Seni & Sukan 21 Feb, 2022

Video| Haqiem Rusli berkurung 2 minggu di rumah! Marsha tak fikir nak menang! Siap sedia ke AJL36!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


SIAPAKAH pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke 36 (AJL36) pada malam 6 Mac 2022 nanti? Sudah pasti rata-rata 12 finalis yang bersaing mengharapkan rezeki kemenangan berpihak kepada diri masing-masing.

“Semestinya saya juga meletakkan harapan untuk menang. Dan jika menang ia adalah rezeki dan bonus bagi saya namun jika sebaliknya saya anggap tersenarai dalam top 12 pun satu penghargaan yang besar,” ujar pemenang tempat ke-3 AJL 32, Haqiem Rusli pada sidang media  AJL36 yang diadakan secara virtual pada semalam, Ahad, 20 Februari 2022.



Selepas kemenangannya pada AJL32, Haqiem Rusli, 23, hanya tersenarai dua kali sebagai finalis pada AJL33 dan AJL34 di mana hanya pada AJL34 melalui lagu ‘Lembah Kesepian’, beliau berjaya terpilih sebagai pemenang Anugerah Pilihan Peminat Setel. 

Pada AJL36 tahun ini, Haqiem Rusli berjaya menduduki senarai 12 finalis melalui lagu solonya, ’Mimpi’ dan ‘Lara’ lagu trio bersama Hael Husaini dan Naim Daniel. 

Berkongsi mengenai persiapan menuju pentas berprestij itu, Haqiem Rusli memberitahu beliau sudah mula melakukan latihan di rumah.

“Saya akan duduk di rumah selama dua minggu bagi mengelak terkena wabak COVID-19 yang masih berleluasa di luar sana dan hanya akan keluar apabila memerlukan,” ujar Haqiem yang tidak terlepas daripada melakukan latihan vokal dan senaman seperti joging atau berenang .



Menyuarakan perasaan rindunya untuk kembali ke pentas AJL, Haqiem berdoa agar diberikan kesihatan yang baik menjelang AJL36. “Fokus saya sekarang hanya AJL36,” ujar Haqiem,

Mungkinkah ‘Mimpi’ akan menjadi realiti ataupun gabungan tiga suara bersama rakannya, Hael Husaini dan Naim Daniel melalui ‘Lara’ membawa kemenangan?



Jika Haqiem Rusli sudah biasa dengan pentas AJL, berlainan pula dengan Marsha Milan Londoh, 36, yang lebih teruja kerana ini pertama kalinya beliau melangkah ke majlis pertandingan tahunan bagi karya muzik Malaysia yang diperkumandangkan dalam carta Muzik Muzik TV3 bermula sejak 1986. 

“Kemenangan bukan keutamaan saya kerana dapat masuk ke pentas akhir pun saya dah bersyukur apatah lagi ini pertama kali,” ujar Marsha.

Tambahnya, memang semua mahukan kemenangan tetapi fokus saya sekarang hanya memberikan persembahan terbaik khususnya dari segi vokal.

“Saya perlu berlatih vokal agar dapat membawa lagu ‘Cinta’ ciptaan rakan saya, Akim dan Stacy sebaik mungkin,” tambah Marsha sambil mengakui rasa gementar.



Seperti Marsha, rata-rata finalis lain yang bersama ketika sidang media maya berlangsung sependapat sedang melakukan latihan vokal dan bersenam. 

Antaranya, Aina Abdul, Naim Daniel, Hael Husaini, Bunga Isme, Noraniza Idris, Khai Bahar dan ramai lagi semantara Ernie Zakri yang kini sedang sarat mengandung khabarnya akan meletakkan penggantinya tetapi masih dirahsiakan.

Anugerah Juara Lagu bakal melangsungkan edisi ke-36 pada 6 Mac 2022 (Ahad), bersiaran langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pukul 9.00 malam di TV3 dan strim secara langsung di www.anugerahjuaralagu.com , www.tonton.com.my, dan Youtube TV3 Malaysia. 



Bertemakan ‘Ini Rentak Kita’, yang menyatukan 12 lagu daripada genre muzik berbeza menerusi gabungan rentak 12 buah lagu AJL36 menampilkan gandingan hos Alif Satar dan Nabila Huda untuk mengemudikan acara kemuncak.

Anugerah muzik berprestij ini mengangkat martabat komposer, penulis lirik dan penyanyi yang mana Juara Lagu akan memenangi RM100,000 bersama trofi, naib juara, RM50,000 bersama  trofi dan pemenang tempat ketiga, RM30, 000 bersama trofi. 

Manakala, pemenang Vokal Terbaik akan menerima RM12,000 dan trofi, pemenang kategori Persembahan Terbaik bakal menerima RM12,000 dan trofi serta hadiah wang tunai RM6,000 daripada Noir Beauty Essence. 

Sementara itu, para peminat boleh mengundi penyanyi kegemaran mereka menerusi Anugerah Penyanyi Pilihan Popular AJL  di laman web rasmi www.anugerahjuaralagu.com yang berlangsung dari 9 Februari 2022 hingga 3 Mac 2022. - KitaReporters


Marsha dan Hagiem Rusli antara finalis AJL36.

12
8
0
11
0
You will be interested