Seni & Sukan 20 Oct, 2024

Tim bola jaring buru gelaran Asia! Langkah kanan tewaskan Jepun! Sri Lanka, Singapura jadi rintangan!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

SEBAHAGIAN daripada pasukan bola jaring Malaysia yang bakal memburu gelaran ketiga Kejohanan Asia di Bengaluru. - Kredit foto: MOM


MALAYSIA tetap berpeluang kembali bergelar juara sekalipun laluan getir juara bertahan, Sri Lanka menantinya dalam Kumpulan A Kejohanan Bola Jaring Asia Ke-13 di Stadium Tertutup Koramangala, Bengaluru, Karnataka, India.

Tim negara yang membuka tirai aksi kejohanan dengan menumpaskan Jepun 82-8 pada 19 Oktober 2024 lalu, turut pernah menjuarainya sebanyak dua kali, pada 1985 di Kuala Lumpur dan 2016 di Bangkok berbanding Sri Lanka, enam kali.

Juga akan merintangi pasukan kita dalam saingan peringkat awal ini ialah tuan rumah India, Filipina, Maldives dan Arab Saudi, manakala Kumpulan B mengandungi naib juara 2022 - Singapura, Hong Kong, Brunei, Thailand, Taiwan, Iraq dan Bahrain.

Malaysia menduduki tempat ketiga dalam edisi ke-12 pada 2022 setelah mengalahkan Hong Kong 54-42 di Arena OCBC, Hub Sukan Singapura, namun mereka disekat oleh tuan rumah 54-41 pada separuh akhir.  


SKUAD negara mengorak langkah kanan dalam Kumpulan A dengan menumpaskan Jepun 82-8 di Bengaluru, India. - Kredit foto: MNFC


PASUKAN bola jaring Malaysia pimpinan Nurfariha Abdul Razak (depan, dua dari kanan) melaungkan sorakan semangat bersama-sama Alwiyah Talib dan Mohamad Norza Zakaria (depan, tiga dan empat dari kanan). - Kredit foto: MOM 


Pasukan pimpinan Nurfariha Abdul Razak mendapat suntikan semangat dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria di Kompleks Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2024. 

Majlis ini turut dihadiri Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Alwiyah Talib yang menekankan, “penyerahan Jalur Gemilang oleh MOM memberikan perangsang besar kepada pasukan negara untuk mengembalikan kegemilangan bola jaring Malaysia pada Kejohanan Asia ini."

Kata Norza, “bola jaring sentiasa mendapat tempat istimewa dalam hati saya sejak menyaksikan perlawanan akhir yang hebat Malaysia menentang Singapura dalam Sukan SEA Singapura 2015 di republik itu."  

Kepada pasukan negara tegasnya, "berjuanglah dengan semangat dan keberanian anda serta atasi tahap terbaik anda. Seluruh negara sentiasa di belakang anda setiap kali anda melangkah ke gelanggang. 

"Setiap langkah ke hadapan anda juga, akan menghampiri kejuaraan Asia yang pernah kita menangi dua kali itu.

“Saya juga sentiasa menghulurkan sokongan padu kepada PBJM bagi memastikan bola jaring kekal sebagai sukan teras negara,” katanya, dipetik daripada laman sosial MOM.


AKSI separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Asia 2022 di Singapura antara Malaysia (jersi biru) dan tuan rumah. - Kredit foto: NS


SKUAD BOLA JARING KE KEJOHANAN ASIA KE-13:

Defend: Nur Shamilia Samsudin, Nur Syafazliyana Mohd. Ali, S. Pavitrah, Siti Nur Hidayatul Akhma Suhhaimi 

Attack: Nur Amisya Khiruddin, Pow Mei Foong, Nurfariha Abdul Razak, Fatin Najiha Rahmad

Shooter: Siti Maisarah Affandi, Nur Izzazrin Aizie, Siti Nor Daniea Anisya, Nurul Athekah Ammaliah.


JIKA gagal menjuarai Kumpulan A di Bengaluru, ada kemungkinan Malaysia (jersi biru) mengulangi pertemuan separuh akhir edisi 2022 dengan musuh tradisi, Singapura. - Kredit foto: NS 

9
11
0
12
0
You will be interested