Seni & Sukan 25 Jul, 2020

Riwayat Salammusik memberangsangkan! Menyemai Kemungkinan!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this

KUMPULAN reggae tempatan, Salammusik meraikan ulang tahun pertama penghasilan album fizikal mereka yang berjudul Riwayat. Sehubungan itu, para peminat boleh melayari lagu utama album tersebut, Menyemai Kemungkinan, menerusi platform digital yang terpilih. : KitaReporters

Kumpulan Salammusik mahu berkongsi kegembiraan dengan peminat sempena setahun pelancaran album fizikal Riwayat.


“Lagu Menyemai Kemungkinan adalah sebahagian dari album Riwayat, yang diilham berdasarkan sejarah Malaysia. 

"Buku ini mengandungi karya seni, puisi, terjemahan, transkripsi, dan akord album.

“Menyemai Kemungkinan telah dijadikan lagu tema bagi filem aksi seni mempertahankan diri iaitu Geran

"Mulai sekarang, peminat juga boleh melayari lagu versi asal tersebut mahu pun versi Newsantara Remix by YYY Hertz di semua platform digital seperti i-Tunes, Spotify dan sebagainya,” jelas Ashraf Salam yang merupakan penyanyi dan produser Salammusik.

Salammusik sentiasa mengangkat muzik tradisional dalam karya mereka.


Beliau menganggap selepas album Riwayat dilancarkan pada 26 Julai 2019, perjalanan kerjaya muzik mereka amat memberangsangkan kerana menerima tawaran persembahan tanpa henti.

“Ia merupakan tahun yang memberangsangkan untuk kami. 

"Selepas pelancaran album fizikal yang pertama, Riwayat, kami mulai sibuk dengan aktiviti jerayawara di seluruh negara dengan persembahan di Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Ipoh.

“Kami sangat berbesar hati dengan sambutan menggalakkan yang telah diterima menerusi peminat dan penyokong muzik kami dari Malaysia. 

"Di samping itu juga, kami berasa amat teruja dengan undangan untuk melakukan persembahan di festival-festival utama di Eropah khususnya,” tambahnya.

Inilah album Riwayat yang membawa tuah kepada kumpulan Salammusik.


Meskipun lagu-lagu Salammusik tidak serancak lagu-lagu lain disiarkan di stesen radio tempatan, namun kumpulan yang dianggotai 10 anggota itu tetap berbangga kerana perjuangan mereka dalam seni mendapat pengiktirafan pelbagai pihak.

Antara yang menyokong perjuangan mereka adalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia. 

Pihak DBP sentiasa menyokong inisiatif murni Salammusik dalam memartabatkan elemen muzik tradisional di dalam penghasilan naskah mereka.

Malah usaha murni Salammusik itu juga turut mendapat  pengiktirafan dan surat penghargaan yang dizahirkan oleh kerajaan Malaysia sendiri.

“Ia satu perasaan yang sukar untuk digambarkan apabila usaha kreatif kami mendapat perhatian oleh pemimpin negara ini. 

"Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong usaha kami sejak awal lagi,” ujar Ashraf Salam.

Beliau turut menjelaskan, jika tidak kerana pandemik Covid-19, Salammusik sudah berada di Eropah untuk menghibur peminat mereka di sana.

Salammusik sering diundang menjayakan festival di luar negara termasuk di Eropah.


“Berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia baru-baru ini, Salammusik terpaksa membatalkan jelajah Eropah yang telah dijadualkan pada tahun ini biar pun telah mengesahkan penyertaan kami di dalam sembilan festival utama di sana.

“Keputusan ini terpaksa diambil memandangkan pembatalan serta penundaan acara dan festival muzik di seluruh dunia disebabkan wabak ini. 

"Namun begitu, kebanyakan festival ini telah pun menjadualkan semula pembabitan Salammusik ke tahun hadapan, 2021,” jelasnya.

Beliau juga mahu pemuzik tempatan untuk berani dalam mengeksplorasi koloborasi pada peringkat antarabangsa kerana banyak pengalaman dan ilmu baru yang boleh ditimba.

“Dunia sedang berevolusi dan saling menginspirasikan, kita juga tidak harus ketinggalan,” katanya memberi semangat. - KitaReporters

2
0
0
0
0
You will be interested