
TUNKU Mahkota Ismail bertemu serta berbual-bual dengan Faisal Halim semasa latihan skuad kebangsaan di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam, Johor Baharu pada Mac 2025 lalu.
JARANG seseorang yang berstatus kerabat diraja apatah lagi pemangku teraju negeri menjadi sasaran ‘serangan’ bertali arus pelbagai pihak berbanding apa yang dilalui Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Namun, satu sikap terpuji Tunku Ismail, baginda tidak pernah melenting sebaliknya kekal dengan sikap tenang sambil tampil menjelaskan setiap tuduhan yang dibedil ke arah dirinya.
Terkini, baginda tampil menerangkan beberapa isu yang dikaitkan dengan dirinya menerusi laman rasmi media sosial baginda, sekali gus menjawab spekulasi yang mengaitkan baginda dengan beberapa insiden.

FAISAL Halim menjadi mangsa simbahan asid oleh pelaku yang belum dapat dikenal pasti.
Bukan rahsia lagi, Tunku Ismail yang juga dikenali sebagai TMJ (Tunku Mahkota Johor), turut dipalitkan dengan insiden simbah asid yang berlaku ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim pada Mei, 2024.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial rasmi baginda, TMJ menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu serta menyifatkan cubaan mengaitkan insiden berkenaan dengan baginda sebagai tindakan pengecut dan tidak bertanggungjawab.
"Dalam insiden Faisal Halim, timbul pula bisikan dan spekulasi yang cuba kaitkan saya. Biar saya jelaskan, saya dan JDT tidak perlu turunkan diri ke tahap serendah itu," titah baginda.
"Saya ini seorang askar. Kalau saya ada sesuatu untuk disampaikan atau dilakukan, saya tidak akan bersembunyi di sebalik tindakan pengecut seperti itu," tegas baginda.

RAMAI tak puas hati dengan perkembangan terkini kes Faisal Halim.
Isu berkaitan insiden serangan ke atas penyerang skuad Selangor itu kembali menjadi bahan bualan ekoran keputusan Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan kes itu sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA) selepas siasatan polis gagal mengenal pasti pelakunya.
Ia menyebabkan ramai tak puas hati, 'meroyan' sehingga mecetuskan pelbagai spekulasi serta andaian dalam kalangan peminat bola sepak yang ternyata tidak memahami proses sebenar undang-undang.
Walaupun diklasifikasikan sebagai NFA, ia bukan bermakna kes berkenaan ditutup sebaliknya pihak berkuasa memberi jaminan tidak menutup fail kes itu dan akan terus melakukan siasatan.

Tunku Ismail turut menarik perhatian peminat bola sepak apabila secara sinis meminta pihak tertentu melakukan tindakan memboikot liga malah mencadangkan supaya Liga Malaysia (Liga M) dibubarkan.
"Masih ada masa lagi untuk bubar liga. Boikot beramai-ramai. Tunjuk kepada dunia mentaliti bola sepak Malaysia," titah baginda menerusi laman X.
Baginda menganggap mentaliti (memboikot) seperti itu memalukan dan bertentangan dengan semangat persaingan yang seharusnya ada dalam kalangan pasukan bola sepak tempatan.
Menurut baginda, semua pasukan bola sepak di Malaysia sepatutnya bersikap lebih profesional dan berusaha untuk bersaing mengikut kemampuan sendiri, bukan menyalahkan sistem atau menuduh pihak lain mendominasi secara tidak adil.

SANTOKH Singh (kiri sekali) bersama pemain skuad kebangsaan meraikan kejayaan Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980.
Baginda turut menempelak kritikan sesetengah pihak yang memperlekeh usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan revolusi ke atas skuad kebangsaan,
Menerusi laman X miliknya, Tunku Ismail memberi respons dipercayai terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas pemain skuad kebangsaan, Datuk Santokh Singh.
“Semua bercakap macam kita ni juara Piala Dunia. Nak perubahan tapi pemikiran masih zaman purba. Indonesia, Thailand dan Vietnam dah jauh.
“Semua upgrade fasiliti bola dan ambil kepakaran luar negara. Kita setakat bercakap saja,” tulisnya.

SANTOKH SINGH. - Kredit foto: NSTP
Santokh, salah seorang tonggak Harimau Malaya yang membawa Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, sebelum ini mengkritik pendekatan FAM menggunakan khidmat tenaga asing termasuk pemain warisan dan naturalisasi dalam usaha meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.
"Apa yang saya mahu katakan, FAM kini adalah 'Persatuan Bola Sepak Mat Salih'. Kenapa hanya Mat Salih di sana? Anda cuba beritahu saya apa sebenarnya berlaku kepada jurulatih tempatan? Di mana mereka sekarang?”
"Semuanya tersorok kerana FAM hanya memberikan mereka peranan sebagai pengarah teknikal, jadi apa yang boleh mereka lakukan?" soal Santokh.

HECTOR Hevel salah seorang pemain skuad kebangsaan berstatus pemain warisan.
Beliau juga jelas tidak bersetuju dengan polisi FAM yang menggunapakai tenaga pemain warisan dan naturalisasi yang dianggapnya sebagai jalan pintas mencapai kejayaan segera.
"Kenapa panggil mereka pemain warisan? Mereka tak pernah main pun di sini, tapi tiba-tiba datang dan terus jadi pemain negara
"Matlamat mereka jelas iaitu kejayaan segera. Tapi itu sangat sukar dicapai tanpa asas yang kukuh," katanya.
"Sampai hari ini, saya masih tak dengar apa-apa daripada kepimpinan baharu. Apa akan jadi kepada pemain tempatan kalau semua posisi diambil oleh orang luar?
"Mereka tak ada tempat nak bermain. Harus ada keseimbangan antara pemain tempatan dan naturalisasi, bukan ambil jalan pintas," ujar Santokh lagi. - KitaReporters