Seni & Sukan 07 Dec, 2023

Konsert Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound! Gabung muzik, pendidikan! Unik, luar biasa!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Penyanyi terkenal Datuk Zainalabidin Mohamed, seorang tokoh dalam industri muzik, bakal memukau penonton dengan konsert edutainment luar biasa berjudul, Sound Spirit Zainalabidin: The Legacy of Sound (Sound Spirit). 

Acara unik ini akan berlangsung pada Sabtu, 20 Januari 2024 di Pentas 1, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac), menjanjikan malam yang penuh inspirasi, kisah yang memukau dan muzik yang penuh jiwa.

Sound Spirit adalah sebuah acara yang menggabungkan muzik dan pendidikan, yang bakal menarik peminat dan penggiat muzik serta golongan profesional dari seluruh industri muzik. 

Acara ini bukan sahaja menjadi platform untuk membina hubungan sesama rakan seindustri malah membuka peluang untuk organisasi yang terlibat dalam industri muzik untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.

Disokong oleh MyCreative Ventures dan rakan rasmi CIMB Artober, konsert ini akan menyaksi Zainalabidin sebagai peneraju utama, yang akan berkongsi pengalamannya bersama ikon muzik terkenal termasuk Michael Veerapen, Sunil Kumar, dan Steve Thornton. 

Selain itu, konsert ini turut menampilkan persembahan oleh Pija Yasin, pemenang program TV3 'Mentor', yang merupakan protege kepada Zainalabidin, di samping penyanyi baharu One Juicy, yang juga merupakan salah seorang Penari B-Boy Terbaik Asia dan juara program realiti Astro Ria 'The Band.'



Sewaktu majlis sidang media yang telah diadakan di Herita Club, Royale Chulan Kuala Lumpur, Zainalabidin telah memberitahu bahawa konsert tersebut diinspirasikan untuk menarik penonton daripada pelbagai latar belakang, sama ada di dalam dan luar negara, dengan menawarkan gabungan istimewa hiburan dan pendidikan. 

Ia menjanjikan sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk penonton, dengan mengetengahkan bakat, bimbingan, dan kuasa keajaiban muzik.

Dengan fokus utama kepada kumpulan pelajar dari latar belakang B40, Sound Spirit menyasarkan untuk memberi peluang kepada pelajar muzik yang kurang berkemampuan untuk mengalami pengalaman transformatif muzik dan seni. 

Sound Spirit telah bekerjasama dengan lima universiti tempatan terkemuka, iaitu Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaya, Universiti UCSI, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), dan Universiti Limkokwing, yang akan mempromosikan acara itu secara aktif dalam kalangan pelajar mereka, khususnya pelajar jurusan muzik.

Zainalabidin percaya pendedahan kepada acara kebudayaan sebegini boleh memberi impak positif yang berpanjangan kepada kehidupan para pelajar ini, di samping menawarkan inspirasi dan kegembiraan yang mungkin sukar diakses tanpa acara seumpama ini. 

Beliau berkata konsert itu adalah bukti muzik sebagai satu kuasa yang mampu untuk memberi perubahan positif, menyatukan orang ramai daripada semua lapisan masyarakat dalam meraikan seni dan budaya.



"Kami teruja untuk menganjurkan sebuah acara yang bukan sekadar hiburan, malah ia menjadi platform untuk pembelajaran dan menjalinkan hubungan dalam industri muzik. 

"Dengan melibatkan individu berbakat dan memberi tumpuan kepada pelajar muzik yang kurang berkemampuan, kami berharap dapat menyumbang kepada pembangunan generasi seterusnya dalam bidang muzik dan seni,” ujar Zainalabidin.

Tambah beliau lagi, "pasukan produksi Sound Spirit sedang berusaha untuk bekerjasama dengan beberapa penaja berpotensi yang akan memberikan sokongan kewangan bagi menampung kos tiket konsert, demi memastikan pelajar-pelajar muzik yang kurang berkemampuan ini berpeluang untuk menghadiri acara ini."

Tiket untuk malam menakjubkan ini sudah mula dijual pada harga RM110 dan RM210. - KitaReporters/Kenyataan Media

11
11
0
15
0
You will be interested