Seni & Sukan 11 Dec, 2024

Video| Nabila Cacaca dengan Bella! Projek yang menyeronokkan! Dapat tonjolkan keserasian yang unik!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Kedua-dua penyanyi ini berada dalam lingkungan usia 30-an malah mereka juga disapa dengan nama ringkas sama iaitu ‘Bella’.

Kini, Nabila Razali, 32 dan Bella Astillah, 30, bergabung buat pertama kalinya pula dalam sebuah single berjudul ‘Cacaca’.

"Cacaca" adalah sebuah lagu pop ceria dengan elemen tarian yang mengangkat tema keyakinan diri dan kebebasan bersuara, sekali gus secara tidak langsungnya menggambarkan sebahagian daripada personaliti Nabila mahu pun Bella dalam mengharungi kehidupan masing-masing.

Walaupun tinggal beberapa minggu lagi sebelum menimang cahaya mata pertamanya, Nabila penuh yakin mampu bekerja sehingga  benar-benar cukup ‘minggu’ di mana dia akan berehat.

“Bella sudah terbiasa bekerja jadi rasanya masih yakin untuk  teruskan sehingga benar-benar tak terdaya dan perlu berehat, “ ujar pemilik nama sebenar, Nur Nabila Mohd Razali ini.



Manakala Bella Astillah pula yang telah melalui dua kali perceraian dengan lelaki sama, Aliff Aziz berani menyuarakan hasrat hatinya sebagaimana yang diluahkan pada lagu solonya ‘Tapi Bukan Denganmu”.

Keyakinan dan keberanian kedua-dua bintang terkenal inilah yang dapat digambarkan melalui ‘Cacaca’, sebuah lagu yang menceritakan keseimbangan antara usaha keras dan takdir dalam mengejar kejayaan. 

Ia menunjukkan perjuangan untuk mencapai impian sambil menyedari kepentingan kesabaran dan ketekunan. 


Bella Astillah dan Nabila Razali (kanan) menyampaikan lagu 'CACACA' secara live.pada majlis pelancaran lagu tersebut pada 9 Disember 2024 lalu di Colony Star Boulevard KLCC.


Secara keseluruhannya, lagu ini menggalakkan pendengar untuk terus berusaha, memahami bahawa usaha dan nasib memainkan peranan dalam mencapai matlamat.

“Lagu Cacaca ini sangat kena dengan karakter dan vokal saya dan Bella. Adib Hussin selaku penerbit muzik memahami karakter dan vokal kami. Ia lebih memudahkan untuk kami menyampaikan lagu ini. 

"Alhamdulillah, semua berjalan lancar. Diakui, ini sebuah lagi projek yang ‘fun’ dan menarik,” komen Nabila pada majlis pelancaran single ‘Cacaca’ bersama Bella Astilah baru-baru ini.

Menurut Nabila, bekerjasama dengan Bella juga sangat mudah walaupun masing-masing sibuk tetapi ada keserasian bersama.

“Bekerjasama dengan Bella sangat mudah. Biarpun jadual kami masing-masing sibuk, tapi kami berdua cuba untuk memberi yang terbaik menerusi lagu ini. Begitu juga dengan semua pihak yang bekerjasama,” ujar Nabila.



Sementara itu, Bella Astillah berkata, projek ini memberi pengalaman yang menyeronokkan kerana dia dan Nabila dapat menonjolkan keserasian yang unik dalam persembahan mereka. 

“Proses rakaman lagu ini sebenarnya agak lucu. Ketika itu saya diberitahu bahawa ia adalah untuk nak ‘test key’ sahaja. Jadi, kami pun cuba nyanyi. 

"Bila selesai, kami diberitahu itu adalah proses rakaman sebenar. Jadi, macam kena scam jugalah,” cerita penyanyi bernama sebenar, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah ini.

Sambungnya dalam ketawa kecil, "Nasib baiklah ketika itu, kami memang sudah bersedia dari segi melodi dan lain-lain.”

Seperti Nabila, Bella turut merasai pengalaman yang menyeronokkan apabila bekesempatan menyanyikan sebuah lagu pop ceria dengan elemen tarian dan irama yang ‘catchy’ bersama lirik yang mudah diingati, menyentuh tentang cabaran hidup yang tak terduga dan keinginan untuk mendapatkan kepuasan emosi.

“Secara keseluruhannya, lagu ini menggalakkan pendengar untuk terus berusaha, memahami bahawa usaha dan nasib memainkan peranan dalam mencapai matlamat,” tambah Bella.



Proses rakaman dijalankan dengan penuh semangat dan kerjasama erat antara Nabila dan Bella, yang masing-masing turut terbabit secara langsung dalam menyampaikan mesej positif melalui lagu ini. 

Baik Nabila mahu pun Bella, mereka berharap agar peminat dapat menerima dengan penuh hati buah tangan terbaharu mereka itu.

Mengakhiri perbualan, Bella mengakui pengalaman bekerja dengan Nabila untuk lagu ‘Cacaca’ sesuatu yang menarik.

“Bagi saya, Nabila seorang yang sangat bekerja keras dan sangatlah menitikberatkan soal kualiti dalam kerja. Biarpun kita tahu ketika ini dia sedang sarat mengandung, semangatnya tetap hebat. 

"Jadi, perkara sebegini sangat membantu. Begitu juga dengan saya. Kiranya, kami sentiasa inginkan yang terbaik,” katanya. 

Single ini diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, lagu ciptaan Mage dan Ja'a daripada Faithful Publishing bersama Ezra Kong (Raksasa Studio).

Video muzik rasmi lagu ini turut dilancarkan serentak, menampilkan konsep visual yang penuh warna-warni dan koreografi bertenaga yang sesuai dengan tema lagu. - KitaReporters


13
8
0
12
0
You will be interested