LIMA sekawan dari United Kingdom berjaya melakukan perjalanan hijrah Rasulullah pada 1400 tahun lalu dengan melakukan perjalanan berjalan kaki dari kota Mekah ke Madinah baru-baru ini.
Ia adalah untuk merasai pengalaman perit jenih Baginda Rasulullah dan para sahabat melakukan perjalanan hijrah penuh risiko.
Menurut mereka, mengikut jejak langkah Rasulullah SAW dalam pengembaraan ini membuatkan mereka berasa sangat dekat dengan Rasulullah SAW dan seolah-olah sedang berjalan bersamanya.
Perjalanan kelima-lima lelaki itu mengambil masa selama 185 jam iaitu hampir lapan hari dengan jarak sejauh 547 kilometer. Kumpulan yang diketuai pemuda bernama Rashid Ali itu berjalan kaki mengikut laluan hijrah Rasulullah.
Menurut entri dimuat naik dalam laman Twitter, misi itu diilhamkan semata-mata untuk meneladani kisah penghijrahan Rasulullah pada tahun 622 Masihi demi menyebarkan syiar Islam.
“Mengikuti jejak langkah Nabi Muhammad memberikan satu pengalaman seolah-olah Baginda ada di sisi berjalan bersama-sama kami.
“Kita dapat macam-macam iktibar dan pengajaran daripada sejarah hidup Baginda dan kasih sayang kami terhadapnya tidak bersempadan,” memetik kata-kata Rashid yang dikongsikan dalam ruangan kapsyen hantaran tersebut.
Menerusi perkongsian video berkenaan, dapat disaksikan Rashid bersama rakan-rakannya disambut meriah dengan paluan kompang oleh warga Arab yang juga penduduk tempatan Madinah.
Dua daripada lima lelaki itu sebelum ini pernah tular dalam media sosial apabila menjadi Muslim pertama dari UK yang berbasikal dari London ke Mekah untuk menunaikan haji.
Sebelum ini, terdapat pengkaji sejarah dan aktivis alam sekitar Arab Saudi berjaya menjejaki semula perjalanan yang menyelamatkan diri Baginda Rasulullah seterusnya memberi impak dalam penyebaran agama Islam. - KitaReporters