.

HULK Hogan, juara dunia enam kali WWF/WWE mempandemikkan Hulkamania dan WrestleMania serta gusti profesional ke pelosok dunia sejak 1980-an. - Kredit foto: WWE
IMPAKNYA kepada gusti profesional amat besar. Kemunculan Hulk Hogan sebagai juara heavyweight dunia World Wrestling Federation (WWF) pada 23 Januari 1984 setelah menumpaskan The Iron Sheik turut menularkan ‘wabak’ Hulkamania ke seluruh dunia sekali gus meledakkan populariti sukan hiburan itu.
Malah wabak itu mendorong kelahiran temasya tahunan, WrestleMania pula yang sehingga hari ini sudah memasuki edisi ke-41 sejak diasaskan pada 31 Mac 1985 di Taman Dataran Madison, New York, Amerika Syarikat (rakamannya juga disiarkan TV3 beberapa bulan kemudian).
Tidak kisahlah kalau ramai juga yang sering mengecam gusti sebagai penipu atau lakonan sahaja (wrestling is fake!), Malaysia turut menjadi antara sebahagian besar negara di seluruh dunia yang mengembangkan industri sewaan pita video VHS gusti sejak era pertengahan 80-an dan bukan sedikit yang mendapat tempias labanya.
Menjadi satu fenomena juga apabila restoran-restoran mamak dipenuhi pelanggan hanya kerana ‘gustimania’ dan Si Hulkster wira mereka serta watak-watak antagonis seperti Andre The Giant, King Kong Bundy, Macho Man Randy Savage, Paul Orndorff, Roddy Piper dan Magnificent Muraco.
Sentiasa terpahat dalam memori mereka, penangan penyudah popular Hogan iaitu tujahan but dan hentakan kaki agamnya pada dada lawan yang terbaring di tengah gelanggang selain aksi ‘naik sheikh’ menyerap pukulan sambil menggoncang badan sebelum memberi isyarat jari amaran.

HENTAKAN kaki penangan penyudah Hulkster buat Ric Flair yang lebih masyhur di gelanggang NWA/WCW. - Kredit foto: WWE
Ada yang sanggup pula duduk berjam-jam dengan mata terpaku ke kaca TV hanya untuk melayan video WWF WrestleMania mahupun NWA (National Wrestling Alliance) atau World Championship Wrestling (WCW) yang bersambung pitanya walaupun sekadar memesan dan minum segelas teh tarik.
Hasil paparan TV Malaysia dan TV3, berkembang pesat juga golongan pengikut setia rancangan gusti setiap minggu seperti “On The Mat”, “WWF All-American Wresling”, “IWA International Championship Wrestling” sebelum sajian gusti ini beralih kepada era cakera padat video (VCD) cakera padat digital (DVD) pada awal 2000-an.
Majalah bulanan gusti pro dari Amerika Syarikat seperti ‘Wrestling Main Event’, ‘WWF Magazine’ dan ‘Pro Wrestling Illustrated’ turut melimpah masuk ke kedai-kedai buku Malaysia atas permintaan ramai peminat biarpun harganya melebihi RM10 senaskhah.
Ada juga sebuah majalah berbahasa Melayu berjudul “Dunia Gusti” yang diterbitkan mulai 1988 dengan mencedok kandungannya dan bertahan beberapa tahun ekoran sambutan yang tidak kurang hangatnya sementara akhbar harian perdana, Utusan Malaysia menyiarkan kolum mingguan, Gusti kelolaan Badang sehingga awal 90-an.
Gimik The Immortal Hulk Hogan timbul ekoran pertemuan Terrence Gene Bollea (nama sebenarnya) dalam sebuah program bicarawara TV di Memphis dengan pendukung watak komik Marvel yang diadaptasikan kepada siri TV, “The Incredible Hulk” iaitu Lou Ferrigno juga ahli bina badan profesional.

MAJALAH 'Dunia Gusti' berbahasa Melayu yang menemui para peminat di Malaysia mulai Februari 1988 dengan Hulk Hogan (kanan) menggasak King Kong Bundy sebagai penghias kulit depannya. - Kredit foto: GG
Namun segalanya kini hanya tinggal kenangan dan sejarah dengan tersebarnya berita duka bahawa legenda gusti pro yang juga pencetus budaya pop (pop-cult) ini telah pergi buat selama-lamanya akibat serangan jantung dalam usia 71 tahun di sebuah hospital di Clearwater, Florida, Amerika Syarikat pada pagi 24 Julai 2025.
Bollea yang dilahirkan di Augusta, Georgia pada 11 Ogos 1953, meninggalkan sepasang anak, Brooke dan Nick hasil perkongsian hidup dengan Linda Claridge dari 1983 hingga 2009, manakala anak saudaranya, Horace Hogan (Michael Allan Bollea) juga bekas penggusti WCW dari 1997 hingga 2000.
Gimik lain Hogan termasuk Sterling Golden, Super Destroyer, Terry Boulder, Mr. America dan Hollywood Hogan.

HULKSTER memerani Thunderlips yang cuba dikunci tidur oleh Rocky Balboa (Sylvester Stallone) dalam "Rocky III".
Selepas bergelar pro sejak 1977 dan kembali menyertai WWF pada 1984, Hogan kerap menghiasi pertarungan kemuncak siri WrestleMania dan antara yang ditewaskannya untuk kembali menyandang tali pinggang kejuaraan WWF (World Wrestling Entertainment – WWE, 2002) ialah Macho Man, Sgt. Slaughter dan Yokozuna.
Turut terukir dalam sejarah sukan hiburan ini ialah pertarungan hebatnya dengan The Ultimate Warrior dan The Rock (juga bintang filem, Dwayne Johnson) di Sky Dome, Toronto, Kanada dalam WrestleMania VI tanggal 1 April 1990 dan WrestleMania X8, 17 Mac 2002 (kali pertama disiarkan secara langsung ke Malaysia menerusi TV berbayar).
Dalam ‘galur cerita’ WCW, satu pakatan The New World Order (nWo) ditubuhkannya pada 1996 dengan Scott Hall dan Kevin Nash yang mengkhianati khalayak pengikut setianya kerana ‘watak jahat’ mereka menyerang hero-hero pujaan suka ramai seperti Sting, Lex Luger dan Macho Man. Di gelanggang pesaing WWE ini, Hogan juga enam kali merangkul kejuaraan dunianya.

HULK Hogan (kiri) bersemuka dengan The Rock dalam pertarungan yang dijuluki 'Icon Vs. Icon' WrestleMania X8 dan disiarkan secara langsung TV kali pertama ke Malaysia pada 18 Mac 2002 (pagi waktu kita). - Kredit foto: WWE
Populariti Hulkster di gelanggang turut berpindah ke layar perak dan arena hiburan Hollywood malah semakin melonjak dengan filem-filem lakonannya seperti “Rocky III”, “No Holds Barred”, “Suburban Commando”, “Mr. Nanny”, “3 Ninjas” dan “Spy Hard” mahupun siri TV, “The A-Team”, “Thunder In Paradise” dan “Baywatch”.
Sayang sekali tidak seperti The Rock, Chris Jericho dan Kane yang pernah menjejak kaki di Malaysia menerusi satu program jelajah WWE pada 2002, khalayak peminat gusti pro negara ini tidak berpeluang menyaksikan Hulk Hogan secara ‘live’ (hidup) dengan mencanangkan ungkapan popularnya, “apa kamu nak buat apabila Hulk Hogan dan jutaan Hulkamaniacsnya di seluruh dunia, membelasah kamu?” - KitaReporters

POSTER ucapan takziah WWE menerusi laman sesawang rasminya kepada keluarga, saudara dan sahabat serta peminat Terrence Gene Bollea (Hulk Hogan). - Kredit foto: WWE