Dion Cools pertama kali menyertai skuad Malaysia semasa pertandingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun 2021 lalu. - Kredit foto: FAM
TINDAKAN Dion Cools menarik diri dari skuad bola sepak kebangsaan atas alasan kecederaan mencetuskan isu dalam kalangan penyokong Harimau Malaya terutama selepas dia turun beraksi untuk kelabnya, FC Midtjylland menentang AGF dalam Liga Denmark pada Ahad, 3 Oktober 2021 lalu.
Penyokong mula membuat spekulasi dan ramai berasa kelabnya tidak jujur dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila menyatakan pemain kacukan Malaysia-Belgium itu cedera malah mereka turut mempertikaikan keikhlasan Cools untuk menyarung jersi negara.
Lebih menghangatkan keadaan apabila ada pihak memainkan isu itu dengan mempersoalkan apakah FAM sudah ‘ditipu hidup-hidup’ oleh kelab Cools.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Dion Cools
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyambut ketibaan Cools di Dubai pada 31 Mei 2021 untuk memperkuatkan cabaran Harimau Malaya dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia. - Sumber gambar: FAM
Adakah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah 'ditipu hidup-hidup' oleh FC Midtjylland? Demikian pertanyaan diajukan oleh sebuah akhbar terkemuka tempatan.
Bagi penganalisis bola sepak, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, pertikaian tidak sepatutnya berlaku apatah lagi untuk mempersoalkan kejujuran Cools dan kelabnya tanpa mengetahui situasi sebenar pemain itu.
Menurut Zulakbal, dengan hanya bersandarkan aksinya selama 10 minit bersama Midtjylland pada Ahad (3 Oktober 2021) lalu, tidak adil untuk menuduh Cools atau kelabnya menipu kononnya pemain itu cedera.
Dr Zulakbal Abd Karim, Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Kecederaan dalam bola sepak ini banyak kategori, tak semestinya bila disebut cedera, pemain itu sampai tak boleh berlari atau berjalan.
“Mungkin kecederaan dialami Cools itu boleh dikategorikan kecederaan ringan tapi jika dia menyahut panggilan skuad kebangsaan dan beraksi pada peringkat antarabangsa, ada kemungkinan kecederaannya akan menjadi lebih serius.
“Jadi, bagi mengelak daripada keadaan itu berlaku, adalah lebih baik dia menarik diri untuk memastikan kecederaannya benar-benar pulih dan bersedia sepenuhnya untuk skuad kebangsaan pada Piala AFF dan kelayakan Piala Asia kelak.
“Saya boleh menerima alasan bahawa Cools diturunkan oleh kelabnya selama 10 minit pada perlawanan Ahad (3 Oktober 2021) lalu itu sebagai salah satu sesi pemulihan untuk kecederaannya.
Dion Cools mencetuskan kontroversi apabila turun beraksi bersama kelabnya, Midtjylland pada Liga Denmark, Ahad, 3 Oktober 2021 selepas menarik diri daripada skuad Harimau Malaya atas alasan cedera.
Usahlah kita asyik mempertikaikan apa sahaja yang dilakukan oleh FAM. Janganlah kita menjadi penyokong yang membawa rebah." - Zulakbal
“Menuduh kelab itu menipu FAM adalah keterlaluan. Saya fikir kedua-dua pihak (FAM dan Mitjylland) mempunyai hubungan yang baik malah saling berhubung untuk mengetahui perkembangan pemain berkenaan,” katanya.
Zulakbal yang merupakan Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan pensyarah kanan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga menganggap ketiadaan Cools itu memberi sesuatu yang positif kepada Harimau Malaya dan jurulatih, Tan Cheng Hoe.
“Penyokong tidak sepatutnya melihat daripada sudut negatif semata-mata. Buka sikit minda, jadilah penyokong yang bijak dan profesional dalam menilai sesuatu keadaan atau isu.
“Kalau kita lihat dari sudut positif, ketiadaan Cools ini memberi peluang kepada Cheng Hoe untuk menguji pemain lain dan inilah masanya pemain-pemain muda terutama pemain tempatan menunjukkan kemampuan mereka.
“Selama ini ada suara yang mempertikaikan kebergantungan kita kepada pemain-pemain tertentu atau dari kelab tertentu tapi pada pemilihan kali ini, lebih ramai muka baharu diberi peluang, jadi kita sokonglah.
“Usahlah kita asyik mempertikaikan apa sahaja yang dilakukan oleh FAM. Janganlah kita menjadi penyokong yang membawa rebah,” tegas Zulakbal.
Ketiadaan beberapa orang pemain utama termasuk Cools memberi peluang Cheng Hoe menguji pemain baharu. - Kredit foto: FAM.
Sementara itu, Cools sendiri tampil menjelaskan situasi sebenar ekoran isu yang dicetuskan penyokong susulan penarikan dirinya dari skuad kebangsaan.
“Saya sangat teruja apabila dapat menyarung jersi Malaysia dan ia adalah satu kebanggaan buat saya secara peribadi. Namun, saya perlu jelaskan mengenai ketiadaan saya pada kem skuad kebangsaan kali ini.
“Secara jujur, saya masih mengalami
kecederaan serius dan belum berada pada tahap 100 peratus. Justeru, kelab telah
bersetuju untuk memberi
cuti rehat antarabangsa selama dua minggu bagi proses pemulihan.
“Justeru, keputusan itu menyaksikan saya tidak dapat mewakili skuad kebangsaan pada dua perlawanan antarabangsa dan saya harap penyokong bola sepak negara memahami keputusan saya,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Instagram rasminya.
Skuad Harimau Malaya menjalani latihan di Amman bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jordan dan Uzbekistan. - Kredit foto: FAM
Dalam pada itu, Cheng Hoe turut mempertahankan Cools walaupun mengakui ketiadaan pemain berpengaruh itu satu kehilangan besar kepada skuad kebangsaan bagi mengharungi perlawanan persahabatan bertaraf tinggi.
“Ya, kami sedar ia menjadi isu.
Kelabnya memaklumkan kepada kami Dion belum 100 peratus cergas dan aksinya
selama 10 minit itu adalah sebahagian daripada proses pemulihannya.
“Ya, ia satu kehilangan besar tapi apa
yang lebih penting adalah melihat Dion benar-benar cergas pada masa depan. Kami
akan menilai perkembangannya,” jelas Cheng Hoe.
Sebagai rekod, pemain pertahanan
berusia 26 tahun itu telah berada dalam senarai 24 pemain kebangsaan bagi mengharungi
aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan di Amman, Jordan.
Namun, FAM menggugurkan nama Cools selepas dilaporkan masih mengalami kecederaan dan hanya membawa 22 pemain untuk dua perlawanan persahabatan itu.
Dalam perlawanan persahabatan pertama menentang Jordan di Stadium King Abdullah II, Amman, pada Rabu, 6 Oktober, 2021, Harimau Malaya dibaham 4-0 oleh pasukan ranking ke-93 dunia itu.
Jordan menamatkan babak pertama dengan kedudukan selesa selepas mendahului dua gol hasil jaringan Ali Olwan pada minit ke-34 dan Odai Al-Saify minit ke-42.
Tidak sampai lima minit selepas bersambung babak kedua, Ali berjaya melengkapkan hatrik apabila penyerang berusia 21 tahun itu meledak dua gol pantas pada minit ke-47 dan ke-49.
Anak buah Cheng Hoe akan diuji pula
oleh Uzbekistan yang menduduki ranking ke-84 dunia pada Sabtu, 9 Oktober, 2021.
Perlawanan persahabatan antarabangsa itu adalah sebagai sebahagian persiapan skuad negara menghadapi Piala AFF 2020 pada Disember 2021 dan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 pada Februari 2022. - KitaReporters
Pemain Malaysia, Rizal Ghazali cuba menghalang gerakan penyerang Jordan, Ali Olwan dalam aksi persahabatan di Amman pada Rabu, 6 Oktober, 2021. - Kredit foto: FA Jordan.