
Muhammad Alif Loqman Muhammad Saifullah membaca puisi dengan penuh aksi.
Tahun ini (2025), pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-Sekolah Malaysia (SDPKSM) Peringkat Negeri Pulau Pinang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sejahtera, Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 17 Julai 2025 lalu.
Seramai 30 pelajar sekolah menengah dipilih menyertai pertandingan itu yang bermula pukul 10.30 pagi sehingga 1.00 petang.
Setiap pelajar menunjuk pelbagai aksi menarik ketika menyampaikan puisi tersebut.
Bagaimanapun, Muhammad Alif Loqman Muhammad Saifullah, 17, dari SMK Taman Sejahtera telah dipilih menjadi juara setelah mendeklamasikan puisi bertajuk 'Wujud Yang Menipis' hasil bimbingan daripada Sharifah Atikhah Syed Alias.
Hasil kejayaan itu, pelajar tersebut menerima hadiah wang tunai RM300 bersama trofi dan sijil penyertaan.
Naib johan pula disandang oleh Muhammad Dinie Akmal Mohd Khairun Nizam, 15, dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Madrasah Al-Islamiah di Seberang Perai Utara (SPU) melalui tajuk puisi 'Sekepal Tanah Di Hujung Simpang'.
Ketiga pula ialah Nurzulaikha Zaini, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penanti, Bukit Mertajam dengan puisi bertajuk 'Demi Satu Tekad'.
Pemenang kedua menerima RM200, manakala ketiga RM100 di samping trofi serta sijil.

Pertandingan diadakan itu anjuran Pusat Sumber SMK Taman Sejahtera bersama Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Perpustakaan Desa Mengkuang Titi Seberang Perai Tengah (SPT).
Pemenang utama bakal mewakili negeri Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan yang bakal berlangsung selama empat hari pada 14 hingga 17 Ogos di Dataran MITC Melaka.
Ketua 1 2PNP, Datuk Anuar Ahmad ketika berucap merasmikan pertandingan itu berkata, generasi muda hari ini masih lagi bersemangat untuk membaca puisi berkaitan kemerdekaan negara.
Menurutnya, pembacaan puisi yang dilakukan oleh setiap peserta penuh dengan aksi cintakan negara sendiri.
Sehubungan dengan itu, katanya, 2PNP akan terus memainkan peranan bagi menjayakan pelbagai program murni seumpama ini dengan melibatkan pelajar sekolah menengah dari semasa kesemasa.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengetua SMK Taman Sejahtera, Mustaffa Hashim. - KitaReporters
