Seni & Sukan 27 Sep, 2024

Video| Filem Melayu tidak dialih bahasa tembus 13 negara termasuk Rusia! Jangan Pandang Belakang 2!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this


‘Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu’ bakal ditayangkan pada 21 November 2024 namun penerbitnya, Metrowealth International Group (MIG) giat melaksanakan promosi awal mengikut jejak langkah Hollywood dalam memasarkan filem-filem mereka sebelum berada di pawagam.

“Walaupun filem ini lambat lagi ditayangkan namun saya mahu menjalankan promosi berperingkat-peringkat bagi menguar-uarkannya kepada penonton sebagai salah satu langkah promosi sebagaimana dilakukan oleh filem-filem Hollywood untuk menarik penonton,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth, David Teo pada majlis pelancaran tayangan global & Fiesta Durian filem “Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usul Mu’ (JPB2ATAUM) yang berlangsung di pejabat MIG, Petaling Jaya pada 25 September 2024.


David Teo bersama anaknya, Teo Jackhu memperlihat 14 bendera luar negara termasuk Malaysia yang bakal menayangkan filem 'Jangan Pandang Bekalang 2: Aku Tahu Asal Usul Mu'.


Majlis menyaksikan gimik pelancaran disempurnakan oleh David Teo bersama anaknya, Pengurus Bahagian Pengedaran Filem Antarabangsa, Teo Jackhu yang memaparkan poster tertera bendera 14 buah negara yang dikenal pasti bakal menayangkan filem ‘JPB2ATAUM’ selepas di tayangkan di Malaysia.

Sebelum itu, para media dipertonton video di 'Sebalik Tabir Pembikinan JPB2ATAUM' oleh pengarahnya, Pierre Andre dan barisan pelakon terlibat seperti Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Mawar Rashid serta pandangan David Teo sendiri.

Turut membintangi filem genre seram ini adalah Alif Hadi, Khatijah Tan, Ruminah Sidek, Hafidzuddin Fazil, Cat Farish, Kel Narina dan ramai lagi. 

Selain Malaysia 13 buah negara lain terbabit merangkumi Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia, Kemboja, Filipina, Vietnam, Myanmar, Laos, Rusia, New Zealand, Turki dan Australia.



“Tarikh tayangan bagi setiap negara bukan serentak tetapi berbeza, kemungkinan sebulan selepas tayangan di Malaysia atau ada setengah negara akan mulakan tayangan pada tahun 2025,” tambah David.

Menariknya, kata beliau, setakat ini kebanyakan negara yang dah bersetuju menayangkan filem ini tidak akan dialih bahasa tetapi dilengkapi dengan ‘sari kata’.

“Jadi saya rasa amat berbangga dapat mengetengahkan bahasa Malaysia melalui filem ke mata dunia,” ujar David sambil memaklumkan tiada juga pemotongan yang perlu dilakukan waima dipercayai tiada adegan-adegan dalam filem ini yang sensitif dan melanggar sebarang tatatertib atau budaya setiap negara terbabit.

Dengan terlaksanakan pemasaran global, MIG mencatatkan rekod tayangan filem Malaysia bukan sahaja di Asia Tenggara tetapi kini di seluruh dunia.


David teruja apabila buat pertama kalinya filem tempatan bakal ditayangkan di Rusia.


“Melalui  filem ’Jangan Pandang Belakang’ (JPB) yang pertama pada tahun 2007 arahan Dr. Ahmad Idham ia mendapat tayangan di 5 negara luar seperti Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina tetapi kini kami mendapat tayangan di 14 buah negara termasuk Malaysia,” jelas David dalam nada puas terhadap pencapaian tersebut.

Ketika itu, ‘JPB’ yang dilakonkan oleh Pierre Andre mencapai kutipan pecah panggung RM7.4 juta waima kini ‘JPB2ATAUM’ ditulis dan diarah sepenuhnya oleh Pierre Andre di mana kali ini Pierre  berhasrat mahu memberikan kelainan serta penambahan unsur seram pada filemnya.

“Kali ini filem yang berdasarkan kepada unsur realiti ini akan lebih menyeramkan apatah lagi Pierre meletakkan pengalamannya sendiri pada filem berdasarkan kepada kebolehannya untuk melihat perkara mistik,” jelas David terhadap keupaaaan Pierre yang khabarnya ‘hijab’nya terbuka untuk melihat unsur-unsur mistik yang berlaku di sekelilingnya.



Menyasarkan mampu mencapai kutipan RM30 juta, ‘JPB2AYAUM’ merupakan kesinambungan saka Opah yang mencari tuan baharu untuk didampingi. Namun, ada sesuatu lain yang menghalang dan membawa kepada pelbagai kejadian menyeramkan. 

Sepanjang penggambaran khabarnya bukan sahaja Pierre Andre  berdepan situasi mistik bahkan ibunya, Khatijah Tan khabarnya dirasuk malah pelbagai lagi kejadian yang ‘mendampingi’ Pierre berlaku seperti bunyi wanita mengilai dan sebagainya. 

Sudah tentu penonton pun rasa tidak sabar untuk menonton sekuel ‘JPB’ ini untuk menyaksikan ‘come back’ filem arahan pemilik bernama penuh, Muhammad Pierre Andre Nazarul Andre, berdarah kacukan Melayu-Perancis ini setelah ‘bersara’  selepas filem terakhirnya pada 2016, ‘Kecoh Primadona Kena Hantu’ , malah dalam tempoh 10 tahun menyepi , Pierre gagal dikesan dalam radar industri perfileman dan hiburan tempatan memandangkan beliau tidak menggunakan telefon pintar.



Majlis diakhiri dengan jamuan 'Fiesta Durian' yang menyaksikan pihak media serta tetamu yang hadir menikmati kenikmatan raja buah itu di mana David menempah lebih daripada 100 kilo durian pelbagai jenis.

Dalam perkembangan lain, MIG juga telah siap penggambaran dan menunggu tarikh tayangan bagi dua buah filem lagi iaitu ‘Dajal: Satu Malam Dipedajal’ yang turut diarah oleh  Pierre Andre serta ‘Citra Apartment’ arahan Amor Rezan yang  bakal menemui penonton pada tahun 2025. - KitaReporters



12
10
0
12
0
You will be interested