
RAYA tahun 2022 ini, Vivo Malaysia bekerjasama dengan Multimedia Production Film untuk menerbitkan sebuah filem pendek bertajuk ‘Chup! Raya Dulu!’, yang mengisahkan sebuah keluarga kaya yang mula mengenali erti hidup bermasyarakat semasa sambutan Raya.
Filem berdurasi 9 minit 33 saat ini dirakam sepenuhnya menggunakan Vivo X80 Pro baharu, telefon pintar fotografi profesional dengan teknologi pengimejan mudah alih termaju hasil rekaan bersama Zeiss.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan iklan raya

‘Chup! Raya Dulu!’ merupakan sebuah cereka yang berkisar pada kehidupan Kassim, seorang ahli perniagaan kaya bersama keluarganya di sebuah kampung, beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Kassim dan keluarganya yang sebelum ini suka menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah dengan cerita rancangan percutian hari raya mereka ke Switzerland, akhirnya terpaksa tinggal di rumah dan berpura-pura sedang menikmati percutian yang digembar-gemburkan tersebut.

Filem ini bertujuan menonjolkan kepentingan kehidupan bermasyarakat yang positif dan sokongan dalam masyarakat.
Filem arahan Ghaz Abu Bakar ini menyaksikan Kassim (lakonan Dato’ Afdlin Shauki), isterinya Zaleha (lakonan Diana Danielle) dan anak mereka, Kamil (lakonan Irfan) yang begitu bangga dengan rancangan percutian Hari Raya mereka sebelum pandemik melanda. Malangnya, semasa menghadapi pandemik, perniagaan Kassim merudum sehingga mereka tidak mampu lagi untuk meneruskan rancangan untuk bercuti di Switzerland, tetapi memandangkan Kassim telah pun bermegah-megah dan bercerita kepada jiran-jiran mengenai rancangan tersebut, Kassim dan keluarganya mengambil keputusan untuk berpura-pura pergi bercuti sedangkan mereka berada di rumah. Bagaimanapun, helah mereka akhirnya terbongkar.
Mike Xu, Ketua Pegawai Eksekutif vivo Malaysia berkata, “Di vivo, kami berpegang kepada keteguhan perpaduan dan kerendahan hati. Ciri-ciri inilah yang dapat memajukan manusia tanpa mengira status atau latar belakang individu, oleh itu kami begitu teruja untuk turut serta dalam projek filem pendek ini, kerana nilai-nilai positif yang dibawakan akan menjadikan sambutan Hari Raya pada tahun ini lebih bermakna. Teknologi pengimejan termaju yang dibangunkan bersama ZEISS pada vivo X80 Pro merealisasikan slogan kami iaitu ‘Sinematik, Ditakrifkan Semula’, di samping menyerlahkan filem pendek ini dan membantu menonjolkan keupayaan penggambaran telefon pintar tersebut. Proses penggambaran yang dijalankan dengan vivo X80 Pro telah merapatkan jurang antara kamera telefon pintar dan peranti filemografi profesional.”

“Pengalaman mengarah ‘Chup! Raya Dulu!’ merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan bagi saya.
"Setiap kali saya mengarah filem, tumpuan saya adalah untuk mewujudkan sinergi sinematik menerusi cahaya dan bayang-bayang dan imbangan antara kedua-dua elemen tersebut. Ini adalah bahasa sinematik saya dan bagi saya, merakam filem menggunakan Vivo X80 Pro adalah amat mengujakan kerana ia membolehkan saya merakam cahaya dan bayang-bayang yang sesuai dengan begitu jelas.
"Saya harap filem ini dapat membawakan kegembiraan, humor dan pengajaran kepada semua rakyat Malaysia yang menontonnya, dan saya benar-benar mengharapkan mereka dapat merasai keseronokan menonton filem pendek ini sama seperti keseronokan yang saya rasakan semasa mengarahnya,” ujar Ghaz Abu Bakar, Pengarah ‘Chup! Raya Dulu!’.
Filem pendek ini juga menampilkan lagu tema bertajuk ‘Takbir Lebaran’, yang dinyanyikan oleh penyanyi terkemuka Malaysia, Dato’ Seri Siti Nurhaliza.
Berdasarkan lagu asal Dato’ Sri Siti, ‘Nazam Lebaran’, lagu ini menggambarkan kisah dalam filem pendek ini, yang memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mengamalkan kehidupan bermasyarakat yang positif dan berkongsi kegembiraan menyambut Raya bersama-sama. - KitaReporters
