Menyelusuri tiga dekad dalam industri muzik Malaysia, tahun baharu 2025 bakal membuka tirai kenangan kepada era 80-an dan 90-an menerusi malam epik yang dinamakan 'Konsert MegaHitz 3 Dekad Vol 1’.
Konsert yang bakal menyuntik kembali memori indah itu akan berlangsung pada 25 Januari 2025 di Zepp Kuala Lumpur, membariskan barisan artis terkenal lama dan baharu seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Datuk Hattan, Man Bai, Ramlah Ram, Zur Eda, Noorshila Amin, Andy Flop Poppy dan Amir Masdi.
Menariknya, konsert pada malam tersebut akan memperdengar 22 buah lagu yang mana kesemuanya pernah dipertanding dalam Anugerah Juara Lagu serta pernah memenangi anugerah pada acara berprestij itu.
Konsert MegaHitz 3 Dekad Vol 1 adalah satu penghormatan kepada tiga dekad dan tiga era kegemilangan industri muzik Malaysia, yang menampilkan gabungan artis-artis lagenda dari pelbagai genre muzik, termasuk pop, rock, dan balada.
Antara artis-arttis terlibat yang hadir.
“Konsert ini bukan sahaja untuk meraikan artis-artis legenda, tetapi juga untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan industri muzik Malaysia. Setiap penyanyi dalam barisan ini sudah meninggalkan impak yang luar biasa, dan kami teruja untuk memberikan satu malam yang penuh dengan kenangan dan muzik berkualiti tinggi,” tegas Pengasas dan Pengarah Pentas 365 Events, Afiezan Shah Mohd Zahari (gambar atas, kanan) sebagai penganjur konsert pada sidang media yang diadakan di Hard Rock Cafe baru-baru ini.
Menurut Afiezan, karya setiap penyanyi yang terbabit dalam barisan konsert ini pasti berjaya menyentuh hati ramai pendengar apatah lagi mereka bukan sekadar penyanyi, tetapi adalah ikon yang mencerminkan seni muzik dan budaya masyarakat kita.
“Kami sangat teruja dan bersemangat untuk menawarkan kepada penonton satu pengalaman yang penuh dengan kenangan manis serta nostalgia.
"Nantikan persembahan yang menjanjikan muzik berkualiti tinggi, di mana lagu-lagu hits daripada setiap artis tersohor akan diperdengar, membawa kembali memori indah untuk semua yang hadir,” tambah Afiezan sambil berharap konsert anjurannya itu menjadi satu perayaan yang tidak boleh dilupakan.
Bagi melengkapkan lagi momen pada malam itu, penganjur mengajak penonton untuk sama-sama mengenakan 'dress code' bertemakan retro, sekali gus mengabadikan memori bersama, selari dengan temanya, ‘All Killer, No Filler’.
Menampilkan pengarah muzik Shah Slam, 'Konsert Megahitz 3 Dekad Vol 1’ diharap dapat menghimpunkan peminat-peminat yang sudi bersama untuk meraikan perjalanan indah industri muzik Malaysia serta menghargai bakat-bakat yang terbukti hebat kesemuanya.
Antara lagu-lagu yang tentu sekali mengimbau kenangan meliputi ‘Kau Kunci Cintaku’ (Ramlah Ram); ‘Azura’ (Jamal Abdillah); ‘Mahligai Syahdu’ (Hattan); ‘Ku Di Halaman Rindu’ (Nash); ‘Kau Ilhamku’ (Man Bai); ‘Kad Ucapanmu’ (Norshila Amin); ‘Kelmarin’ (Zur Eda) dan ‘Cinta; (Andy Flop Poppy). - KitaReporters