.
Impian penyanyi popular era 1980-an, Amir Ukays, 56, dan isteri Sarimah Ahmad, 51, untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun 2025 ini musnah setelah menjadi mangsa penipuan bersama 80 calon haji yang lain.
Amir atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusof serta isteri dan calon-calon jemaah yang lain sepatutnya berlepas dengan Singapore Airlines pada Ahad, 2 Jun 2025. Mereka dijanjikan oleh individu yang mendakwa sebagai jutawan untuk mengerjakan haji secara percuma mengikut haji mujamalah (dulu dipanggil haji furada).

Pakej haji mujamalah adalah Ibadah menunaikan haji dengan menggunakan visa haji yang dikeluarkan daripada Kedutaan Arab Saudi. Dulunya, ia dipanggil haii furada.
Kuota yang diberikan cukup terhad, namun ada pihak tidak bertanggungjawab cuba menarik ramai individu yang cuba menggunakan cara mudah menunai haji. Amir dan isteri telah mengeluarkan belanja kira-kira RM4,000 untuk persiapan mengerjakan haji.
Merasa tertipu, kesemua bakal jemaah itu membuat laporan polis di pejabat polis KLIA. Terkandas mengerjakan haji secara mujamalah (furada) berlaku setiap tahun, namun masih ada umat Islam yang mudah terpedaya menunai haji melalui kaedah itu.
