Seni & Sukan 27 May, 2022

Video| Liga Juara-Juara UEFA 2022! Marcote kata Real Madrid! Azraai, Dollah yakin Liverpool! Anda?

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


PERTANDINGAN Liga Juara-Juara UEFA ( musim 2021-22 menuju ke kemuncaknya pada Sabtu, 28 Mei, 2022 (awal pagi Ahad, 29 Mei, 2022 waktu Malaysia) apabila Liverpool dan Real Madrid bakal membuat perhitungan pada pentas akhir di Stadion Parc des Prince, Paris.

Agak menarik, ini adalah pertembungan final kali ketiga antara kedua-dua pasukan dengan kedudukan sekarang terikat 1-1 apabila Liverpool menjuarai musim 1980-81 selepas mengalahkan Real Madrid 1-0 sebelum kelab dari Sepanyol berkenaan menebus kekalahan itu melalui kemenangan 3-1 ke atas The Reds untuk muncul juara musim 2017-18. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak UEFA


Mengikut fakta, secara keseluruhan kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak lapan kali pada saingan Liga Juara-Juara (dulu dikenali sebagai Piala Eropah) dengan rekod menunjukkan Real Madrid memenangi empat, Liverpool tiga dan seri sekali. Real Madrid membolosi gawang Liverpool sebanyak 10 kali, dibalas lawannya dengan 8 gol.

Jaguh Liga Perdana Inggeris dan La Liga Sepanyol itu pertama kali bertemu pada final musim 1980-81. Liverpool menang tipis 1-0 hasil jaringan Alan Kennedy pada minit ke-82 untuk muncul juara.

Kemudian, hampir 30 tahun selepas itu, pada musim 2008-09, Liverpool menamatkan cabaran Real Madrid pada peringkat 16 dengan kemenangan 5-0 secara agregat selepas menang 1-0 di Madrid sebelum berpesta 4-0 di Anfield.

Seterusnya, pada pertembungan di peringkat kumpulan pada musim 2014-15, giliran Real Madrid mencatat kemenangan apabila menewaskan Liverpool 3-0 dan 1-0 pada perlawanan secara timbal balik. 

Namun, kemenangan paling manis Real Madrid ke atas Liverpool adalah pada musim 2017-18 apabila dua jaringan Gareth Bale dan satu oleh Karim Benzema menobatkan mereka sebagai juara hasil kemenangan 3-1, sekali gus menebus kekalahan pada final 1980-81.

Pertemuan terakhir mereka sebelum perlawanan akhir 28 Mei, 2022 ini adalah di peringkat suku akhir 2020-21 dengan kemenangan berpihak kepada Real Madrid melalui agregat 3-1.


Real Madrid adalah pasukan paling berjaya di Eropah apabila menjuarai Liga Juara-Juara sebanyak 13 kali.



Justeru, berdasarkan lima pertarungan terakhir mereka, Liverpool ternyata gagal menyaingi Real Madrid apabila tewas empat kali dan seri satu kali.

Malah, jika rekod antara kedua-dua jurulatih diambil kira sebagai perbandingan, ternyata pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti lebih unggul dari Juergen Klopp baik daripada jumlah layak ke final mahupun pencapaian di pentas akhir.

Ini merupakan perlawanan akhir Liga Juara-Juara kelima bagi Ancelotti dengan rekod menunjukkan pengendali kelahiran Itali itu menjuarai tiga daripada empat final sebelum ini melalui kelab AC Milan (2002-03, 2006-07) dan Real Madrid (2013-14).

Sementara itu, Klopp pula melangkah ke final Liga Juara-Juara bagi kali keempat dengan tiga daripadanya bersama Liverpool. Sebelum itu beliau membawa The Reds layak ke pentas akhir pada musim 2017-18 dan 2018-19 dengan meraih kejuaraan pada 2018-19. Jurulatih kelahiran Jerman itu juga membimbing Borussia Dortmund ke perlawanan akhir pada 2012-13.


Liverpool mencapai pelbagai kejayaan sejak dibimbing oleh Jurgen Klopp. - Kredit foto: LFC.



Secara keseluruhan Real Madrid masih unggul sebagai pasukan paling berjaya pada pentas Eropah apabila muncul juara sebanyak 13 kali berbanding Liverpool hanya enam dan jika menang pada 28 Mei, 2022, The Reds bakal berkongsi jumlah kemenangan dengan Ac Milan yang kini merupakan pasukan kedua terbaik dengan tujuh kejuaraan. 

Berdasarkan fakta-fakta itu, tiada siapa boleh menyalahkan penyokong Real Madrid jika mereka memiliki tahap keyakinan tinggi bahawa The Los Blancos mampu mengatasi The Reds pada pertarungan kali ini.


Ramon Marcote, bekas jurulatih Kedah dari Sepanyol, memilih Real Madrid muncul juara Liga Juara-Juara 2022.


Bekas jurulatih Kedah, Ramon Marcote, adalah antara individu yang meletakkan Real Madrid sebagai pilihan untuk muncul juara. Selain dirinya berbangsa Sepanyol sebagai asas kukuh memilih kelab itu, beliau mempunyai hujah untuk menyokong kayakinannya terhadap juara La Liga 2021-22 itu.

“Hakikat bahawa Real layak ke final dengan mengalahkan juara England, juara Perancis dan penyandang juara Eropah membuktikan kekuatan mereka. Juga, sebagai rakyat Sepanyol, sudah tentu saya mahu kelab negara saya memenanginya.

“Liverpool sebuah pasukan yang kuat yang mengamalkan corak menekan serta pantas melakukan transisi tapi mereka juga mempunyai kelemahan sebagaimana dapat kita lihat dalam perlawanan menentang Villarreal.

“Real memiliki ramai pemain berkualiti gabungan pemain berpengalaman dan pemain muda. Ada antara mereka pernah bermain dalam lima perlawanan akhir Liga Juara-Juara, justeru tidak akan terjejas dengan tekanan, digabung pula dengan pemain muda berkualiti yang dahagakan trofi pertama Eropah. 

“Bersandarkan sudut pengalaman serta keupayaan mengawal keadaan, saya fikir Real adalah pilihan untuk muncul juara,” ujar Marcote. 

Namun, jurulatih yang pernah membimbing Kedah pada 2018 itu tidak memandang rendah kemampuan Liverpool sambil meramalkan kelebihan mungkin berpihak kepada skuad bimbingan Klopp itu jika mereka dapat menjaringkan gol awal. 

“Liverpool pasukan yang lebih baik dari sudut kepantasan serta corak permainan berintensiti tinggi. Jika mereka berjaya menjaringkan gol awal, perlawanan akhir ini mungkin berpihak kepada mereka tapi Real Madrid tidak akan berputus asa serta mampu melakukan kebangkitan,” katanya.


Azraai menganggap Liverpool lebih sempurna berbanding Real Madrid.


Namun, pandangan Marcote ini disanggah oleh seorang lagi bekas jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah yang melihat Liverpool sebagai sebuah pasukan yang lebih sempurna berbanding Real Madrid.

“Liverpool lebih tersusun sebagai satu unit, bergerak sebagai satu pasukan baik semasa menyerang mahupun bertahan. Mereka juga mempunyai kekuatan mental yang mampu menyerap tekanan serta bangkit jika ketinggalan.

“Mereka sentiasa mengamalkan corak permainan menyerang dengan intensiti tinggi malah sesuatu yang menarik, Liverpool mempunyai ramai pemain yang mampu menjaringkan gol termasuk pemain tengah dan pemain pertahanan tanpa bergantung semata-mata kepada (Mohamed) Salah dan (Sadio) Mane.

“Ia berbeza dengan Real Madrid yang nampak terlalu bergantung kepada Karim Benzema. Tidak dinafikan, Benzema seorang pemain yang mampu menjaringkan gol walaupun diberi setengah peluang namun saya yakin Liverpool tahu bagaimana cara untuk menanganinya.

“Walau bagaimanapun, ia bukanlah perlawanan yang mudah kepada Liverpool yang mana ia pasti berlangsung sengit. Apa pun sebagai penyokong tegar Liverpool, sudah pasti saya memilih Liverpool untuk muncul juara” ujar Azraai.


Dollah tertarik dengan karekter, sikap dan semangat berpasukan Liverpool. - Kredit foto: MFL


Sementara itu, jurulatih, Dollah Salleh juga memilih Liverpool untuk muncul juara berdasarkan prestasi konsisten mereka sejak beberapa musim kebelakangan ini.

“Sejak Klopp membimbing pasukan itu, Liverpool bermain dengan konsisten serta sudah memenangi beberapa kejuaraan. Ini adalah kali ketiga ia layak ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara di bawah jurulatih itu.

“Semua pemain Liverpool sedang berada pada prestasi terbaik terutama Mo Salah, Mane dan Diaz. Kejuaraan Liga Juara-Juara sangat bermakna kepada mereka selepas ditewaskan hanya satu mata oleh Manchester City untuk merebut juara Liga Perdana Inggeris, jadi saya yakin mereka akan bermain bermatian-matian untuk memenanginya.

“Sesuatu yang membuat saya terpikat dengan Liverpool adalah mereka memiliki karakter, sikap dan semangat berpasukan yang tinggi. Kita dapat lihat pemain seperti Salah yang bertaraf bintang tetap turun membantu bahagian pertahanan bila mereka diserang.

“Namun, Real Madrid juga tidak boleh diperkecilkan, rekod menunjukkan mereka adalah pasukan paling berjaya di Eropah dan kemampuan mereka layak ke final kali ini juga menakjubkan apabila mengetepikan pasukan seperti Manchester City, Paris St Germain dan Chelsea.

“Saya jangka peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50, bergantung bagaimana percaturan kedua-dua jurulatih dan prestasi pemain pada perlawanan itu. Namun, pilihan saya adalah Liverpool,” ujar Dollah. – KitaReporters


16
11
0
11
0
You will be interested