Ketika bekas pemain kebangsaan, Khalid Jamlus masih dalam kebuntuan selepas mengambil keputusan menutup perniagaan daging salai, jurulatih Nidzam Adzha Yusof tampil memberi cadangan agar rakan seperjuangannya kembali ke gelanggang bola sepak – sebagai jurulatih.
Bagi Nidzam, inilah tempat selayaknya untuk bekas pemain itu mencari rezeki kerana beliau melihat potensi Khalid yang jika digilap mampu meletakkan dirinya sebagai jurulatih berjaya pada suatu hari kelak.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Khalid Jamlus
Nidzam Adzha Yusof membina karier kejurulatihan dari peringkat bawah sebelum mencapai tahap sekarang. - Kredit foto: Media sosial.
“Dia masih muda, berpengalaman sebagai pemain dan ada
potensi sebagai jurulatih. Tempoh untuk membabitkan diri dalam bidang kejurulatihan
masih panjang, sekurang-kurangnya 20 tahun. Buat coaching development
(pembangunan kejurulatihan) dulu, dalam masa sama baru sambil lesen A.
“Jangan sasar (latih) Liga Super atau Liga Perdana dulu. Buat permulaan bawa pasukan Piala
Presiden atau Piala Belia. Dan apabila jurulatih senior sudah bersara nanti, dia
sudah bersedia untuk ambil alih,” ujar Nidzam.
Namun, Nidzam mengakui jalan untuk menjadi seorang jurulatih berjaya bukanlah mudah serta memerlukan pengorbanan dan kesabaran.
Nidzam (kiri) menjadikan Cheng Hoe (kanan) sebagai model kejayaan seorang jurulatih. - Kredit foto: Media sosial.
“Untuk sampai ke peringkat lesen Pro A, ia memang membebankan. Kita perlukan pengorbanan masa, wang ringgit dan sokongan keluarga. Untuk berjaya, kita kena tempuh semua halangan itu.
“Contoh terdekat yang boleh kita jadi rujukan adalah Tan Cheng Hoe. Sebelum sampai ke tahap sekarang (sebagai jurulatih skuad kebangsaan), beliau terpaksa melakukan pengorbanan sangat besar.
“Beliau mengambil lesen Pro A di China atas usaha sendiri.
KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) tak bantu dan FAM (Persatuan Bola Sepak
Malaysia) pun tak ada bajet. Dia keluar duit sendiri hampir RM100,000 untuk dapatkan
lesen itu.
“Inilah yang perlu dilakukan oleh Khalid. Usahalah ke arah itu kerana kejayaan tidak akan datang dengan sendiri. Untuk dapat pasukan atau tidak (selepas itu) adalah perkara kedua, usaha kita adalah perkara pertama,” kata Nidzam.
Kredit foto: Stadium Astro
Penolong jurulatih skuad Liga Super Kuala Lumpur itu
berkata, beliau sendiri memulakan karier kejurulatihannya dari bawah apabila hanya
melatih pasukan Bawah 14 Tahun Kedah pada 2002.
Kemudian, beliau membina kerjayanya setapak demi setapak dengan melatih beberapa kelab liga bawahan seperti TNB Kelantan, Kuala Muda Naza FC, Sime Darby sebelum dilantik sebagai jurulatih Perlis, seterusnnya penolong jurulatih Kedah dan akhirnya sebagai ketua jurulatih Kedah pada 2018.
Pada 2019, beliau menjadi penolong jurulatih Melaka sebelum
menjadi jurulatih Kuala Lumpur yang membawa pasukan ibu kota itu layak ke Liga
Super 2021.
Namun, kerana syarat baharu FAM mulai tahun ini yang menetapkan hanya jurulatih berlesen Pro A sahaja layak melatih pasukan Liga Super, maka Nidzam yang memiliki lesen kelas A kini sekadar menjadi pembantu Bojan Hodak untuk pasukan Kuala Lumpur.
Perniagaan daging salai yang diusahakan Khalid sejak September 2020 lalu terpaksa ditutup selepas mengalami kerugian akibat Covid-19. - Kredit foto: FB Khalid Jamlus.
Nidzam berkata, walaupun pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara sekarang menjejaskan peluang jurulatih untuk mendapatkan pekerjaan namun beliau yakin keadaan akan berubah apabila wabak itu dapat diatasi.
“Sebenarnya peluang untuk menjadi jurulatih memang banyak.
Selain Liga Super yang mempunyai 12 pasukan, Liga Perdana juga ada 12 pasukan.
Kita juga ada 12 pasukan Piala Presiden dan 12 pasukan Piala Belia yang
keseluruhannya sudah berjumlah 48 pasukan.
“Itu belum termasuk Liga M3 dan M4 serta akademi-akademi dan
pasukan bawah umur. Malah, pasukan bola sepak universiti-unversiti pun sekarang
memerlukan khidmat jurulatih yang berkelayakan.
“Sepatutnya tidak ada masalah bagi nama besar seperti Khalid Jamlus untuk bertapak dengan mana-mana pasukan. Tahun demi tahun beliau boleh tingkatkan dirinya dan akan mendapat peluang lebih baik sesuai dengan pengalaman dan lesen yang dimilikinya.
“Jadi, saya harap Khalid tidak berputus asa. Teruskan perjuangan. Saya yakin, jika dia tekun, bersabar dan sanggup melakukan pengorbanan, dia akan berjaya,” ujar Nidzam.
Khalid dilihat mempunyai potensi untuk menjadi jurulatih berjaya.
Pada Ahad (27 Jun 2021) lalu, Khalid terpaksa menamatkan operasi perniagaan daging salai yang diusahakan di Lepak Court, Batu 7 Sijangkang, Teluk Panglima Garang selepas mengalami kerugian ekoran kesan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara.
Ia ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila Khalid yang sebelum ini mengalami kesempitan hidup terpaksa menjual barangan peribadinya termasuk Kasut Emas yang dimenanginya selaku penjaring terbanyak liga pada 2002. - KitaReporters
Khalid pernah mencurahkan ilmu, kepakaran dan pengalaman bola sepaknya kepada pemain-pemain akar umbi di Soccer Ace FC. - Kredit foto: FB KJ 25.