Seni & Sukan 22 Oct, 2025

Sudah tak Kaku! Iss Arffan sedia kukuhkan kedudukan sebagai Raja Balada! Bukan lagu cinta biasa!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Pendatang baharu, Iss Arffan barangkali tidak begitu dikenali ramai kecuali mereka yang setia menonton program realiti TV3 ‘Lagu Cinta Kita” musim ke-2 (2021)  di mana Iss bersama pasangannya Mya berjaya memperoleh tempat ketiga dan selain itu beliau tentu sekali dikenali peminat di kampung halamannya sendiri di Sarawak.

Walaupun telah menghasilkan beberapa buah single antaranya single pertamanya,’Tiada Bernoktah’ dan ‘Ku Kan Menunggu’ namun pemilik nama sebenar Mohd. Nur Izwandi Affendi ini, pada pandangan penulis belum terserlah seperti artis artis popular negeri kelahirannya, Sarawak sama ada Hafiz Suip mahu pun Anding Indrawani contohnya.

Pun begitu, namanya sering dikaitkan apabila membawa ‘cover’ lagu-lagu hits artis-artis popular tanah air.


Imbau kembali... ketika memenangi tempat ketiga di program TV realiti 'Lagu Cinta Kita' bersama pasangannya, Mya.


Terbaharu, penyanyi dan penulis lagu yang semakin menyerlah ini kini bersedia mengukuhkan kedudukannya sebagai Raja Balada emosi dengan pelancaran karya terbaharunya yang berjudul “Kaku”.

Single ini disifatkan sebagai sebuah balada gelap yang sarat dengan rasa kehilangan, kerinduan dan pedihnya janji yang dimungkiri, menjanjikan satu pengalaman muzik yang meresap ke dalam jiwa.

“Kaku” bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi sebuah keluhan jiwa yang jujur daripada Iss Arffan. 



Dengan bait-bait lirik yang menusuk kalbu seperti “Jiwaku mati, kau cinta sejati... kini kau telah pergi dan takkan kembali”, lagu ini membawa pendengar menelusuri lorong-lorong sunyi sebuah perpisahan yang mendalam. 

Vokal Iss Arffan yang tulus menjadi nadi utama, seolah-olah menghidupkan semula setiap kenangan yang telah lama terkubur.

Disulami melodi yang sengaja dikekalkan minimalis namun mampu meresap jauh, lagu ini dilahirkan dari ruang hati yang pernah dipenuhi harapan, namun kini hanya tinggal gema. 

Ia secara terang-terangan menceritakan bukan sahaja tentang perpisahan, tetapi turut mempamerkan kerentanan manusia apabila ditinggalkan oleh cinta yang pernah dianggap abadi. 



Apa pengakhirannya?? Ini menjadi teka teki untuk anda menjawab sendiri apabila menonton 'visualiser' yang diterbitkan dalam platform YouTube rasmi Mapmusic. 

“Kaku” secara rasmi dilancarkan dalam semua platform digital pada 17 Oktober 2025 lalu, dan dijangka menjadi antara karya paling peribadi yang pernah dihasilkan oleh Iss Arffan setakat ini. - KitaReporters


10
12
0
12
0
You will be interested