Seni & Sukan 24 Sep, 2024

Syabas Siti Saleha! Calon Outstanding Asian Star anugerah drama Seoul! Kepingin berlakon di Korea!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Hari Rabu ini (25 September 2024) akan menjadi penentuan apakah pelakon wanita popular Malaysia, Siti Saleha, 34,  bakal bergelar  ‘Outstanding Asian Star’ atau ‘Bintang Asia Cemerlang’ pada malam Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 (SDA) sekali gus menundukkan pesaingnya dalam kategori sama dari enam negara terlibat.

Trofi ‘Outstanding Asian Star’ ditentukan melalui proses undian secara global dan kategori ini akan menampilkan tujuh pemenang daripada 6 negara iaitu Korea (Lelaki & Perempuan), Thailand, Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia. 

Pemenang dipilih berdasarkan undian peminat dari seluruh dunia melalui aplikasi Idol Champ, dengan tempoh undian berlangsung dari 15 Jun 2024 hingga 14 Julai 2024 lalu.

Pencalonan yang diterima Siti Saleha berdasarkan kepada lakonan mantapnya dalam Tonton Original, melalui drama bersiri ‘SeOfis’ ternyata telah memikat hati penonton untuk menjadikannya calon pilihan utama pada majlis penganugerahan yang bakal dilangsungkan pada 25 September 2024 di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan.



Melahirkan rasa terujanya dengan pencapaian yang tidak diduganya itu Siti Saleha bersyukur dan melahirkan rasa bertuah menerima sokongan yang begitu luar biasa dari peminat di seluruh Asia.

‘Saya harap pencalonan ini akan membuka lebih banyak peluang untuk saya serta rakan-rakan artis di Malaysia meneroka pasaran antarabangsa. Saya benar-benar rasa sangat terkejut dan tidak menyangka akan dicalonkan untuk kategori yang sangat besar seperti ‘Outstanding Asian Star,” komen Siti Saleha berhubung pencalonan tersebut.



Sejak diperkenalkan pada tahun 2005, ‘Seoul International Drama Awards’ (SDA) berperanan penting dalam mempromosikan kepelbagaian budaya melalui drama, dan kini menjadi platform global yang meraikan bakat-bakat dari seluruh dunia.

Bagi tujuan menghargai pelakon yang menyerlah dalam industri drama sepanjang tahun lalu, Trofi 'Outstanding Asian Star' akan ditentukan melalui proses undian secara global melibatkan enam negara terbabit.

“Semua anak seni tanah air pastinya mengimpikan kemenangan di pentas antarabangsa tambahan berkongsi pentas yang sama bersama artis antarabangsa yang lain. Ini merupakan satu perkara yang besar dan membanggakan kerana kita bukan sekadar mewakili negara tetapi ia juga merupakan satu peluang untuk membuktikan bahawa bakat-bakat di Malaysia ini boleh mengembangkan sayap mereka di peringkat antarabangsa,” tambah Siti Saleha sambil berharap menerusi anugerah ini ia akan menjadi  satu titik permulaan bagi sesuatu yang lebih hebat.



Berada di kedudukan teratas dalam undian bagi kategori berkenaan, Siti Saleha berpendapat pencalonan yang diterima bukan sahaja menjadi kebanggaan untuk dirinya, tetapi juga buat industri seni tanah air,

Pendek kata, pencalonan pemilik bernama penuh, Siti Saleha Mohd Baharum ini membawa harapan besar negara dengan keunggulannya pada peringkat antarabangsa dan ia juga memperkukuh lagi kedudukannya sebagai salah seorang pelakon terbaik di Malaysia. 

Khabarnya, jika diberikan peluang berlakon di luar negara waima di Korea sekali pun beliau akan menyahut cabaran itu malah sanggup belajar bahasa Korea jika itu yang diperlukan.


Siti Saleha dicalonkan melalui drama bersiri 'SeOfis'.


Siri 'SeOfis' mengisahkan tentang cabaran dunia korporat menerusi pertembungan tiga personaliti wanita berkerjaya pada usia 30-an yang akhirnya membentuk satu ikatan persahabatan bagi mengharungi suka duka, cita-cita dan cinta di ibu kota. 

Drama ini turut menampilkan barisan pelakon hebat yang lain seperti Nadiya Nisaa, Nadia Aqilah, Fahrin Ahmad dan ramai lagi. 

Mungkinkah pemenang ‘Ratu Telenovela’ pada Anugerah Telenovela tahun 2023 ini akan mengharumkan nama negara di Seoul, Korea dan membawa pulang trofi ‘Outstanding Asian Star’, kita sama-sama tunggu keputusannya pada 25 September 2024 nanti ya..

Apa pun yang pasti tidak lama lagi, pemenang dua kali trofi Anugerah Pelakon TV Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 (2020) dan ke- 34 pada tahun berikutnya 2021,  bakal sekali lagi tercalon dalam kategori Aktres TV Popular bersama 19 lagi calon hebat antaranya Anna Jobling, Fasha Sandha, Janna Nick, Mimi Lana, Nabila Huda dan Nadiya Nisaa pada ABPBH 2024, edisi ke-36 yang bakal diadakan pada 11 Oktober 2024 di Auditorium MBSA, Shah Alam. - KitaReporters

16
15
0
16
0
You will be interested