Presiden Pahang Rangers FC, Tengku Fahd Mua'adzam Shah (tiga dari kanan) memeterai perjanjian tajaan dengan SMGB Group. Kredit foto: Pahang Rangers FC.
Kelab Futsal Pahang Rangers (PRFC) mendapat suntikan semangat menjelang sepak mula Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), musim 2021 apabila memeterai perjanjian dengan SMGB Group sebagai penaja utama, dalam satu majlis baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, PRFC diwakili Presiden, Tengku Fahd Mua'adzam Shah, manakala SMGB Group pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Dato' Lee Chung Han.
Turut hadir menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut adalah Tunku Mohamed Alauddin Naquiyuddin (Pengerusi SMGB), Tengku Dato' Aidy Ahmad Shah (Naib Presiden PRFC), serta barisan ahli lembaga pengarah kedua-dua pihak.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan futsal
Kredit foto: FB Pahang Rangers FC
Menerusi kerjasama itu, SMGB Group bukan sahaja menghulurkan tajaan berbentuk wang tunai malah kedua-dua pihak akan turut terbabit dalam menganjurkan klinik, akademi mahupun program khusus untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat-bakat baru futsal terutama dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Lanchang.
Mengulas mengenai kerjasama yang terjalin, Tengku Fahd berterima kasih atas sokongan SMGB Group dan berharap ia menjadi suntikan untuk PRFC terus mengorak langkah besar dalam arena futsal tanah air.
Kredit foto: Pahang Rangers FC.
"Ini adalah satu lagi peristiwa penting buat PRFC selepas terdahulu memeterai kerjasama bersama UD Levante (Sepanyol) dan Chonburi Bluewave (Thailand) pada 2020.
"Kehadiran SMGB ke dalam keluarga PRFC amat kita alu-alukan, semoga kerjasama ini memberi satu tonik dan suntikan kepada pasukan, seterusnya memacu kita terus bergerak ke depan dan bergandingan mencipta pelbagai sejarah baru dalam arena futsal," ujar Tengku Fahd.
Selain penerokaan dan perlombongan mineral, SMGB Group juga terlibat dalam pertanian secara bio dinamik dan organik, pemuliharaan hutan serta pemeliharaan hidupan liar, pembangunan dan bidang kesihatan.
Mereka juga terlibat sebagai penaja Liga Indera, platform untuk mencungkil bakat-bakat cilik bola sepak di Kuantan selain turut menaja pasukan Muaythai Negeri Sembilan dan Kedah.
Pemain Pahang Rangers memperagakan jersi yang bakal dipakai pasukan itu untuk saingan Liga Premier Futsal Malaysia 2021. - Kredit foto: Pahang Rangers FC.
"Ia satu penghormatan untuk SMGB dapat bekerjasama dengan PRFC serta menyokong visi serta matlamat YAM Tengku Fahd menjadikan kelab ini sebagai kelab juara dan kuasa besar futsal baik dalam negara mahupun di pentas lebih besar seperti Asia dan dunia.
"Dengan sebuah pasukan yang profesional mereka miliki dari pengurusan, kejurulatihan dan barisan pemain, saya percaya PRFC akan mampu berdiri sebagai sebuah pasukan disegani.
"Semua tahu PRFC sudah sedia berada dalam kelas mereka, tanggungjawab kami adalah membantu menyediakan latihan, membangunkan bakat dan memastikan mereka kekal sebagai sebuah pasukan yang unggul. Kami gembira untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” kata Chung Han.
Sebagai rekod, pada 2019, Pahang Rangers yang diperkuatkan himpunan pemain kebangsaan muncul sebagai naib juara edisi sulung MPFL dan menyasarkan untuk bergelar juara pada musim berikutnya.
Namun saingan musim 2020 terpaksa dibatalkan kerana pandemik Covid-19, manakala bagi musim 2021 saingan dijangka berlangsung sekitar Oktober ataupun November. - KitaReporters
Pahang Rangers muncul sebagai naib juara pada liga futsal 2019. - Kredit foto: Pahang Rangers