Seni & Sukan 24 Jul, 2025

Kemenangan manis! Gajah Putih tumbang di Hatyai! Kita buru juara kuadran Piala Raja Thailand!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

AFIFUDDIN Razali (14), Aidil Aiman Azwawi, Shahalril Aiman Halim (22) dan Norfaizzul Razak bersorak meraikan kejayaan menumbangkan Thailand 15-13, 17-16 dalam perlawanan Kumpulan A kuadran King's Cup 2025 di Hatyai. - Kredit foto: ST 


TIDAK hanya setakat juara Kumpulan A, bahkan skuad negara kini menghampiri satu lagi lembaran sejarah untuk menggondol gelaran kuadran (berempat) pada Kejohanan Sepak Takraw Dunia Istaf Piala Raja Thailand (King’s Cup) Ke-38, 2025.

Melakukannya di tanah Si Gajah Putih itu pasti lebih manis, ‘mahal’ nilainya dan paling dikenang seumur hidup apatah lagi setelah menumpaskannya 15-13, 17-16 dalam saingan Kumpulan A Divisyen Perdana di sebuah pusat beli-belah di Hatyai, Songkhla pada 23 Julai 2025.

Inilah kemenangan sulung terhadap musuh tradisi dalam acara kuadran yang diperkenalkan di arena antarabangsa dalam Kejohanan Empat Penjuru di Kuala Lumpur pada Jun 2017 manakala King’s Cup mulai September 2018.

Ketika menjuarai kuadran Piala Asia Astaf pada 12 Mei 2025 lalu, ramai yang masih memperlekeh nilai kejayaan tim negara kerana hanya mengalahkan Jepun 15-8, 15-11 dalam perlawanan akhir di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.



Sedangkan Thailand memilih untuk tidak menyertai acara itu sebagai mematuhi peraturan pertandingan untuk bertumpu kepada berpasukan, regu dan beregu.   

Kali ini sang juara Asia bagaikan buku bertemu ruasnya apabila lebih awal menjinakkan si juara Piala Dunia Istaf di Bihar, India pada Mac 2025 itu.

Menariknya kecuali Sankrai Daoreang, Thailand mengekalkan barisan juara dunia ini dalam King’s Cup iaitu Kritsanapong Nontakote, Phutawan Sopa, Rachan Viphan, Seksan Tubtong dan Pornthep Tinbangbon.

Gandingan Afifuddin Razali, Noraizat Nordin, Aidil Aiman Azwawi dan Norfaizzul Razak serta simpanan, Shahalril Aiman Halim dan Zarif Marican Ibrahim Marican mengesahkan status juara kumpulan dengan mengalahkan Singapura 15-6, 15-12 dalam perlawanan penamat Kumpulan A.

Terdahulu juga pada 23 Julai 2025, mereka berjaya melolosi tantangan 'Kumpulan Maut' yang menghimpun empat kuasa sepak takraw dunia dengan menundukkan Myanmar 16-17, 15-8, 15-11 dan Korea Selatan 15-13, 11-15, 15-12.


AFIFUDDIN Razali (14) memagari rejaman gulung pemain Thailand, Phutawan Sopa sambil diawasi kaptennya, Rachan Viphan. - Kredit foto: ST


Kemaraan ke separuh akhir pada petang 25 Julai 2025 akan menemukan Malaysia dengan naib juara Kumpulan B, Jepun.

Terajunya, Vietnam yang pernah menyekat pemain kita 15-12, 15-5 pada peringkat kumpulan sehingga gagal ke suku akhir Piala Dunia Istaf di Bihar, bakal berdepan Thailand.

Kuadran King’s Cup kali ini lebih mencabar terutama kepada Noraizat Nordin dan Shahalril yang turut kena beraksi dalam acara kuadran campuran dan berpasukan yang jadualnya begitu padat dan rehat yang terhad, sekali gus menuntut ketahanan mental dan fizikal yang tinggi. 

Ketika kuadran mula dipertanding Sukan SEA di Kuala Lumpur 2017, Thailand juga menghampakan tuan rumah 21-16, 21-13 dalam separuh akhir untuk memaksanya sekadar beroleh pingat gangsa. - KitaReporters


SHAHALRIL Aiman Halim (22) menadah belakang badannya sebagai penampan libasan gulung Phutawan Sopa manakala Kritsanapong Nontakote (23) mengawasinya. - Kredit foto: ST

14
9
0
15
0
You will be interested