
BUNGA Raya 7's sekadar berpuas hati selaku naib juara SEA 7's di Stadium Nasional, Singapura. - Kredit foto: MR
MENYERAP tekanan segera, memperkasa kecergasan dan mengekalkan semangat juang kebangkitan.
Tiga pengajaran ini wajar dihadam Bunga Raya Tujuh Sebelah lelaki dan wanita negara hasil pendedahan sulung pada Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara (SEA 7's) di Singapura, 4 hingga 5 April 2025 lalu.
Masing-masing kempunan kejuaraan di Stadium Nasional, Singapura dengan pasukan lelaki dijinakkan oleh Thailand 10-5, manakala pasukan wanita kecundang kepada tuan rumah 12-5 dalam perlawanan akhir.
Tiga pengajaran ini juga wajar mematangkan ketua jurulatih Bunga Raya 7's kedua-duanya, Nik Safuan Ismade Nik Man dan Muhammad Faiz Shamsukhidir.
AKSI skuad lelaki negara dalam Ragbi SEA 7's Singapura. - Kredit foto: MR
Skuad lelaki gagal mempertahan gelaran namun selaku naib juara, rakan wanita mereka tetap berjaya memperbaiki pencapaian tempat ketiga dari 2024.
"Kami akur dengan kekalahan dengan situasi pasukan dari sudut kecergasan perlawanan.
"Pasukan hanya menjalani latihan sebanyak 19 sesi pada bulan Ramadan berbanding Thailand telah memulakan persiapan sejak 2023 tanpa henti.
'Walau bagaimanapun saya menganggap ini satu permulaan yang baik bagi pasukan untuk menghadapi Sukan SEA Thailand (9 hingga 20 Disember 2025 nanti)," kata Safuan menerusi kiriman Facebook Ragbi Malaysia (MR).

BUNGA Raya 7's wanita menayangkan pingat perak selalu naib juara. - Kredit foto: MR
Ulas Faiz: "Para pemain tidak menunjukkan prestasi sebenar kerana tertekan bermain terutama perlawanan pertama peringkat Kumpulan D.
"Namun mereka bangkit bagi perlawanan kedua dan separuh akhir. Dalam perlawanan akhir, kecergasan lawan lebih menyerlah dan kami terpaksa akur dengan kekalahan," katanya.
Terdahulu Tim Safuan menjuarai Kumpulan A dengan menumpaskan Indonesia 31-0 dan Filipina 26-0 di Stadium Jurong Barat.
Tim Faiz mengatasi ditewaskan tuan rumah 5-28, namun mengalahkan Indonesia 15-5 untuk muncul naib juara Kumpulan D seterusnya mengatasi Thailand 17-12 dalam separuh akhir.
PEMAIN wanita Malaysia (kanan) gagah melarikan bola ke kawasan lawan. - Kredit foto: MR
Bunga Raya 7's lelaki dan wanita bakal berdepan satu lagi ujian pemanas badan antarabangsa menjelang temasya dwitahunan ke-33 itu iaitu Kejohanan Siri Tujuh Sebelah Ragbi Asia (Asia 7's).
Pada 25 sehingga 27 Julai 2025 nanti, para pemain lelaki akan kembali menyertai negeri masing-masing pada Kejohanan Tujuh Sebelah Kebangsaan Piala Ung Khek Cheow dari 25 hingga 27 Julai 2025 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kuala Terengganu, Terengganu. - KitaReporters
AKSI hebat barisan wanita negara (jersi biru merah). - Kredit foto: MR