IBARAT melepaskan hasrat terbuku selama dua tahun kerana terpaksa berkurung menyambut Hari Raya Aidilfitri berikutan pandemik Covid-19 guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pintas Raya (SKPR) Batu Pahat, Johor menghasilkan klip video lagu Warna-Warni Aidilfitri bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri tahun 2022 ini.
Untuk menyempurnakan penghasilan klip video berkenaan mereka mewujudkan Kumpulan SPiRA yang dianggotai guru dan warga pentadbir SKPR bagi bergabung menyumbangkan suara menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan artis tanah air.
Lagi-cerita-cerita menarik berkaitan lagu-lagu raya
Anuar (kanan) bersama-sama guru yang turut menyumbang suara untuk klip video Warna-Warni Aidilfitri.
Guru Penolong Kanan 1 SKPR, Anuar Ahmad, berkata idea tercetus menghasilkan klip video berkenaan sebagai suatu usaha menghasilkan kenangan mengembirakan bagi warga SKPR menyambut Syawal selepas seluruh rakyat Malaysia pelbagai peringkat terkesan dengan pandemik Covid-19.
Menurutnya, apabila cadangan itu dikemukakan dalam mesyuarat
perkara berkenaan mendapat sokongan daripada semua guru serta warga pentadbir
sekolah khusus Guru Besar SKPR, Yuasmadi Selamat yang memberi suntikan
semangat.
Tambahnya, paling menarik selain guru dan warga pentadbir, Yuasmadi turut menzahirkan hasrat menyumbangkan suara dalam klip video itu sebagai tanda sokongan usaha murni ke arah memupuk sepakatan dan kerjasama warga SKPR dalam menjayakan sesuatu projek.
Sebahagian adegan dalam klip video Warna-Warni Aidilfitri yang dijayakan kumpulan SPiRA SK Pintas Raya.
“Usaha ini juga menjadi mudah apabila majoriti guru lelaki
dan perempuan serta warga pentadbir yang terbabit dalam klip video berbakat
serta berkebolehan menyanyi dengan memiliki nada suara amat baik walaupun tidak
selunak artis popular,” katanya.
Anuar yang popular dengan panggilan Cikgu Bob juga seorang
komposer lagu, berkata rakaman dan latihan dibuat menggunakan studio SKPR yang
mendapat kerjasama baik daripada semua terbabit bagi memastikan klip video itu
dapat disiapkan segera.
Menurut beliau, pengalaman menghasilkan klip video seumpama sebelum ini menjadikan suatu pengajaran bagi mencipta klip video yang lebih menarik dengan memperbaiki kelemahan serta kekurangan supaya menjadi daya tarikan untuk ditonton.
Guru-guru dan warga pentadbir SK Pintas Raya, Batu Pahat, Johor, yang terbabit dalam pembikinan klip video Warna-Warni Aidilfitri 2022.
Jelasnya, secara tidak langsung juga manfaat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 dan guru terpaksa mengajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang membuatkan mereka menjadi pakar dalam bidang teknologi maklumat (IT).
“Kepakaran ini saya manfaatkan bersama beberapa guru dalam
pembikinan klip video lagu Warna-Warni Aidilfitri supaya kelihatan menarik dan menggambarkan
suasana kegembiraan menyambut Syawal serta turut membabitkan hampir sebahagian
murid .
“Latihan dan sesi rakaman tidak mengambil masa yang lama apabila masing-masing sudah menghafalkan lagu berkenaan dan dapat menari dengan lenggok yang bersahaja mengikut irama lagu,” katanya. - KitaReporters
Sebahagian murid SK Pintas Raya turut terbabit dalam pembikinan klip video Warna-Warni Aidilfitri.