
NURUL Huda Abdullah (kiri) mengetuai Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Ke-33, Thailand 2025 dibantu tiga Timbalan CDM. - Kredit foto: MOM
SIAPA lagi yang lebih mengenali perit jerih atlet di dalam dan luar gelanggang jika bukan mereka yang pernah berjuang bermati-matian demi ibu pertiwi tercinta di sana?
Gandingan tiga bekas jagoan kebangsaan dan seorang pentadbir di balik tabir arena kali ini menjadi pilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam melantik Ketua Kontinjen (Chef de Mission - CDM) negara ke Sukan SEA Ke-33, Thailand dari 9 hingga 20 Disember 2025 ini.
Mungkin juga bagi memperkasa dan menjunjung integrasi nasional selaku teras keutuhan kontinjen, penampilan empat individu ini juga dianggap cukup sesuai mewakili cita-cita murni tersebut.
Disebabkan tiga kota, Bangkok, Chonburi dan Songkhla sebagai venue 50 jenis sukan dalam temasya serantau dwitahunan itu, khidmat tiga Timbalan CDM diperlukan bagi membantu tugas Nurul Huda Abdullah yang diumumkan sebagai terajunya pada 7 Julai 2025.
Bekas ratu renang era 80-an ini bakal menjadi mantan atlet negara yang keempat dilantik sebagai CDM Malaysia ke Sukan SEA (Asia Tenggara)/SEAP (Semenanjung Asia Tenggara).

NURUL Huda Abdullah (kiri) ketika sebagai Timbalan CDM Sukan SEA Filipina 2019, membantu Megat Zulkarnain Omardin. - Kredit foto: MOM
Pemenang 22 pingat emas, lapan pingat perak dan dua pingat gangsa Sukan SEA Bangkok 1985, Jakarta 1987 dan Kuala Lumpur 1989 ini akan mendukung peranan tersebut pada temasya serantau dwitahunan ke-33 di Thailand (Bangkok, Chonburi dan Songkhla) dari 9 hingga 20 Disember 2025 ini.
Nurul, 53, akan turut dibantu oleh tiga Timbalan CDM - Datuk Kenny Goh yang juga Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bekas pelari pecut olahraga negara Nazmizan Mohamad dan bekas pemain hoki kebangsaan Jivan Mohan.
Pelantikan dan pemilihan mereka turut dibuat dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan penyandangnya cukup berkelayakan dan berpengalaman dalam memacu kejayaan kontinjen negara.
Nurul yang memenangi pemilihan Naib Presiden MOM bagi penggal 2025-2029 pada 19 April 2025 lalu, menyusuli langkah Datuk Dr. P.S. Nathan di Manila 1991 yang juga bekas pemain boling tenpin negara, Datuk Sieh Kok Chi (Brunei 1999, polo air) dan Datuk Marina Chin (Kuala Lumpur 2017, olahraga).
Dia juga pernah mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik Seoul 1986 dan menjadi satu-satunya wanita yang cemerlang mengalungi negara, dua pingat perak dan dua pingat gangsa Sukan Asia Seoul 1986.
“Nurul juga dinobatkan Olahragawati Kebangsaan MSN lima kali berturut-turut dari 1985 hingga 1989 selain pernah dianugerahkan Trofi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) 1987 bertemakan ‘Wanita Dalam Sukan’ dan dinamakan Ahli Dewan Kemasyhuran MOM 2004.
“Dia turut berpengalaman sebagai Timbalan CDM Sukan SEA Filipina 2019 dan kini berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Kehormat Akuatik Malaysia (AM) sejak 2023 malah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Sukan Selamat di bawah KBS sejak 2024,” lapor siaran media MOM,” tambah siaran berkenaan.

NURUL Huda Abdullah (dua dari kiri), Mohd. Nasir Ali, Mohamad Norza Zakaria dan Nur Azmi Ahmad (lima, empat dan tiga dari kanan) yang bakal dan pernah memimpin Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025, 2023, 2015 dan 2022. - Kredit foto: MOM
Kenny, bekas guru Pendidikan Jasmani juga pernah menjadi Pengurus Besar BAM sebelum ini dan kini berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Badminton Asia sejak 2023 dan Ahli Majlis Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi penggal 2021-2025.
Nazmizan, 44, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Perlis, terkenal sebagai pemenang dua pingat emas 100 dan 200 meter olahraga Sukan SEA Vietnam 2003 dan beraksi pada Olimpik Athens 2004.
Jivan, inspektor Polis Diraja Malaysia pula pernah menyumbangi negara, pingat gangsa hoki Sukan Komanwel Melbourne 2006 dan pingat emas Sukan SEA Nay Pyi Taw, Myanmar 2013 dan Singapura 2015 selain bermain dalam Piala Asia dan Piala Dunia Belia.

P.S. Nathan penyumbang pingat emas acara lima sepasukan boling tenpin Sukan Asia Bangkok 1978 yang juga CDM Sukan SEA Manila 1991. - Kredit foto: MOM

NURUL Huda Abdullah (kiri) dan Datuk Sieh Kok Chi, CDM Sukan SEA Brunei 1999 dan pemenang pingat perak polo air Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965, Bangkok 1967 dan Rangoon 1969. - Kredit foto: MOM
SENARAI KETUA KONTINJEN MALAYSIA KE SUKAN SEA/SEAP
1959 Bangkok: Tong Poh Nyen
1961 Rangoon: V. Rajaratnam
1965 Kuala Lumpur: Dr. Aziz Durairatnam
1967 Bangkok: Dr. Aziz Durairatnam
1969 Rangoon: Datuk Ling Beng Siew
1971 Kuala Lumpur: Datuk Yeop Mahidin
1973 Singapura: Tan Sri Abdul Jamil Rais
1975 Bangkok: Ahmad Sabki Jahidin
1977 Kuala Lumpur: Datuk Mohamad Rahmat
1979 Jakarta: Datuk Mohamad Rahmat
1981 Manila: Datuk Mohamad Rahmat
1983 Singapura: Noh Abdullah
1985 Bangkok: Datuk Mohd. Zaman Khan Rahim Khan
1987 Jakarta: Datuk Elyas Omar
1989 Kuala Lumpur: Kamalul Ariffin Abd. Rahim
1991 Manila: Datuk Dr. P.S. Nathan
1993 Singapura: Datuk Khalid Yunus
1995 Chiang Mai: Tan Sri Mohamed Khir Johari
1997 Jakarta: Datuk Seri Megat Junid Megat Ayob
1999 Brunei: Sieh Kok Chi
2001 Kuala Lumpur: Datuk Mazlan Ahmad
2003 Hanoi & Kota Ho Chi Minh: Norminshah Sabirin & Datuk Ho Koh Chye
2005 Filipina: Low Beng Choo
2007 Korat: Datuk Zainal Abidin Ahmad
2009 Vientiane, Laos: Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz
2011 Jakarta & Palembang: Datuk Naim Mohamad & Datuk Syed Mustaffa Syed Ali
2013 Nay Pyi Taw, Myanmar: Datuk Wira Amiruddin Embi
2015 Singapura: Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria
2017 Kuala Lumpur: Datuk Marina Chin
2019 Filipina: Datuk Megat Zulkarnain Omardin
2022 Hanoi, Vietnam: Datuk Wira Nur Azmi Ahmad
2023 Kemboja: Datuk Mohd. Nasir Ali
2025 Thailand: Nurul Huda Abdullah

MARINA Chin, pemenang pingat emas acara pecut dan lari berpagar olahraga Sukan SEA Kuala Lumpur 1977 dan Jakarta 1979 serta CDM Kuala Lumpur 2017. - Kredit foto: MOM