Seni & Sukan 23 Apr, 2020

SYABAS IRM! COVID-19 BERI PENGALAMAN BAHARU

@editor 1
Editor Satu di KitaReporters >> Boleh emel kepada [email protected] & Editor Satu di UtusanPress >> Boleh emel kepada [email protected]

Share this

DALAM melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, Islamic Relief Malaysia (IRM) terus proaktif menyalurkan bantuan kepada golongan terjejas, meskipun proses gerak kerja di lapangan terbatas. : KitaReporters

Meski gerak kerja terbatas ekoran penularan wabak Covid-19, ia sama sekali tidak menghalang kakitangan Islamic Relief di dalam dan luar negara untuk terus menyalurkan bantuan.


“Kami menganggap kekangan yang dilalui sebagai satu cabaran dan pengalaman baru

"Situasi ini juga dilihat dapat melatih serta meningkatkan kreativiti dan pemikiran kritis kakitangan dalam usaha mencari kaedah untuk memastikan amanah penyumbang telus dan sampai kepada penerima secara berkesan,” kata Zairulshahfuddin Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia

Tambahnya, kesukaran yang dilalui para petugas kemanusiaan ini sangat jauh untuk dibandingkan dengan petugas Islamic Relief di negara bergolak seperti Syria, Palestin, Yemen dan Somalia

“Setiap kali pulang dari misi kemanusiaan di negara bergolak sama ada pergolakan isu dalam negara mahupun bencana alam, saya pasti akan memperingatkan kakitangan saya bahawa tugasan sahabat-sahabat Islamic Relief di pejabat lapangan yang lain jauh lebih besar cabarannya berbanding kita di sini. 

"Mereka bukan sahaja mempertaruhkan nyawa mereka sendiri malah keselamatan keluarga mereka juga tidak terjamin. 

“Buktinya, salah seorang kakitangan Islamic relief bersama isteri dan dua anak mereka yang berada di lapangan turut dilaporkan cedera pada Februari 2020, manakala 90 peratus kakitangan lagi terpaksa berpindah dan tinggal berasingan daripada keluarga atas faktor keselamatan ekoran serangan udara yang berlarutan sejak Disember 2019 di Syria,” kata Zairulshahfuddin Zainal Abidin. 

Justeru, dalam usaha meringankan beban golongan terjejas serta menyahut seruan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia yang menyeru agar semua organisasi kebajikan menyalurkan sumbangan tanpa mengira perbezaaan agama dan bangsa, IRM terus menghulurkan bantuan secara efektif dan berkesan tanpa mengabaikan arahan langkah-langkah pencegahan yang perlu dipatuhi.

Sesi penyerahan 1,000 helai penutup mulut dan hidung N95 di Akademi Audit Negara (AAN), Nilai, Negeri Sembilan yang telah dijadikan pusat kuarantin. 


IRM telah mula mengedarkan bantuan COVID-19 sejak 23 Mac 2020 dengan menghantar 1,000 helai topeng muka N95 kepada petugas barisan hadapan di Akademi Audit Negara yang menjadi pusat kuarantin bagi rakyat Malaysia yang baru pulang dari Iran

Seterusnya, bantuan diteruskan dengan penghantaran sembilan kotak makanan yang mengandungi biskut, makanan segera, susu, air kotak bersama air mineral kepada petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin, Hospital Ampang, Selangor serta dua unit ‘pharmaceutical refrigerator’ untuk bahagian farmasi di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan dengan usaha sama Persatuan Pelajar MRSM Malaysia (Ansara), Taiping, Perak, 

Sumbangan barangan makanan dan kit kebersihan kepada 40 keluarga Rohingya yang juga ibu bapa serta penjaga pelajar Refugee Intellectual Skills & Excellence (RISE) Kajang, Selangor


Selain itu, sukarelawan IRM yang terdiri daripada ahli jawatankuasa Bilik Gerakan Khas (BGK) Pantai Timur telah menyalurkan bantuan keperluan asas seperti beras, telur, sardin, tepung dan minyak masak kepada 80 keluarga yang mengalami sakit kronik di kalangan komuniti petani dan penoreh getah di sekitar Batu Karang dan Kedai Buloh, Pasir Mas, Kelantan

BGK Pantai Timur turut memberikan bantuan Nasi Ayam kepada 60 keluarga penoreh getah di sekitar Rantau Panjang, Kelantan

Tidak hanya di Semenanjung, kakitangan Islamic Relief Malaysia di Borneo juga berusaha meringankan beban golongan terjejas dengan membantu mengedarkan bantuan pek makanan sumbangan kerajaan Negeri Sabah yang mengandungi beras, biskut, gula dan sebagainya kepada penduduk di kawasan Inanam, Menggatal, Tamparuli, Papar dan Ranau, Sabah manakala penerima manfaat di Sarawak telah menerima bantuan wang tunai

Agihan ayam segar melalui penghantaran terus dari rumah ke rumah kepada 19 keluarga Rohingya di Kajang, Selangor


Menurut Zairulshahfuddin, komuniti pelarian juga tidak diabaikan kebajikannya. 

Seramai 60 keluarga Rohingya yang juga ibu bapa serta penjaga kepada para pelajar Refugee Intellectual Skills & Excellence (RISE) iaitu pusat bimbingan alternatif di bawah kelolaan Islamic Relief Malaysia serta 60 lagi keluarga Rohingya di Puchong turut menerima pek makanan keperluan asas, ayam segar, kit kebersihan dan bantuan kewangan. 

IRM melalui dana yang dikumpulkan daripada tabung kempen Rayuan Kecemasan COVID-19 turut menyalurkan bantuan kewangan kepada agensi-agensi dan institusi-institusi barisan hadapan seperti pihak hospital bagi membantu proses pembelian barangan Personal Protective Equipment (PPE) seperti face mask, surgical gown, head cap, face shield dan hand sanitizer, pusat jagaan warga emas serta penerima manfaat dari kalangan ibu tunggal, peniaga atau penjaja kecil yang hilang punca pendapatan juga keluarga yang berpendapatan harian selain menyalurkan bantuan barangan seperti kelengkapan perubatan dan ‘sleeper chair’ di Hospital Putrajaya. 

Pengagihan 10 'hospital sleeper chair' kepada Hospital Putrajaya. Bantuan diserahkan kepada Amal Fariz Awang, Penolong Pengarah Bahagian Perolehan, Aset dan Stor, Hospital Putrajaya


“Terima kasih rakyat Malaysia. Meski pun negara kita turut dilanda ancaman global wabak COVID-19, namun sumbangan anda telah berjaya sampai ke tangan penerima manfaat di Bosnia

"Seramai 294 buah keluarga menerima bantuan kit kebersihan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang menyumbang kepada Tabung Rayuan Kecemasan COVID-19,” jelas Zairulshahfuddin Zainal Abidin. 

Kakitangan Islamic Relief sedang mengagihkan bantuan kit kebersihan yang dilengkapi cecair pembersih tangan dan penutup muka di Bosnia & Herzegovina.


Bantuan bagi golongan tejejas COVID-19 akan terus diagihkan dari semasa ke semasa mengikut perancangan dan keperluan mendesak penerima manfaat serta pihak hospital yang telah dikenal pasti. 

Islamic Relief menzahirkan ucapan terima kasih kepada para penyumbang yang telah menyalurkan sumbangan dan berharap agar lebih ramai lagi terbuka hati untuk menyumbang serta membantu mereka yang memerlukan di sa’at yang cukup mencabar dan luar biasa ini. - KitaReporters

5
1
0
0
0
You will be interested