SEBAHAGIAN peserta yang menyertai pertandingan Liga Penalti Futsal Mahasiswa Parlimen Kuala Nerus pada 23 April 2021. - Kredit Foto: FB UMNO Kuala Nerus
BULAN Ramadan yang mulia bukan penghalang bagi golongan belia dan pelajar untuk melakukan sebarang aktiviti kesukanan yang dapat mempereratkan hubungan dalam kalangan mereka.
Sebaliknya mereka menjalankan kegiatan seperti itu selepas mereka selesai menunaikan sembahyang tarawih yang dituntut oleh agama Islam.
Ini terbukti pada Jumaat, 23 April 2021 lalu apabila sebanyak 48 pasukan daripada golongan belia dan pelajar terbabit menyertai pertandingan Liga Penalti Futsal Mahasiswa Parlimen Kuala Nerus, Terengganu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan futsal
APLI Yusoff (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan liga tersebut.
Para peserta pertandingan terbabit disertai beberapa organisasi termasuk Majlis Belia Daerah Kuala Nerus serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Ia adalah anjuran bersama Persatuan Tautan Mahasiswa Parlimen Kuala Nerus (TEMAN) dan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Nerus (KNFA) berlangsung di Arena Sport Centre, Gong Badak bermula pukul 10.30 malam hingga pukul 1 pagi.
DR Noraini Ahmad beramah mesra selepas merasmikan gimik ringkas pertandingan Liga Penalti Futsal Mahasiswa Parlimen Kuala Nerus. - Kredit foto: FB UMNO Kuala Nerus
Program tersebut agak meriah kerana Liga Penalti Futsal Mahasiswa Parlimen Kuala Nerus itu dirasmikan secara gimik ringkas oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusoff dan Pengerusi TEMAN, Muhamad Taufiq Azman.
APLI (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang di Arena Sport Centre Gong Badak, Kuala Nerus. - Kredit foto: FB UMNO Kuala Nerus.
Apli selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan liga tersebut berkata program yang dianjurkan itu antara lain untuk memupuk semangat perpaduan antara peserta terbabit.
Menurutnya, liga futsal itu juga tidak menghalang atau tidak menjadi masalah para peserta untuk mendirikan solat tarawih pada bulan puasa di masjid kerana pertandingan itu mula berlangsung kira-kira pukul 10.30 malam. - KitaReporters