

Mural sepanjang 100 meter ini mempamerkan tugas hakiki dan kepakaran anggota bomba dalam melakukan kerja-kerja menyelamatkan mangsa termasuk manusia, haiwan maupun harta benda.
Lukisan-lukisannya memperlihat tugas-tugas penyelamatan di lokasi tanah runtuh, kebakaran, bencana, banjir, menangkap haiwan berbisa, menyelamat mangsa lemas, kenderaan terlibat kebakaran serta kenderaan yang terlibat dengan kemalangan.


Laluan ke mural bomba ini menarik dan mudah kerana ia terletak di kawasan Warisan Georgetown atau 'Georgetown Heritage'.
Lukisan mural yang dipamerkan dapat dilihat dengan jelas dari jauh kerana tarikan warnanya yang terang-benderang.
Lebih menariknya terdapat lukisan mural potret Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; dan juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.


Warga negara Myanmar, Bo Htet, yang sempat ditemui semasa mengunjungi mural tersebut berkata, mural bomba ini menarik dan cantik dan belum pernah melihat mural sebegini di negaranya.
Manakala temannya, Thin thin Soe pula berkata, ini kali pertama ia mengunjungi mural yang agak panjang dan menggunakan basikal yang disewa khas sekitar kawasan pelancongan tersebut.

Bagi Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang (TERAS) Abdullah Mohamed Nor, beliau berpandangan mural bomba ini sewajarnya dilawati pelajar-pelajar sekolah kerana ia menarik dan bersifat ilmiah.
Katanya lagi, terdapat banyak mesej dan ilmu mengenai tugas anggota bomba serta kesulitan yang mereka harungi dipaparkan untuk pengetahuan pengunjung dan pelancong.
Lagi pula ujarnya, mural bomba ini adalah mural bomba yang terpanjang di Malaysia dan sudah seharusnya ia menjadi salah satu lokasi lawatan yang menarik oleh para pelajar yang melawat Pulau Pinang. - KitaReporters

