Seni & Sukan 03 Jul, 2025

Video| Fit and Furious! Transformasi ekstrem Zul Ariffin! 60 hari, dari 101kg ke 81kg! Demi watak!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this

.

Zul Ariffin dan Aaron Aziz berlatih untuk filem aksi


Berlakon bukan kerja mudah, tidak hanya berharap kepada rupa paras. Jika itulah fahaman dipegang sejumlah pelakon, hayat mereka dalam bidang lakonan tidak lama.

Sebagai contoh, jika ingin berlakon dalam filem aksi, seseorang pelakon itu harus ‘fit’ (tegap) dan tahu seni mempertahan diri untuk memberi lakonan berkesan. Bukan setakat berharap kepada bantuan pelakon lagak ngeri (stuntman) dan trik kamera.


Pelakon terkenal Zul Ariffin atau nama penuhnya Zulkifli Ariffin, 39, yang sejak beberapa tahun ini banyak membintangi filem aksi, serius memastikan dirinya ‘fit’ untuk melakukan lakukan adegan lasak dalam filem.

Terbaharu, Zul menerusi hantaran dalam Instagramnya mendedahkan dia telah menjalani transformasi fizikal ekstrem selama 60 hari sebagai persiapan untuk filem aksi terbaharunya ‘Furious’ yang akan menjalani penggambaran pada bila-bila masa.


Untuk itu Zul sanggup melakukan perkara yang sukar dilaku tetapi terpaksa dilakukan demi memberi lakonan terbaik untuk filem ‘Furious’.

Melakukan transformasi fizikal ekstrem selama 60 hari, hasilnya Zul berjaya menurunkan berat badan sebanyak 20 kilogram (kg) iaitu dari 101kg ke 81kg.

Untuk itu, Zul terpaksa mengambil makanan yang rendah karbohidrat dan gula. Dan terpaksa menjalani latihan ketangkasan fizikal dua tiga jam sehari.

Kerana itu Zul dua kali pitam (black out) dan mengalami hidung berdarah sekali.



Dalam hantaran sama, Zul berkongsi foto perutnya yang berotot sambil menyertakan lagu ‘Enter Sandman’ nyanyian band legenda Metallica sebagai latar muzik.

Menurut Zul, pada awalnya, dia tidak yakin (jadi fit), namun terus berazam meneruskan transformasi fizikal demi komitmen terhadap watak.

Meskipun tidak yakin pada awalnya, pelakon filem Sangkar itu tetap meneruskan transformasi fizikal demi komitmen terhadap watak.

Menurut Zul, ia merupakan salah satu cabaran terbesar yang ditempuhi dalam bidang lakonan. Kali terakhir dia  mencuba sembilan tahun lalu dan hanya turun 13kg dalam tempoh tiga minggu untuk filem ‘Tombiruo’. 



Zul mula bergiat aktif dalam bidang lakonan pada 2008 menerusi watak pembantu dalam siri drama ‘Awan Dania’ dan kemudiannya beralih ke watak utama sebagai Inspektor Ashraf dalam siri drama kepolisan paling lama bersiaran di RTM, ‘Gerak Khas’ sehingga drama itu direhatkan pada 2011.

Zul membuat kemunculan filem pertamanya menerusi watak ASP Zam dalam filem ‘Evolusi KL Drift 2’ pada 2010.

Pada 2024, Zul muncul dalam filem pecah panggung ‘Sheriff: Narko Integriti’ terbitan Skop Productions. 

Zul adalah antara pelakon filem terlaris di Malaysia. Bagi tahun 2025  terdapat lima filem yang dibintanginya sebagai peranan utama iaitu ‘Magik Rompak’. ‘Malam Terlarang’, ‘Wantugo’, ‘Furious’ dan ‘J3: J Resolusi’. - KitaReporters


10
18
0
17
0
You will be interested