Dari kiri: Freddie Fernandez bersama Rahizahwati Yahya (tengah) dan Dr, Muhammad Iqbal (kiri) serta Mohd Fairoz (dua dari kanan) pada sidang media yang berlangsung di KLGC baru-baru ini.
BARISAN penyanyi legenda ternama bersama artis baharu bakal disatukan di atas satu pentas sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan syarikat Qew Communications (QewComm) pada malam amal bertujuan menyasarkan kutipan dana lebih kurang RM300,000 untuk diserahkan kepada badan-badan kebajikan terpilih.
Malam pertunjukkan amal itu yang dinamakan ’10 Years Anniversary Gala Night X Charity Concert’ itu bakal diadakan pada 17 Mac 2023 di Hotel Westin, Kuala Lumpur.
Antara artis yang akan membuat persembahan meliputi pasangan otai, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Awie, Dayang Nurfaizah dan Ella.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan konsert amal
Manakala artis-artis baharu dan lama lainnya terdiri daripada mereka yang mengusahakan persembahan amal Solidariti Untuk Iskandar Spring iaitu Syafiq Farhain, Ameng Spring, Umarul Iklim dan Belle Fatah.
“Dengan kerjasama daripada persatuan KARYAWAN, para artis terbabit akan diringi oleh pemuzik profesional tanah air seperti Ude Wahid, Ujang Exists, Ronot, Ritz Metalasia, Helmi dan ramai lagi," ujar Pengarah Urusan Qew Communications merangkap pengarah projek, Datin Rahizahwati Yahya pada majlis sidang media Konsert Amal berkenaan yang berlangsung di KLGC Confectionary & Bakery, Dataran Merdeka, baru-baru ini.
Turut hadir Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Qew Group Berhad, Datuk Dr Muhammad Iqbal dan Pengarah Telco Qew Communications, Mohd Fairoz Muhammed.
Untuk rekod, Qew Communications Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Qew Group Berhad milik Bumiputera sepenuhnya berfokus kepada pengurusan majlis dan multimedia kreatif serta aktif dalam bidang penyiaran dengan penerbitan beberapa rancangan televisyen terutamanya dalam saluran RTM serta giat dalam bidang Telekomunikasi.
Berkongsi lanjut, Rahizahwati memberitahu, Persatuan KARYAWAN Malaysia antara badan kebajikan yang terplih untuk diberikan sumbangan antara RM30,000 hingga RM40,000 kepada ahli-ahli yang memerlukan di samping Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Pertubuhan Kebaikan Niq Ehsan Malaysia (PKNEM).
“Inilah sumbangan dan usaha kecil kami untuk memberi semula kepada masyarakat yang memerlukan,” tambah Rahizahwati sambil menambahkata dana yang diperoleh bukan hanya untuk anak seni sahaja sebaliknya disalurkan juga kepada YKN secara menyeluruh termasuk bantuan dari segi pendidikan dan sebagainya.
Sehubungan menjayakan objektif itu, beliau berharap para dermawan, pihak korporat serta orang perseorangan bermurah hati berkongsi rezeki dengan pembelian meja untuk memeriahkan konsert amal.
Setiap badan kebajikan yang dipilih ini mempunyai satu agenda yang sama iaitu membantu golongan yang memerlukan,” tambah beliau.
Malah sambil beramal katanya, diharap mereka terhibur dengan persembahan artis-artis yang sinonim dengan aktiviti amal selain kredibiliti dan populariti masing-masing yang tersendiri.
Tambahnya, dengan pemilihan artis pelbagai genre muzik, beliau percaya ia akan memberikan hiburan memuaskan hati semua.
“Tentu ada yang rindukan nyanyian lagu duet dari Ramli Sarip serta Khadijah kan? Sebab itu kami satukan semula mereka di atas satu pentas dan begitu juga Ratu dan Raja Rock seperti Awie dan Ella mahu pun penyanyi versatil, Dayang Nurfaizah serta lain-lain,’ akhiri Rahizahwati.
Sementara itu. Freddie Fernandez dalam ucapan ringkasnya mengalu-alukan usaha Qew Communications sebagai sebuah syarikat yang prihatin terhadap kerja amal dan membantu anak-anak seni yang memerlukan.
“Sebelum ini mereka juga membantu menyalurkan dana kepada kempen Jelajah Solidariti Untuk Iskandar Spring yang diadakan pada Januari lalu bermula di Santai Seni@TAR, Jalan Tunku Abdul Rahman dan masih berterusan ke seluruh negara antaranya Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Ipoh, Kota Bharu dan lain-lain,” ujar Freddie sambil berharap QewComm akan terus melaksanakan program CSR mereka dengan jaya.
Untuk konsert Amal pada 17 Mac 2023 yang akan berlangsung selama tiga jam bermula pukul 8 malam nanti, harga tempahan meja terbahagi kepada tiga kategori iaitu Platinum berharga RM15,000; Gold (RM13,000) dan Silver (RM10,000) dengan anggaran meja berjumlah 35 buah kesemuanya.
Pada malam berprestij tersebut di antara beberapa VVIP, menteri dan timbalan menteri yang dijangka hadir terdiri daripada Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Menteri Komunikasi dan Digital), Nik Nazmi Bin Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) dan Steven Sim Chee Keong (Timbalan Menteri Kewangan II).
Untuk maklumat lanjut boleh layari: http://www.qewcomm.com atau berhubung terus dengan Munirah menerusi talian -011-11537372 di mana tarikh akhir pendaftaran penaja dan penderma adalah pada 7 Mac 2023. - KitaReporters