Mula-mula hanya dalam skrip sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, namun akhirnya apa yang diskripkan menjadi benar dan kenyataan. Dialog Wan Ismail Golok dengan Lucy akhir membenihkan cinta dan membawa ke jenjang pelamin perkahwinan.
Pelakon dan pengarah terkenal Mohd Sabri Yunus, lebih dikenali sebagai Sabri Yunus, 62, menamatkan zaman dudanya sejak 0gos 2007 setelah isterinya Norraya Mohd Yusof meninggal akibat kanser.
Ia menghilangkan tanda tanya orang ramai yang sejak awal Oktober 2023 menyaksikan beberapa keping gambar Angeline memakai tudung dalam laman sosialnya. Dan beberapa media turut menyiarkan gambar Angeline berhijab.
Ketika itu Sabri memegang watak pemuda Kelantan bernama Wan Ismail Golok iaitu penyiasat persendirian. Sementara Angeline menjadi Lucy iaitu pemilik salon rambut di Flat Seri Wangi.
Angeline memperbaiki pengucapan bahasa Melayunya melalui sitkom ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’.
Sitkom ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’ di TV3 dihentikan setelah bermula 1983 hingga 1993 dengan 17 musim dan 1210 episod. Dengan tamatnya sitcom itu, hubungan sebagai teman antara Sabri dan Angeline agak renggang.
Namun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenal ketika Covid-19 tiga tahun lalu, hubungan mereka kembali rapat dan Sabri sering mempelawa Angeline berlakon dalam drama-drama TV arahannya.
Ketika itu Sabri sudah menjadi duda sementara Angeline juga sudah berpisah. Jadi Sabri yang mempunyai tiga anak berhasrat untuk melamar Angeline yang merupakan janda dua anak itu.
Justeru, Sabri cuba mendekatkan Angeline dengan Islam. Sabri memberikan laman Internet Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, lebih dikenali sebagai Dr Maza bagi memudahkan Angeline memilih Islam sebagai pegangan hidupnya.
Sabri dan Angeline bersama sebahagian pelakon 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu'
Setelah mengucap syahadah, bagi mengisi nama dalam borang pengislaman, Sabri terus meletak nama Ardini yang bermaksud ‘isteri yang menyayangi’. Dan Sabri sendiri mahu Dr Maza menikahkan mereka.
Lalu majlis pernikahan berlangsung di rumah Dr Maza di Arau, Perlis pada pagi Sabtu, 14 Oktober 2023 lalu dengan sekali lafaz.
Bagi Sabri dia akan membimbing Ardini Angeline Tan Abdullah menjadi saudara baharu yang patuh. Tambah Sabri, Angeline masih belum berhijab sepenuhnya dan akan ke arah itu apabila tiba masanya.