Seni & Sukan 01 Mar, 2023

Video| Imam macam mana harus menjadi pemimpin umat? Filem Imam ketengahkan pilihan bagi orang Melayu!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

PERUBAHAN itu sendiri tidak dapat ditahan-tahan, seperti kata Haji Mihad, "ia laksana cahaya yang terkurung yang akan mencari jalan merembes keluar melalui rongga atau retak biar seseni sekalipun”.

Itulah bait kata-kata penting Imam Haji Mihad, watak utama karya Sasterawan Negara Almarhum Dato Abdullah Hussain dalam
novel Imam.
Novel Imam adalah satu karya besar menjadi kebanggaan kita yang memenangi Hadiah Novel Nasional 1992-1994 serta tempat pertama Sayembara Sako anjuran Utusan Publications & Distributors (UP&D) dan Public Bank.
Lebih utama karya ini adalah satu ceritera tentang "cerita kita". Watak-watak dalam novel ini adalah watak yang hidup dan masih hidup pada zaman kita. 
Watak jahat seperti penunggang agama, watak baik - tokoh agamawan yang ikhlas menjernihkan serta memurnikan masyarakat, perpecahan masyarakat dengan anasir kafir mengkafir, solat dua imam, akibat ketaksuban, adalah satu kisah yang ada dalam masyarakat kita.

Hari ini, dalam senario masyarakat teraba-raba mencari pedoman, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Alkahfi Pictures berganding bahu mengangkat kembali mesej-mesej tersirat dari Karya Sasterawan Negara tersebut.

Manakan tidak, ia sinonim dengan agenda ABIM utamanya yang konsisten membawa agenda pembaharuan - Islah dengan nuansa kosmopolitan iaitu menjurus ke arah kebaikan, keterbukaan, saling memberi manfaat sesama manusia dalam masyarakat.
Justeru, tanggal 2 Mac 2023, karya tersebut akan diadaptasi dalam bentuk filem Imam yang bakal menembusi panggung di seluruh negara.
Mengapa dipilih Imam dan apa signifikannya dalam masyarakat?
Dalam masyarakat Melayu, Imam adalah pemimpin agama yang amat dipercayai. Secara tradisi IMAM ada kedudukan istimewa dalam masyarakat Melayu.
Apa yang kita cuba ketengahkan dalam filem Imam atau Pemimpin adalah pilihan buat masyarakat Melayu untuk memiliki Imam. Watak Imam yang bagaimana yang harus menjadi pemimpin umat?
Imam yang mencerahkan bangsa atau menggelapkan. Imam yang berani atau hanya mengikut arus dengan budaya mengalah. Imam yang menghargai keterbukaan atau Imam yang jumud.


Watak Imam Haji Mihad cuba untuk membawa perubahan ke arah kebaikan, menipiskan kebekuan yang wujud dalam pemikiran masyarakat, berasaskan hujah untuk kita berfikir, namun siap berhadapan risiko.
Watak Haji Syamsuri adalah pemimpin agama yang jumud, menolak perubahan tanpa hujah, selesa dengan iklim kebebalan yang menjatuhkan akal umat.
Haji Mihad berperanan mendidik masyarakat untuk mandiri. Dalam kesederhanaannya, beliau tetap tegas memperjuangkan akauntabiliti dan ketelusan membabitkan harta atau wang amanah yang diuruskan atas nama kepentingan umat.
Berbeza dengan Haji Syamsuri, yang selesa mahu rakyat bergantung hidup dengan beliau tanpa memberi ruang untuk mereka berdikari. 
Jika diteliti, Filem ini yang diinspirasikan melalui Novel SN Abdullah Hussain "Imam" ia adalah latar yang pernah berlaku. Bukan hanya latar 1950-an & 1960-an tetapi sebelum itu lagi.


Mencermati tulisan arwah Prof Azyumardi Azra, ada disinggung peranan ulama reformis alam Melayu pada kurun ke-17 bila mana mereka yang dikenali sebagai pelajar Jawi di Haramain, kembali ke tanah air cuba untuk membawa perubahan.
Seperti Shaykh Nūr al-Dīn al-Ranirī (1658), Shaykh ‘Abd al-Ra’ūf al-Sinkilī (1693), Shaykh Muḥammad Yūsuf al-Maqassarī (1699), Shaykh Dawūd al-Faṭanī (1847), Shaykh ‘Abd al-Ṣamad al-Falimbanī (1785), dan Shaykh Muḥammad Arshad al-Banjarī (1812).
Di alam Melayu, tokoh-tokoh ini menurut beliau bukan hanya meluruskan pemikiran umat di lokaliti masing-masing dalam beragama khususnya dalam dimensi ketauhidan aqidah.
Mereka juga berjaya membawa perubahan dalam pentadbiran serta keadilan sosial di wilayah masing-masing. 

Justeru, filem ini bukan semata kisah biasa-biasa, tetapi ia menuntut kita terutama masyarakat Melayu untuk berfikir sejenak. 

Pada kala meletakkan Imam sebagai pemimpin utama masyarakat, perlu ada satu anjakan dan naratif baharu agar Imam yang membimbing masyarakat itu adalah Imam yang yang sentiasa di jalan lurus, berasaskan hujah, membawa umat ke arah pencerahan serta berfikiran terbuka.

Sebaliknya pemimpin yang membungkam umat daripada berfikir, membawa sentimen menakutkan umat, menjumudkan pemikiran bangsa serta selesa membiarkan umat di arus yang salah harus dihindarkan.
Kerana keyakinan kita perubahan ke arah kebaikan itu adalah sebahagian dari lumrah kehidupan, memerlukan keberanian umat untuk bertindak secara kolektif, perbaharui cara fikir, jalan yang dilalui serta aspirasi masa depan. - KitaReporters/Kenyataan Media
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)


17
10
0
10
0
You will be interested