Dulu Rosli Mohalim, 71, menjadi gitaris legenda kumpulan rock Sweet Charity mulai 1978 hingga kini.
Rosli atau nama sebenarnya Rosli Dolah adalah antara anggota paling lama bersama Sweet Charity, bermula dari main bes beralih kepada gitar utama.

Sweet Charity masih wujud, namun sudah kurang mendapat ‘show’ dan kurangnya peluang menjadi pemuzik undangan ‘sessionis’ menyebabkan rezeki Rosli semakin meruncing.
Dan keadaan semakin menyedihkan apabila Rosli mengalami penyakit strok (angin ahmar) sebelah kanan tubuhnya sejak lebih tiga tahun lalu (2021).
Setelah mendapat rawatan termasuk rawatan tradisional seperti urut, akupunktur dan bekam darah, keadaan kesihatannya bertambah baik, kembali pulih 90 peratus.


Kemahiran Rosli Mohalim bermain gitar diakui peminat rock
Demi mencari rezeki, setelah kembali boleh bermain gitar elektrik, Rosli sanggup mengetepikan ego sebagai gitaris legenda dengan menjadi pemuzik jalanan atau busker.
Rosli mula menjadi busker di sekitar Johor Bahru, Johor. Dan bagi memperolehi pendapatan lebih baik Rosli sejak Ogos 2024 mencari rezeki di seberang tambak iaitu Singapura untuk 3 atau 4 kali seminggu.
Untuk tujuan itu, Rosli akan berulang dari Johor Bahru jam 10 pagi dan balik semula jam 7 malam. Rosli mendapat lesen busking daripada Majlis Seni Kebangsaan (NAC) Singapura setelah menjalani ujian agak ketat dan perlu dibaharui setiap tahun.



Dengan kerja busking bermula dari waktu tengah hari sehingga senja, Rosli menerima pendapatan selesa bagi membolehkan dia menampung kehidupan sekeluarga dan membeli ubat-ubatan.

Ketika melakukan busking Rosli pernah disaksi beberapa rakan seni, termasuk Datuk Ramli Sarip.
Dan masih ada generasi lama yang masih mengingati dia sebagai bekas anggota Sweet Charity. Malah ada generasi muda yang menyatakan ayah dan ibu mereka pernah menjadi peminat kumpulan rock Melayu terkenal itu.
Rosli masih mengadakan busking di Johor Bahru seminggu sekali iaitu di Plaza Angsana. Di sini dia busking bersama penyanyi wanita bernama Nora.
Namun di Singapura Rosli mengadakan persembahan secara solo. Ini memerlukan Rosli turut menyanyi sambil memetik gitar.
Setelah menginjak senja Rosli turut mengasah kebolehan menyanyi. Dia mendendangkan lagu-lagu ‘retro’ berbahasa Melayu, Indonesia dan Barat serta sejumlah lagu popular Sweet Charity.
Selain mencari rezeki, menjadi busker merupakan terapi untuk melawan penyakitnya dan menghiburkan dirinya.
Rosli bercadang untuk menjadi busker selagi terdaya. Dan dia sentiasa berdoa Tuhan memberi kesihatan yang baik untuk terus menjalankan kerjaya seni.
Persembahan buskingnya di Singapura semakin mendapat perhatian apabila beberapa media cetak dan elektronik di Singapura membuat liputan.

Walaupun bercadang menjadi busker sehingga akhir hayat, Rosli berharap Sweet Charity mendapat peluang mengadakan beberapa konsert lagi. Walaupun sudah berusia 71 tahun, Rosli masih mengekalkan penampilan rocknya kerana jiwa rocknya masih menebal.
Dengan nama besar Sweet Charity, Rosli percaya masih punya ramai pengikut dan peminat generasi baru. Sebahagian anggota telah memasuki usia 70-an namun masih mampu memberi persembahan baik.
Rosli adalah antara contoh pemuzik yang hilang punca pendapatan setelah kumpulan muzik berpecah atau tidak aktif lagi. Namun semangat kental Rosli sanggup menurunkan ego untuk menjadi artis jalanan perlu dicontoh.