Seni & Sukan 16 Jun, 2024

Peraturan baharu King’s Cup 2024! Regu berpasukan diwajibkan! Thailand atau Malaysia juara dunia lagi?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

ABDUL Halim Kader (tiga dari kanan) menyampaikan dokumen penyelarasan King's Cup kepada Thana Chaiprasit di ibu pejabat TNOC, Bangkok pada 14 Jun 2024. - Kredit foto: Istaf


APIT kanan Malaysia, Azlan Alias (kanan) cuba menampan rejaman gulung pemain Thailand, Varayut Jantarasena dalam King's Cup 2023 di Korat. - Foto UT


BUAT kali pertama, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) akan mewajibkan semua negara peserta Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 bagi Divisyen Perdana sahaja, menyertai acara regu berpasukan.

Arahan berkenaan bertujuan meningkatkan tahap persaingan kejohanan di bandar beli-belah di Korat itu dari 1 hingga 8 September 2024 ini malah mahu memastikan kemunculan pasukan yang benar-benar terbaik dalam acara berprestij dan tertua itu.

“Pewajiban ini juga bakal menambah satu dimensi yang mengujakan kepada kejohanan ini yang diasaskan pada 1984 dan mendapat status dan restu Kejohanan Dunia daripada Istaf sejak 1992,” kata Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader dalam siaran media pada 15 Jun 2024.

Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand atau sering digelar King’s Cup anjuran Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) merupakan pertandingan antarabangsa tertua yang masih bertahan sehingga hari ini sejak sukan ini diperkenalkan mulai Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965.   

Pialanya hanya menjadi rebutan untuk acara regu berpasukan yang menjadi kemuncak setiap edisi sejak 1984 dengan sering dipertahan tuan rumah kecuali pada 1985 dan 1988 apabila jatuh kepada Malaysia.


KING'S Cup hanya dua kali pernah dirampas oleh Malaysia sejak diperkenal pada 1984. - Kredit foto: TAT


Acara regu berpasukan turut diperkenal pada Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur yang berakhir 26 Mei lalu, juga dimenangi Thailand.

Acara ini diancam kepupusan dalam Sukan SEA kerana kerap dijauhi kebanyakan negara peserta kecuali tuan rumah terutama akibat kos penghantaran lebih ramai pemain yang tinggi selain mereka lebih bertumpu kepada antara regu dan beregu sahaja.

Hanya Thailand, Malaysia dan Kemboja yang menyertai regu berpasukan sepak takraw temasya ke-32 di Phnom Penh itu pada Mei 2023 lalu.


THAILAND atau digelar SI Gajah Putih menjulang Piala Dunia Istaf dengan menewaskan Malaysia 2-1 (15-9, 11-15, 13-15), (15-8, 15-5), (15-12, 15-12) dalam final regu berpasukan meskipun tewas acara beregu dan antara regu. - Kredit foto: ST


King’s Cup 2024 turut menampilkan Divisyen Satu dan Dua bagi negara-negara peserta yang agak baru menceburi sepak takraw manakala sehingga tujuh acara akan dipertanding dalam Divisyen Perdana (lelaki dan wanita) termasuk antara regu, beregu, beregu campuran, kuadran campuran, antara regu campuran dan gelung.

“Setiap negara Divisyen Perdana boleh membawa sehingga 12 pemain atau 15 pemain jika menyertai acara gelung. Istaf dan TAT menjangkakan 33 negara bakal menyertai kejohanan ini dalam ketiga-tiga divisyen saingan,” katanya yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).


BARISAN pembesar Istaf diketuai Abdul Halim Kader (empat dari kanan) sedia bekerjasama dengan Boonchit Poolpitak demi kelancaran King's Cup di Korat pada September 2024 nanti. - Kredit foto: Istaf


Selain tuan rumah yang mempertahan King's Cup dengan menewaskan Malaysia 2-0 (21-18, 21-9), (21-14, 21-14) dalam final juga di Korat pada 16 Julai 2023 lalu, bakal bersaing bagi Divisyen Perdana ialah musuh tradisi itu, Brunei, China, India, Indonesia, Jepun, Myanmar, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Vietnam dan Laos.

Halim, 73, terdahulu menghadiri Mesyuarat Penyelarasan King’s Cup di ibu pejabat Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand (TNOC), Bangkok di samping Pemangku Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat manakala TAT diwakili Presidennya, Thana Chaiprasit dan Setiausaha Agungnya, Laksamana Boonchit Poolpitak.

Bagi Divisyen Satu (lelaki dan wanita), hanya enam acara dipertanding iaitu antara regu, antara regu campuran, beregu, beregu campuran, kuadran campuran dan gelung dengan setiap negara peserta boleh menghantar sembilan atau sehingga 12 pemain, katanya. - KitaReporters


AKSI hebat final regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024 pada 26 Mei 2024 lalu antara perejam Thailand, Pichet Pansan (12) dan Noraizat Nordin di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. - Kredit foto: ST

3
16
0
17
0
You will be interested