
Ketika itu pasukan negara dibimbing oleh Kamaruzaman Kassim, manakala pemain terdiri daripada Wahab Isahak, Mohd Azmi Harun, Mohamad Noor Abdullah, Razak Osman, Sahak Md. Yasin, Jamaluddin Osman, Jusri Rick, Abdul Jalil Aziz, Faozi Ayub, Sulaiman Ibrahim, Abu Bakar Mohd Johan, Idris Baba.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai hasil kekuatan mental, keyakinan dan kepercayaan pemain sejak wisel pertama ditiupkan.
"Final ini bukan sekadar perlawanan teknikal, tetapi pertempuran semangat, maruah dan sejarah. Dari awal kami percaya kemenangan akan memihak kepada Malaysia kerana kesiapsiagaan mental dan ketenangan pemain," katanya.

Malaysia bagaimanapun bermula dengan tekanan apabila regu pertama yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir yang sedaya upaya mengerah kudrat, namun terpaksa akur dengan kekalahan regu pertama, 9-15, 15-11, 13-15 kepada Pornthep Tinbangbon, Phutawan Sopa dan Marukin Phanmakon.
Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam kembali menghidupkan peluang skuad negara dengan menyambar mata penyamaan 1-1 setelah menjinakkan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan 17-14, 15-13 dalam perlawanan regu kedua.
Zulkifli Razak, Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Azwawi memastikan mata kemenangan regu penentuan dan podium utama kemuncak sepak takraw Sukan SEA ini milik negara apabila menewaskan Sittipong Khamchan, Tanaphon Sapyen dan Sirisak Anuloon 15-13, 15-11.
Sekalung tahniah juga tidak dilupakan kepada perejam dan pengumpan simpanan, Hafizul Hayazi Adnan dan Zuleffendi Sumari.

Menurut Mohd Sumali, keinginan menamatkan kemarau hampir tiga dekad itu menjadi pembakar semangat, bukannya tekanan buat pemain.
"Keinginan kuat itu ditukar menjadi bahan bakar kemenangan. Kejayaan ini dibina melalui kesabaran, disiplin dan kepercayaan terhadap proses pembangunan jangka panjang," katanya.
Sorakan ribuan penyokong tuan rumah tidak menggugat fokus pemain Malaysia yang kekal tenang dan berdisiplin sepanjang perlawanan.
Mohd Sumali menjelaskan bahawa kejayaan di pentas ini bukan sekadar bergantung kepada kekuatan fizikal atau taktikal semata-mata, sebaliknya memerlukan ketahanan mental dan semangat berpasukan yang tinggi.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi emas acara regu berpasukan lelaki ialah pada Sukan SEA 1991 di Manila, ketika ketua jurulatih negara kini, Ahmad Jais Baharun ini, masih beraksi sebagai pemain.
Selain Ahmad Jais yang bertindak sebagai tekong, Malaysia turut diperkuat oleh Nordin Sabarudin, Noor Rani AdnanMohd. Noor Abdullah, Rehan Mohamad Din, Raziman Hassan, Baharum Jahar, Sha'ari Hashim (perejam), Abd. Malik Samsudin, Ku Halim Ku Musa, Rosli Ab. Rahman, Suhaimi Yusof (pengumpan). Ketika itu skuad negara dilatih oleh Haris Abdul Rahman.
Pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, pasukan negara hanya mengucup pingat perak dalam saingan liga tiga penjuru sahaja termasuk tuan rumah Kemboja setelah ditewaskan Thailand 2-1.
Selama berdekad-dekad, Malaysia sentiasa sukar merampas takhta acara ini daripada Thailand baik dalam Sukan SEA mahupun Sukan Asia atau Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand serta yang terbaharu, Piala Dunia Istaf 2024 dan Piala Asia Astaf 2025.Dalam sejarah Sukan SEAP/SEA di Thailand sejak sepak takraw dipertanding, hanya di Bangkok pada 1975 Malaysia berjaya menjuarainya, sedangkan temasya 1967 dan 1985 di ibu kota itu serta Chiang Mai 1995 sekadar menyaksikan deretan empat pingat perak dan dua pingat gangsa.
PSM telah memboikot Sukan SEA Korat 2007 sebagai membantah penggunaan bola baharu bersalut getah Marathon New Generation sehingga kesemua pingat emasnya dibolot tuan rumah Thailand.
Emas berpasukan di Nakhon Pathom juga merupakan yang ke-10 buat Malaysia selepas Sukan SEAP/SEA Kuala Lumpur 1965 dan 1971, Singapura 1973, Bangkok 1975, Kuala Lumpur 1977, Jakarta 1979, Manila 1981, Singapura 1983 dan Manila 1991.
Skuad negara akan menyambung aksinya dalam tiga lagi acara, kuadran, antara regu dan kuadran campuran (bergandingan dengan skuad wanita yang kandas pada peringkat liga Kumpulan A).