Seni & Sukan 21 May, 2025

Video| Dapat harta karun! Edry KRU jumpa kaset awal KRU! Terus beli! Nak bawa balik ke Manchester!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
.



Jika ditanya kepada para penyanyi rakaman, ramai yang tidak menyimpan senarai lengkap album yang pernah dihasil baik dalam bentuk piring hitam, katrij, kaset, dan cakera padat walaupun asalnya ia diberi percuma oleh pihak syarikat rakaman. 

Ini kerana bahan-bahan itu tidak disimpan dengan baik sehingga ia rosak, hilang atau diberi kepada orang lain sedangkan ia menjadi khazanah  berharga untuk simpanan sehingga keturunan.

Namun bagi peminat setia seseorang  penyanyi atau kumpulan muzik, mereka akan membeli dan menyimpan album itu dengan baik atau mendapatkan semula dari kedai-kedai yang menjual barangan lama (vintaj) atau di pasar lambak atau pasar karat.

Ia menjadikan sejumlah kedai vintaj (atau kedai antik) turut menjual piring hitam, kaset, katrij dan cakera padat lama kerana sambutan masih ada.

Edri Abdul Halim (kanan) teruja menemui kaset awal album KRU di sebuah kedai vintaj di Amcorp Mall, Petaling Jaya.

Anggota kumpulan KRU, Edry KRU atau Edry Abdul Halim, 49, adalah antara penyanyi yang tidak menyimpan dengan baik album-albumnya.

Ia menjadi satu kerugian bagi Edry. Namun impiannya untuk mendapatkan semula sebahagian album yang pernah dihasilkan bersama kumpulan KRU menjadi kenyataan secara tidak terduga.

Kunjungannya ke pusat beli belah Amcorp Mall di Petaling Jaya pada Ahad, 18 Mei 2025, menemukan Edry dengan sejumlah kaset album awal penglibatan KRU dalam dunia nyanyian.

Ketika berada di Amcorp Mall, Edry menuju ke sebuah kedai vintaj untuk melihat koleksi sejumlah barang lama. Dan dia teruja melihat antara  barangan lama untuk dijual adalah beberapa kaset lama kumpulan KRU. 




Kaset-kaset terbitan KRU yang masih elok dan masih sesuai dijadikan koleksi. - Kredit foto: IG Edryabdulhalim


Menyedari kaset-kaset itu sudah tidak terjual di pasaran biasa, Edry terus membeli kaset-kaset itu walaupun lebih mahal daripada harga asal.

Dan dia bercadang membawa dan menyimpan kaset-kaset itu ke kediamannya di Manchester, United Kingdom sebagai koleksi kenangan.

Kaset-kaset yang dibelinya bertajuk ‘reKRUed’ yang dilancarkan pada tahun 1993, ‘Awas!’ (1994) dan album kompilasi ‘Krumania’ (1997).

Bagaimanapun Edry membuat keputusan tidak membeli album ‘Ooh! La! La!’ yang diterbitkan pada tahun 1996 kerana kulit album tersebut telah diconteng dengan tandatangan pembeli asal.

Edry berkongsi perkara itu menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya.


Edry kini menetap di Manchester sejak 2018 bagi memberi pendidikan sempurna kepada anak keempat atau bongsunya, Emery yang mengalami autism dan kini berusia 10 tahun.

Bagi terus bergiat dalam muzik Edry menubuhkan turut KRU Entertainment United Kingdom. Namun Edry masih tetap berulang alik ke Kuala Lumpur atas urusan muzik seni terutama melibatkan kumpulan KRU.

Kecintaan Edry terhadap KRU tetap padu. KRU merupakan kumpulan bersaudara yang ditubuh pada tahun 1992. Pernah dibubarkan pada tahun  2018, selepas 25 tahun bersama dan selepas konsert terakhir mereka di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Namun kerana cinta terhadap kumpulan itu, ketiga-tiga beradik Datuk Norman, 54, Datuk Yusry, 52 dan Edry, 49, kembali bergabung. Kumpulan KRU mempunyai aura tersendiri.  

Walaupun sudah dianggap penghibur senior mereka masih bertenaga telah mengadakan konsert genKRU sempena 33 tahun penubuhan.

Dan konsert yang berlangsung selama empat malam di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3, 4, 10, dan 11 Mei 2025 mendapat sambutan hangat dan pecah rekod.


Edry merupakan pencipta lagu paling menonjol berbanding abang-abangnya. Kebanyakan lagu kumpulan KRU dicipta oleh Edry sendiri. Malahan Edry turut mencipta sejumlah lagu untuk penyanyi lain.

Edry telah menghasilkan lebih daripada 500 lagu dan pernah diiktiraf oleh Badan Perlindungan Hak Cipta Pencipta  Muzik Malaysia (MACP) sebagai komposer dengan pendapatan terbanyak dari tahun 2014-2016.

Antara ciptaan Edry yang ikonik ialah ‘Intifada’  dan ‘Satu Qiblat Yang Sama’ dendangan Kumpulan Rabbani. 

Dua abangnya, Norman dan Yusri telah diberi gelaran Datuk. Edri nampaknya masih tercicir sedangkan sumbangannya dalam industri seni tanah air sebanding atau lebih besar berbanding abang-abangnya.

Mungkin selepas ini Edri pula patut menerima gelaran Datuk sebagai hadiah hari jadinya yang ke-50 pada 28 April pada 2026 nanti. - KitaReporters

13
13
0
15
0
You will be interested