
HARIMAU Malaya bergambar berlatarbelakangkan 61,512 Ekornya di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas membelasah Vietnam 4-0. - Kredit foto: FAM
JIKA para pelakonnya hebat-hebat, maka berduyun-duyunlah penonton ke panggung. Kena pula jalan cerita yang menarik daripada A sehingga Z, tiada siapa pun yang akan menyesal atau terkilan untuk melaburkan sehingga beratus-ratus RM untuk tiket-tiketnya.
Tiada bezanya dengan perlawanan bola sepak. Apabila diuar-uarkan bintang-bintang berdarah kacukan Argentina, Brazil, Belanda dan Sepanyol dalam gagasan Revolusi Harimau Malaya 2025, lantas tercatat sehingga 61,512 hadirin Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun 2025 lalu.
Buktinya, Ekor-ekor Harimau Malaya telah pun dibalas dengan kemenangan besar dan bersejarah selepas 11 tahun, 4-0 terhadap Vietnam yang di ranking dunia lebih tinggi (ke-131 berbanding 109) dalam Kelayakan Akhir Piala Asia Arab Saudi 2027 Kumpulan F.
Bukit Jalil memang ‘Kandang Harimau Malaya’. Jauh lebih besar kehadirannya apabila dibandingkan ketika tim Peter Cklamovski menewaskan Nepal 2-0 pada 25 Mac 2025 untuk membuka kempen kelayakan ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Biarpun idea Revolusi sudah dicanangkan sejak 16 Disember 2024 dengan kemunculan Peter sebagai pengganti Pau Marti Vicente dan majoriti pembantunya dari bumi Socceroos, hanya 7,895 penyokong yang sudi mendatangi ‘Kandang Harimau Selatan’ (Johor Darul Ta’zim FC) itu.
Untuk berlaku adil ketika itu tidak timbul lagi aktor-aktor handalan Amerika Latin seperti Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Facundo Garces, Jon Irazabal dan Imanol Machuca.

AKTOR-AKTOR baharu Harimau Malaya seperti Endrick Dos Santos (10), Hector Hevel (13), Jon Irazabal (tengah) dan Joao Figueiredo (kanan) jelas jadi daya penarik kehadiran hebat para peminat tanah air ke Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM
Malah Harimau Malaya yang dibintangi awal Hector Hevel (Belanda) dan Gabriel Palmero (Sepanyol), cuma ditemani 10,708 peminatnya, ketika menambat Cape Verde 1-1, pasukan dari Afrika di ranking ke-72 dunia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur tanggal 29 Mei 2025 lalu.
Namun rekod kehadiran terbesar itu bagi perlawanan Harimau Malaya di Bukit Jalil setakat ini, masih tidak dapat menandingi 72,550 hadirin yang menyaksikan Bintang-bintang ASEAN menewaskan kelab popular Liga Perdana England (EPL), Manchester United 1-0 di situ pada 28 Mei 2025 lalu.
Sekali lagi populariti Si Jembalang Merah kendalian Ruben Amorim dengan reputasi silam juara EPL 13 kali dan Eropah tiga kali, yang jelas mempengaruhi sambutan hangat itu biarpun mereka sekadar berkesudahan di anak tangga ke-15 pada musim 2024-2025.
Lima tonggak Harimau Malaya juga mewakili Bintang-Bintang ASEAN dalam perlawanan Piala Cabaran Malaysia 2025 ini iaitu Haziq Nadzli, Adib Ra'op, Sergio Aguero, Azam Azmi Murad dan Declan Lambert.
Rekod kehadiran ketika berdepan Vietnam, turut mengatasi lebih separuh angka terbesar sepanjang kempen Harimau Malaya pada 2024 yang dikendalikan oleh warga Korea Selatan, Kim Pan-gon sebelum berpindah kepada Pau dari Sepanyol.

SEBAHAGIAN Pemain Ke-12 Harimau Malaya yang sugul menyaksikan barisan 'tangkap muat' Harimau Malaya gagal membolosi Singapura, sekali gus gagal ke separuh akhir Kejohanan ASEAN 2024-2024 pada 20 Disember 2024 lalu. - Kredit foto: FAM
Sebanyak 31,127 hadirin di Bukit Jalil yang hampa menyaksikan Malaysia diikat Singapura 0-0 lantas gagal melolosi Kumpulan A untuk ke separuh akhir Kejohanan ASEAN 2024-2025 pada 20 Disember 2024 lalu.
Ingatkah juga siapa para pendukung watak aksi dengan kesudahan menyedihkan (sad ending) itu? Tiada sebahagian besar bintang JDT seperti menentang Vietnam antaranya Arif Aiman Hanapi, La’Vere Corbin-Ong, kapten Matthew Davies, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan Romel Morales (naturalisasi Colombia) mahupun Dion Cools.
Sebabnya? Kejohanan ASEAN dwitahunan anjuran Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) itu bukan berlangsung dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mewajibkan kelab-kelab melepaskan pemain-pemain mereka kepada pasukan negara masing-masing.
Yang tinggal hanyalah barisan pilihan kedua atau aktor tambahan (ekstra) yang perit menjinakkan Timor-Leste 3-2, diikat oleh Kemboja 2-2 dan ditundukkan oleh Thailand 1-0 iaitu Endrick Dos Santos dan Paulo Josue serta Sergio Aguero (naturalisasi Brazil dan Argentina), Syamer Kutty Abba, Declan Lambert, Haqimi Azim Rosli dan Jimmy Raymond.
Juga hanya berbaki satu perlawanan tempat sendiri (home) Kelayakan Akhir Piala Asia yang bakal menggamit Ekor-ekor Harimau Malaya ke Bukit Jalil pada 14 Oktober 2025 ini dengan menentang Laos untuk kita menyaksikan sama ada angka terbesar 61,512 hadirin itu dapat dipecahkan atau tidak.

ANGKA kehadiran terbesar Bukit Jalil, 75,044 orang ketika Malaysia (kuning) berdepan Indonesia pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tanggal 19 November 2019 turut dipengaruhi prestasi semasa pasukan negara di samping penyokong rakyat Indonesia yang mencari nafkah di negara kita. - Kredit foto: FAM
Walau bagaimanapun jika diambil kira rekod ini dalam tempoh lima tahun sejak 2019 termasuk era pandemik Covid-19, rankingnya hanyalah yang keempat.
Yang terbesar masih 75,044 hadirin apabila Harimau Malaya kendalian jurulatih tempatan, Tan Cheng Hoe membenam Indonesia 2-0 dalam saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tanggal 19 November 2019.
Yang kedua, 65,147 hadirin menjadi milik tim Pan-gon yang membaham Singapura 4-1 dalam saingan Kumpulan B Piala AFF 2022-2023 pada 3 Januari 2023 untuk mara ke separuh akhir, manakala ketiga, Malaysia ditewaskan oleh Bahrain 2-1 dalam Kelayakan Akhir Piala Asia 2023-2024 yang disaksikan 63,925 penonton tanggal 11 Jun 2022.
Sehingga kini Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga masih belum memastikan apakah kejohanan antarabangsa anjurannya, Pestabola Merdeka sebagai sambutan meraikan Hari Kebangsaan dapat dilangsungkan pada September 2025 ini di Bukit Jalil.

KEHADIRAN 10,708 Ekor Harimau Malaya ketika mengikat Cape Verde 1-1 pada 29 Mei 2025 lalu hanya setakat separuh muatan sebenar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang turut dipengaruhi pertembungan Bintang-bintang ASEAN dan Manchester United di Bukit Jalil, sehari sebelumnya. - Kredit foto: FAM
Bulan berkenaan juga bertepatan kalendar perlawanan antarabangsa tahap 1 FIFA tetapi setelah berjalan dua edisi, 2023 dan 2024, turut timbul desas-desus Tim Peter diundang ke Piala Negara-negara CAFA pada 26 Ogos hingga 9 September 2025 ini.
Iran, di ranking ke-18 dunia yang telah layak ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, dilaporkan mahu mempertahan gelaran kejohanan anjuran Persekutuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) ini.
Peter pastinya lebih teruja untuk menguji Harimau Malaya dengan para penghuni ranking dunia lain yang lebih tinggi termasuk Uzbekistan juga peserta Piala Dunia 2026 (ke-57), Oman (ke-77), Kyrgyzstan (ke-103) dan Tajikistan (ke-104) selain Turkmenistan (ke-142) dan Afghanistan (ke-160).
Hasilnya ternyata lumayan apabila membaham Pahlawan Bintang Emas dengan gol Joao, Rodrigo, Corbin dan Dion setelah melalui dua perlawanan pemanas badan dengan Cape Verde yang dijuluki 'Sang Jerung Biru' biarpun termasuk kalah 3-0 dalam tiga babak secara tertutup di Bukit Jalil pada 3 Jun 2025 lalu. - KitaReporters

HANYA 7,895 hadirin Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri ketika Malaysia menewaskan Nepal 2-0 pada 25 Mac 2025 - angka yang begitu hambar sedangkan muatan sebenarnya ialah 40,000. - Kredit foto: FAM