Seni & Sukan 22 Jan, 2022

Bukan digantung, digam? Tapi tak didaftar! Zii Jia 'tanpa raket' 2022-2024! Tarik diri dari BAM!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

LEE Zii Jia kerap dihantui kecederaan sejak November 2021 dan kini menduduki ranking ketujuh dunia. 


BUKAN digantung atau digam oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM)! Sebaliknya perseorangan utama negara, Lee Zii Jia tidak akan didaftarkan menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa oleh BAM dalam tempoh dua tahun

Tindakan oleh Majlis BAM ini termasuk jika dia mahu mempertahankan gelaran Kejohanan Terbuka Seluruh England yang dijadualkan pada 16 hingga 20 Mac 2022 di Birmingham.

Malah tiada tempat lagi untuk anak jati Alor Setar, Kedah ini dalam pasukan negara ke Sukan SEA Hanoi (13-23 Mei), Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10–25 September) serta Piala Thomas (8-15 Mei, Bangkok).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Lee Zii Jia

JAHABERDEEN Mohamed Yunoos (kanan) manakala Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah) dan Setiausaha Agung, Datuk Kenny Goh (dua dari kiri). - Kredit foto: BAM


Keputusan perit buat Zii Jia, 23, diumumkan oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos dalam sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Jumaat, 21 Januari 2022.

"Majlis BAM yang bersidang 17 Januari 2022 selepas membuat pertimbangan sukar, mencapai keputusan tidak akan mendaftarkan Lee Zii Jia bagi tempoh dua tahun daripada sebarang kejohanan antarabangsa mulai 18 Januari 2022," katanya.  

Juara Seluruh England 2021 itu menghantar surat penarikan diri daripada BAM pada 11 Januari 2022 dan kekal dengan keputusannya biarpun beberapa perbincangan dilakukan persatuan untuk memujuknya menimbangkan semula

"Dia dikatakan tidak boleh tahan tekanan dalam pasukan negara dan menganggap gaya hidup di ABM mengongkong dan mendapatinya sukar," kata Jahaberdeen.


LEE Zii Jia menjulang trofi Seluruh England 2021 selepas menewaskan Viktor Axelsen dari Denmark. 


Zii Jia selain itu memberikan syarat-syarat baharu untuk meneruskan karier di BAM yang walau bagaimanapun ditolak persatuan yang beranggapan mustahil untuk memenuhinya dan tidak realistik. 

Tiga syarat yang dituntutnya kata Jahaberdeen ialah: 

"Satu, dia mahu jurulatih sendiri dan petugas khidmat sokongan sendiri; dua, dia mahu merancang sendiri dalam menyertai kejohanan; dan tiga, dia mahu ada penaja sendiri.

"BAM telah mengasuhnya sebagai pemain negara selama 11 tahun sejak dia berusia 13 tahun. BAM juga masih mengemukakan tawaran balas yang lumayan termasuk insentif wang tunai namun dia kekal dengan pendirian dan telah menetapkan fikirannya.

"Mengecewakan kerana kehilangannya. Dia mempunyai kontrak dengan BAM yang mengasuhnya dengan dana daripada geran dan kebanyakannya penaja. Tanpa kontrak, tiada penaja yang mahu datang dan mereka mahu pastikan pemain yang diasuh, kekal dan maju dengan BAM," katanya.


Kredit foto: IG Lee Zii Jia


Tidak mendaftarkan Zii Jia dalam kejohanan antarabangsa sejajar dengan peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang mana tindakan itu hanya boleh dilakukan oleh setiap persatuan ahli gabungannya termasuk BAM.

BAM kata Jahaberdeen walau bagaimanapun masih sebuah badan induk sukan yang mempunyai belas kasihan dan mampu mengimbangkan antara keperluan peribadi pemain dan kepentingan negara. 

"Andai kata dia buat rayuan, masih boleh. Berdasarkan terma yang munasabah dan mengambil kira kepentingan negara, maka kemungkinan besar dia dapat bermain semula.

"Kalau sebaliknya kita lihatlah apa yang akan berlaku tetapi masih ada ruang dan peluang untuknya kembali berkhidmat kepada negara," katanya.


LEE Zii Jia bakal kempunan aksi sebegini dalam Kejohanan Seluruh England di Birmingham pada Mac 2022.  


Zii Jia disekat oleh juara bertahan Sukan Olimpik dari China, Chen Long dalam pusingan kedua temasya di Tokyo, Julai 2021 namun sempat membantu skuad campuran negara mara ke separuh akhir Piala Sudirman, Oktober 2021.

Namun dia kemudian bergelut dengan kepenatan dan kecederaan sehingga terpaksa menarik diri daripada Master Indonesia di Bali (November 2021) dan Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol, Disember 2021. - KitaReporters


LEE Zii Jia memberikan alasan, tidak tahan tekanan dan dikongkong di ABM sebagai pemain negara. - Kredit foto: MSN


LEE Zii Jia dipilih menjadi pembawa Jalur Gemilang pada majlis pembukaan rasmi Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021) bersama Goh Liu Ying, pemain beregu campuran. - Kredit foto: MOM

14
10
0
12
1
You will be interested