Seni & Sukan 11 Sep, 2024

Video| Bangunlah bersama Ora Fiza! Bawa mesej kebangkitan, kekuatan! Refleksi kepada perjalanan hidup!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this



Nama Ora Fiza mungkin sudah tidak asing lagi dalam industri muzik Malaysia. Dahulunya dikenali sebagai Pija Mentor, dia kini tampil dengan single pertama berjudul ‘Bangunlah’. 

Sebuah majlis pelancaran telah diadakan di Eclipse Cafe & Meal, di pusat beli-belah Mitsui Shopping Park Lalaport, Kuala Lumpur pada 10 September 2024 bagi mengumumkan secara rasmi kehadiran Ora Fiza dengan naskah terbaharunya. 

Dihadiri barisan media perdana, media elektronik dan blogger serta rakan-rakan pempengaruh, majlis digamatkan dengan persembahan istimewa daripada Ora Fiza yang sememangnya dikenali sebagai seorang penyanyi berbakat dengan suara yang bertenaga. 

Majlis pelancaran tersebut turut menyaksikan video muzik ‘Bangunlah’ ditayangkan secara langsung buat pertama kalinya kepada semua yang hadir.



Selepas hampir dua dekad dalam industri hiburan, Ora Fiza yang mula dikenali sebagai juara pertama program realiti ‘Mentor’ terbitan TV3 pada tahun 2005 di bawah bimbingan penyanyi legenda Datuk Zainalabidin, kini kembali dengan karya yang penuh bermakna. 

‘Bangunlah’, telah digubah dan ditulis oleh John Jeeves dan Shazriq Azeman, merupakan sebuah lagu yang sarat dengan mesej kebangkitan dan kekuatan. 

Ia menggambarkan perjalanan hidup Ora Fiza yang penuh cabaran, tetapi tetap teguh dalam mengejar impian.

Ora Fiza menyatakan keterujaannya untuk pelancaran single terbaharunya itu, "Saya sangat gembira akhirnya dapat menghadiahkan 'Bangunlah' kepada peminat-peminat saya serta orang-orang penting yang sangat teguh menyokong kerjaya seni saya. 

"Lagu ini mempunyai tempat yang istimewa di hati saya kerana ia adalah refleksi kepada perjalanan hidup saya yang penuh dengan jatuh bangun. 

"Saya harap ia memberi inspirasi semua pendengar untuk terus maju dan mencapai potensi sebenar mereka."



‘Bangunlah’ adalah hasil kolaborasi pertama Ora Fiza dengan syarikat rakaman Super Red Records, menjadi tanda permulaan baharu dalam perjalanan seninya. 

Menurut Ora Fiza peluang merakamkan lagu ini diterimanya apabila beliau menemani adiknya, One Juicy, yang juga merupakan artis Super Red Records, ketika menandatangani kontrak dengan label tersebut. 

Pihak label tidak mengambil masa lama untuk mengiktiraf keistimewaan Ora Fiza dan seterusnya menawarkan kontrak kepadanya. 

Kini, kedua-dua adik-beradik ini sama-sama berada di bawah naungan Super Red Records, memperkukuh lagi kedudukan mereka dalam industri muzik tanah air.

Richard Chua, Pengasas Bersama Super Red Records, mengulas, “Bakat dan dedikasi Ora Fiza memang tidak boleh disangkal. Kami sangat teruja untuk melihat bagaimana beliau terus berkembang sebagai seorang artis. 

"‘Bangunlah’ adalah bukti keteguhan dan kreativiti beliau, dan kami yakin ia akan menyentuh hati para pendengar.”



‘Bangunlah’ sudah tersedia untuk penstriman dan muat turun di semua platform muzik digital utama, termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music, mulai 10 September 2024. - KitaReporters/Kenyataan Media

16
5
0
10
0
You will be interested