‘Papa Rock’ Datuk Ramli Sarip, 72, tertarik dengan kandungan dan mesej puisi ‘Ku Cari Damai Abadi’ berunsur ketuhanan atau kerohanian nukilan Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi, lebih dikenali sebagai Pak Lah. Lalu dia mencipta melodinya pada tahun 2004 lalu menyanyikannya.

Lagu ‘Ku Cari Damai Abadi’ pertama kali disampaikan secara langsung pada Malam Perta Puisi Patriotik ke-5 pada 2004. Dan Ramli juga pernah menyampaikan lagu itu ketika Perhimpunan Agung UMNO pada September 2004 ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri.

Walaupun lagu itu bukan lagu popular, namun ia sering didendang oleh Ramli dalam sejumlah persembahannya yang sesuai kerana mesej lirik lagu itu.

Menurut Ramli dia penah bertemu dengan Pak Lah selepas mengadakan persembahan lagu ‘Ku Cari Damai Abadi’ di Perhimpunan Agung UMNO 2004. Pak Lah memuji melodi lagu itu yang sesuai dengan puisinya.

Pak Lah menjadi Perdana Menteri Malaysia kelima dari 2003 hingga 2009 dan menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur jam 7.10 malam pada Isnin, 14 April 2025. - KitaReporters