Program realiti ‘Gegar Vaganza’ (GV) musim ke-9 (GV9) terbitan Astro Ria yang bakal bermula pada 18 September 2022 mengubah format asal sejak musim pertama pada 6 November 2014, dan bakal menyaksikan persaingan lebih hebat para peserta.
Ini kerana daripada 13 artis terpilih, sebahagian adalah pemenang pertandingan realiti TV8 iaitu stesen TV milik Media Prima Berhad (MPB).
Mereka adalah juara Malaysian Idol musim pertama, Jaclyn Victor; Dina Nadzir (naib juara Malaysian Idol musim pertama); Shila Amzah (naib juara One In A Million musim kedua); dan Tomok (juara One In A Million musim ketiga).
Tidak ketinggalan, juara My Starz LG musim ketiga, Tom.
Peserta solo wanita lain ialah Pat Candy dan Haida Hasnan, manakala peserta lelaki solo yang menyahut cabaran ialah Roy Kapilla, Hazrul Nizam, Bob Yusof, Asheed Def-Gab-C.
Penyanyi dari Singapura, Fuad Rahman turut mencuba nasib, manakala VE dianggotai Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim sebagai peserta berkumpulan.
Gegar Vaganza’ mulai musim ke-9 selama 10 minggu kini meliputi penyanyi yang masih aktif membuat persembahan pentas dan rakaman.
Ia berbeza dengan lapan musim GV sebelum ini di mana penyertaan untuk penyanyi yang sudah lama tidak membuat rakaman lagu.
Dalam sidang media di Menara KL pada malam hari Selasa, 6 September 2022, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, seramai 40 penyanyi terpilih, meliputi dari Singapura dan Indonesia.
Namun menurutnya, ada yang tidak dapat menyertai kerana masalah kesihatan dan ada yang memilih untuk menyertai GV bagi musim seterusnya.
GV9 masih mengekalkan format asal penjurian diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus daripada barisan juri professional iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.
Edisi kali ini masih mengekalkan Nabil Ahmad sebagai pengacara, manakala tempat Jihan Muse diambil alih oleh penyanyi dan pelakon popular, Elly Mazlein. Ini kerana Jihan baru melahirkan anak kedua pada Selasa, 6 September 2022.
GV9 gagal mendapatkan peserta dari Indonesia seperti dalam beberapa musim sebelumnya. - KitaReporters
Konsert mingguan GV9 akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama 10 minggu iaitu sehingga 20 November 2022.
Jumlah hadiah masih kekal iaitu RM100 ribu untuk juara, RM50 ribu untuk naib juara dan RM30 ribu untuk tempat ketiga.
Kemunculan GV9 dijangka menjejaskan program realiti ‘Terpaling Juara’ TV3 yang sedang bertanding di pertengahan jalan.
Ini kerana GV setiap musim mempunyai jumlah penonton tinggi dan pihak pengurusan sudah merangka beberapa kejutan dalam program realiti itu untuk mengekalkan prestasinya. - KitaReporters