
ABDUL Halim Kader (kanan) menjelaskan pendirian tegas Istaf kepada Patrick Laemmel sambil disaksikan oleh Zolkefle Ayob di samping Nuratasha Najib dan Nor Kamalia Azwa Kamarul Adzhar (tiga dan empat dari kiri) di Kompleks Sukan Patliputra.
PERSEKUTUAN SepakTakraw Antarabangsa (Istaf) hanya mengiktiraf pemain yang bertaraf warganegara untuk melayakkannya mewakili negaranya pada mana-mana kejohanan antarabangsa yang mendapat kebenarannya.
Justeru tiada ‘pemain import’ yang dibenarkan bermain untuk negara angkatnya selagi tanpa status rasmi tersebut, tegas Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader.
“Istaf memberi peringatan tegas ini ekoran satu kes Perancis yang cuba mendaftarkan dua pemain wanita pemegang pasport Malaysia bagi acara beregu dan regu wanita serta kuadran campuran pada Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2025 di Bihar, India.
“Kami mengeluarkan penyertaan Perancis bagi kedua-dua acara itu, namun langkah ini tidak menjejaskan kategori lelaki mereka yang menyertai regu dan kuadran,” katanya di venue kejohanan, Kompleks Sukan Patliputra, Kankarbagh, Patna, Bihar pada 20 Mac 2025.

NURATASHA Najib dan (lima dari kiri) tetap hadir di gelanggang Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2025 biarpun hanya sebagai penolong jurulatih Perancis di samping Zolkefle Ayob (dua dari kiri).
Dua pemain wanita terbabit, Nuratasha Najib dan Nor Kamalia Azwa Kamarul Adzhar yang pernah mewakili Selangor dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak dan Kejohanan Piala Tun Ali 2024 di Melaka, cuba digandingkan dengan seorang pemain wanita Perancis, Somhack Limpackdy. Nuratasha, 22, juga ialah anak bekas penolong jurulatih negara, Najib Iman.
Perancis dilatih oleh seorang warga Malaysia, Zolkefle Ayob, 62, manakala pengurus pasukannya ialah Patrick Laemmel.
Nuratasha walau bagaimanapun didaftarkan sebagai penolong jurulatih Perancis ketika mereka ditewaskan Malaysia 6-15, 7-15 dan Vietnam 9-15, 4-15 dalam saingan kuadran lelaki Kumpulan B.
Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam suratnya pada 18 Mac 2025 memaklumkan Istaf, “PSM tidak membenarkan mereka mewakili Perancis dalam Piala Dunia di Bihar.
“Berdasarkan peraturan Istaf, setiap negara mesti menurunkan warganegaranya dan tidak mengambil pemain warga asing secara kontrak. Kedua-dua atlet initidak memegang kewarganegaraan Perancis, menjadikan mereka tidak layak untuk mewakili negara tersebut,” kata Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh dalam surat itu.

AKSI Norfaizzul Razak dalam perlawanan kuadran Malaysia yang menewaskan Perancis 15-6, 15-7 dalam Kumpulan B. Dia walau bagaimanapun sekadar simpanan ketika mengatasi Myanmar 10-15, 16-14, 15-13. - Kredit foto: STI
Perancis yang menjadi negara peserta terawal tiba di Bihar pada 15 Mac 2025, mulanya diundi dalam Kumpulan B regu wanita dengan Thailand, Vietnam dan Sri Lanka manakala beregu juga B dengan China, Jepun dan India.
Piala Dunia Istaf di Bihar yang berlangsung dari 20 hingga 25 Mac 2025, turut menarik penyertaan Malaysia, Thailand, Singapura, Sri Lanka, Myanmar, Vietnam, Taiwan, Nepal, Brazil, Jepun, New Zealand, Switzerland, Itali, Jerman, Poland, Amerika Syarikat dan Iran.
Indonesia dan China yang sudah mengesahkan penyertaan, tidak dapat menyertainya pula pada saat akhir gara-gara masalah visa pemain-pemain mereka. - KitaReporters