 

Selain dari itu beliau juga menerbitkan program dokumentari televisyen, antaranya Melodi P. Ramlee, Gemilang Filem Melayu, Muzik Sepanjang Zaman dan Rentra (Rentasan Muzik Nusantara).




Di samping itu Yusnor turut membuat sejumlah dokumentari hiburan  untuk siaran RTM dan Astro.

Antaranya ‘Melodi P.Ramlee’, ‘Gemilang Filem Melayu’, ‘Muzik Sepanjang Zaman’ dan ‘Rentra (Rentasan Muzik Nusantara)’. Untuk tujuan itu Yusnor kerap berulang alik Singapura-Kuala Lumpur, malah mempunyai pejabat di Kuala Lumpur.

Yusnor turut aktif dalam kegiatan budaya di Singapura dan pernah menjadi Presiden PERKAMUS (Persatuan Penyanyi dan Karyawan Muzik Melayu Singapura). Juga selain memikul jawatan penting di Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Development of The Malay Movie Committee, Singapura.

Kerana sumbangannya dalam bidang seni dan budaya, Yusnor menerima beberapa pingat dan anugerah hari kebangsaan daripada Presiden Singapura (ketika itu), Halimah Yacob pada 2022.

Dengan sumbangan besarnya nama Yusnor Ef akan terus abadi dalam industri muzik Melayu. - KitaReporters

5
5
0
16
0
You will be interested